Wednesday, November 26, 2014

Pertanyaan-pertanyaan Bertulis Untuk Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Ke-13 tahun 2014



Hakmilik strata         
Terangkan prosidur yang lengkap untuk pengeluaran hakmilik strata dengan memetik peruntukan undang-undang yang terpakai.
Senaraikan permohonan hakmilik strata yang masih dalam pemprosesan di Daerah Petaling termasuk tarikh pemaju mengemukakan permohonan dan projek pemajuan.

Prestasi kewangan syarikat-syarikat GLC
Bandingkan keuntungan atau kerugian terkini sebelum cukai yang dicapai oleh keempat-empat syarikat GLC di bawah:
·         Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS),
·         Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB),        
·         Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), dan  
·         Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS). 

Tunggakan cukai taksiran, cukai tanah dan premium tanah oleh syarikat-syarikat GLC
Senaraikan tunggakan cukai taksiran, cukai tanah dan premium tanah oleh syarikat-syarikat GLC seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di setiap PBT dan daerah.

Peruntukan untuk Rumah Ibadat Selain Agama Islam
Senaraikan peruntukan yang diberi kepada setiap rumah ibadat selain agama Islam dan senarai penerimanya serta tujuan permohonan peruntukan sejak tahun 2010 hingga 2014.

Bilangan Qualified Title yang masih belum diproses menjadi Final Title
Apakah jumlah Hakmilik Sementara (Qualified Title) yang masih belum diproses menjadi Hakmilik Kekal (Final Title) di setiap daerah pada sekarang?
Perincikan semua faktor dan kekangan yang menyebabkan masalah ini.

Sistem Talian Aduan Rakyat Selangor (STARS)
Huraikan tentang latar belakang dan sejarah STARS dan berikan statistik berkenan dengan bilangan dan jenis aduan yang diterima melalui STARS sejak tahun 2010 hingga sekarang.

Keluasan tanah rizab Melayu
Terangkan latar belakang, sejarah dan undang-undang yang berkaitan dengan pentadbiran tanah rizab Melayu di Selangor dan berikan keluasan tanah rizab Melayu yang diwartakan di Selangor setiap tahun mengikut daerah sejak tahun 2000.

Program dan strategi “Go Rural”
Adakah kerajaan telah melancarkan apa-apa program pembangunan luar bandar di bawah program “Go Rural” selain daripada program MES dan senaraikan semua projek pembangunan kampung baru, kampung tersusun, kampung bagan dan kampung tradisi di Selangor pada tahun 2014.

Penyediaan Pelan Hak Milik Sambungan
Apakah proses yang terlibat dalam penyediaan Pelan Hak Milik Sambungan (Title in Continuation) selepas selesai sesuatu pengambilan tanah di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960?
Berapa banyak Pelan Hak Milik yang telah didaftar dan belum didaftar di setiap daerah sehingga sekarang?

Ganjaran dan hadiah kepada Pejabat Daerah dan Tanah
Senaraikan semua ganjaran dan hadiah yang diberikan kepada setiap Pejabat Daerah dan Tanah setiap tahun mengikut daerah.
Bagaimanakah ganjaran dan hadiah ini digunakan oleh setiap PDT untuk memperitngkatkan keceriaan tempat kerja dan kebajikan kakitangan PDT?


Pertanyaan-pertanyaan Mulut Untuk Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Ke-13 tahun 2014


Pinjaman sebanyak RM 423 juta kepada Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB)
Pinjaman RM 423 juta kepada Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) bagi pengambilalihan Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) telah diluluskan pada tahun 2013. Apakah perkembangan terkini pengambilalihan ini dan adakah KDEB telah mula membayar balik kepada kerajaan negeri?

Pinjaman RM80 juta kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS)
Pinjaman RM80 juta telah diberi kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bagi pengambilan tanah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk tujuan Pembanguan Projek Datum In-City. Apakah perkembangan terkini pengambilalihan ini dan adakah PKNS mula membayar balik kepada kerajaan negeri?

Pembinaan semula gerai-gerai, medan-medan selera dan pasar awam PBT
Adakah kerajaan mempunyai rancangan besar-besaran untuk membina semula atau menaik taraf gerai, medan selera dan pasar awam milik PBT untuk mempertingkatkan daya tarikannya?
Berapa banyak peruntukan telah dibelanjakan untuk tujuan ini di kawasan MBPJ pada tahun 2013 dan 2014?

Tunggakan cukai tanah di Pejabat Daerah dan Tanah
Apakah punca-punca sebenar kegagalan Pejabat Daerah dan Tanah mencapai sasaran 75% kutipan cukai tunggakan setiap tahun dan apakah langkah-langkah yang telah dan akan diambil untuk menyelesaikan masalah ini?

Minyak masak terpakai
Berapa banyak minyak masak terpakai yang telah dikitar semula menjadi biodiesel oleh PBT sejak setiap tahun sejak tahun 2010 sehingga sekarang?
Adakah kerajaan akan menggubal Enakmen yang baru untuk mewajibkan pengusaha-pengusaha makanan mengitar semula menjadi biodiesel?

Masalah kekurangan tanah perkuburan bukan Islam
Apakah peratusan perkembangan terkini proses perwartaan Tanah Perkuburan Bersepadu yang bakal diadakan di seluruh Selangor?
Berapakah banyak caruman kubur dikutip kerajaan sehingga sekarang dan berapa banyak telah diperuntukkan untuk memelihara tanah-tanah perkuburan bukan Islam di Selangor?

e-consent
Terangkan cara-cara kegunaan e-consent secara ringkas
Berapakah permohonan yang telah diproses setiap tahun sejak tahun 2007?                 
Adakah pengguna sistem ini perlu mengemukakan permohonan secara manual walaupun telah melengkapkan seluruh proses permohonan melalui e-consent?

Pusat Giat Mara Selayang
Memandangkan Pusat Giat Mara Selayang telah berada di tapak berkenaan sejak 21 tahun yang lalu, adakah kerajaan akan mempertimbangkan memberi hakmilik tanah kepada Pusat Giat Mara Selayang?
Apakah syarat-syarat yang perlu dipatuhi dan apakah perkembangannya sekarang?

Konsep “First-In-First-Out” dalam pengurusan tanah
Kerajaan telah memperkenalkan konsep “First-In-First-Out” (FIFO) dalam pengurusan tanah beberapa tahun dahulu. Bagaimana konsep ini diterjemahkan ke dalam carta aliran kerja di setiap PDT dan PTGS?
Apakah mekanisme-mekanisme untuk semak dan pantau keberkesanan pelaksanaan konsep ini?

Projek Penternakan Babi Moden
Adakah kerajaan masih berhasrat untuk menggerakkan semula projek ini memandangkan ianya akan menyelesaikan masalah pencemaran yang sering mengganggu kesihatan dan kehidupan penduduk di kawasan Kuala Langat?
Apakah halangan-halangannya dan apakah cara-cara penyelesaian yang dicadangkan oleh kerajaan untuk mengatasi masalah-masalah ini?



Tuesday, November 25, 2014

Ucapan Perbahasan Belanjawan 2015 Di Peringkat Bacaan Kedua Peringkat Dasar oleh ADUN Kampung Tunku Lau Weng San pada 25 November 2014 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam


1. Ucapan belanjawan tahun 2015 yang dibentangkan oleh Menteri Besar semalam menepati satu dasar yang pernah dicadangkan oleh Dr Sun Yat-Sen 120 tahun yang lalu: “人盡其才,地盡其利,物盡其用,貨暢其流” (ren jin qi cai, di jin qi li, wu jin qi yong, huo cang qi liu) yang bermaksud “mencungkil bakat dan modal insan, mengoptimumkan kegunaan tanah, memaksimumkan kegunaan sumber semula jadi dan melicinkan perdagangan”

2. Dewan Negeri Selangor perlu menjadi dewan perundangan bertaraf dunia. Untuk ini berlaku, Dewan Negeri Selangor perlu diberi autonomi kewangan terlebih dahulu supaya ianya bebas daripada pengaruh Eksekutif sepenuhnya. Autonomi kewangan tidak bermaksud Dewan Negeri Selangor tidak tertakluk kepada mana-mana pemantauan. Jawatankuasa Pengurusan Dewan yang ditubuhkan pada tahun 2013 boleh memantau semua perbelanjaan Dewan Negeri dan memastikan setiap satu sen dibelanja dengan berhemah.

3. Hal ini sedemikian kerana birokrasi yang berlebihan akan membantut usaha Dewan Negeri Selangor dan semua Jawatankuasa Pilihan di bawahnya daripada memainkan peranan yang lebih penting dalam pemantauan perjalanan kerajaan. Contohnya, Jawatankuasa Pilihan memerlukan peruntukan untuk menjalankan kursus dan lawatan. Kedua-duanya adalah penting dalam untuk membantu mempertingkatan pengetahuan dan kemahiran ahli jawatankuasa-jawatankuasa pilihan dalam memantau Eksekutif .

4. Kedua, pentadbiran Dewan Negeri Selangor perlu dirombak di mana ianya mesti dipisahkan daripada pentadbiran Kerajaan sejajar dengan prinsip pengasingan kuasa. Perkara ini telah banyak kali disebut dalam sidang Dewan yang lepas melalui satu cadangan untuk membentangkan satu rang undang-undang yang bernama Rang Undang-undang Enakmen Perkhidmatan Dewan Negeri Selangor atau Selangor State Legislative Assembly Service Enactment Bill (SELESA). Biarpun begitu, ianya mash belum berlaku sehingga sekarang. Oleh itu, adalah amat penting untuk pihak Kerajaan memaklumkan kepada Dewan tentang kedudukan terkini semasa menggulung nanti.

5. Ketiga, saya memohon kepada Menteri Besar, bahawa memandangkan perjalanan dan urusan Dewan kita semakin rancak dan aktif, maka ada keperluan untuk diwujudkan seorang lagi Timbalan Speaker untuk meringankan tugas Speaker dan Timbalan Speaker yang sedia ada.

6. Saya setuju dengan dasar Kerajaan untuk memberi peruntukan kawasan kepada wakil rakyat pembangkang. Saya berharap mereka akan menggunakan peruntukan ini sebaik-baiknya untuk rakyat di kawasan masing-masing. Walaupun begitu, kami difahamkan bahawa para ADUN BN tidak berminat, maka saya cadang kerajaan tetap memperuntukkan wang ini kepada Pejabat Tanah dan Daerah di kawasan mereka dan sekiranya ianya tidak digunakan, maka ianya dikumpulkan dan digunakan untuk rakyat.

7. Dasar Kerajaan untuk sedia bekerjasama dengan Badan Bukan Kerajaan atau NGO mesti diterjemah kepada tindakan konkrit. Saya mencadangkan agar badan-badan NGO diberi peluang untuk menyewa premis pejabat milik anak-anak syarikat kerajaan yang lama kosong dengan sewa yang rendah bergantung kepada kemampuan masing-masing.

8. Kali terakhir Kerajaan mewajibkan pengiystiharan aset EXCO adalah pada tahun 2010. Maka sekarang sudah tiba masanya untuk perkara ini dilakukan sekali. Maka saya mencadang agar kali ini perkara ini turut melibuti semua ADUN. Juga Saya mencadangkan agar ianya diinstitusikan melalui peruntukan undang-undang dan dilakukan setiap tahun di bawah satu prosidur audit yang standard.

9. Tanah ialah aset terpenting untuk sesebuah kerajaan negeri. Sun Yat-Sen pernah berkata “地盡其利”, iaitu tanah harus digunakan sebaik mungkin untuk kebaikan rakyat dan negara. Kebiasaannya, sesebuah pemaju perlu menyerah balik mana-mana tanah rizab kepada kerajaan selepas siapnya sesuatu projek pemajuan. Walaupun begitu, terdapat pemaju yang gagal berbuat demikian dan kerajaan juga bersambil lewa pada zaman silam. Kini tanah-tanah berhakmilik ini masih berada di tangan pemaju, pemilik asal atau telah bertukar tangan dan keadaan tanah-tanah ini pada sekarang kebanyakannya masih terbiar. Maka saya menggesa Kerajaan untuk bertindak proaktif mengenalpasti tanah-tanah sedemikian di semua DUN, supaya Kerajaan boleh membuat perancangan bagaimana tanah-tanah ini boleh diambil balik untuk kebaikan rakyat.

10. Saya juga dimaklumkan bahawa sebuah tabung amanah untuk tanah perkuburan telah diwujudkan oleh kerajaan negeri. Sejak beberapa tahun yang lalu, kerajaan telah menetapkan agar semua permohonan lanjutan tempoh hakmilik dan pemberimilikan tanah telah dikenakan caruman perkuburan yang akan disalurkan ke dalam tabung amanah ini. Maka saya menggesa Kerajaan untuk memaklumkan kepada Dewan Yang Mulia ini berapa banyak caruman yang telah diterima oleh tabung amanah ini? Bagaimana tabung amanah ini telah digunakan untuk tujuan pemeliharaan tanah perkuburan dan apakah status terkini pembangunan tanah-tanah perkuburan bersepadu di Selangor?

11. Dalam perbahasan sidang DUN setahun yang lalu, satu usul telah diluluskan di Dewan Negeri Selangor yang menetapkan bahawa Kerajaan akan “sentiasa memberi maklumat terkini tentang semua projek infrastruktur Kerajaan Persekutuan dengan sepenuhnya kepada rakyat dan Dewan Yang Mulia ini.” Saya menyanjung tinggi pendirian yang diambil oleh Kerajaan dalam menangani isu KIDEX. Walaupun begitu, Kerajaan harus mengambil maklum bahawa terdapat bantahan juga untuk pembinaan beberapa lebuhraya di Selangor dan ianya memerlukan perhatian dan pendekatan yang sama daripada Kerajaan. Antaranya ialah Lebuhraya Damansara-Shah Alam (yang akan melintasi kawasan perumahan padat), Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi – Ulu Kelang (SUKE) dan Kuala Lumpur Outer Ring Road (KLORR) (Templer Park – Sungai Long) yang dikatakan akan melalui kawasan sensitif alam sekitar. Maka saya menggesa agar Kerajaan memberi makluman di Dewan Yang Mulia ini tentang pembinaan lebuhraya-lebuhraya ini. Apakah perkembangan dan status terkini?

12. Selangor menyumbang 23% kepada KDNK Malaysia dan atas semangat Persekutuan, kami selalu menyeru Kerajaan Persekutuan untuk menurunkan lebih banyak kuasa kepada Selangor. Atas semangat yang sama juga, saya berpendapat bahawa kini sudah sampai masanya untuk pihak Kerajaan menyediakan satu peruntukan khas untuk Program Malaysiaku bagi membantu rakyat-rakyat termiskin di negeri Sabah, Sarawak dan negeri-negeri yang lain di Semenanjung Malaysia melalui program dan projek kecil-kecilan. Peruntukan ini, tertakluk kepada kemampunan Kerajaan, juga boleh digunakan untuk membantu rakyat Sabah dan Sarawak miskin dan yang bergelandangan di Selangor dan Kuala Lumpur

13. Dewan Negeri Selangor digempurkan dengan siasatan Selcat beberapa tahun yang lalu tentang pembelian 12 unit apartment Al-Marwa Tower di Mekah, Arab Saudi yang melibatkan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dan mantan Menteri Besar, Dr Khir Toyo. Daripada 12 unit apartmen ini, lima masih berada di tangan PNSB. Saya ingin bertanya kepada Kerajaan apa akan dilakukan kepada kelima-lima unit apartment yang masih ada? Sekiranya PNSB masih tidak dapat menjana apa-apa pulangan daripada kelima-lima unit ini, maka saya bercadang agar kelima-limanya dijual di pasaran terbuka melalui lelong awam.

14. Saya juga ingin menyentuh tentang susunan portfolio di Kerajaan di mana beberapa portfolio yang bertindih harus diringkaskan dan digabung di bawah seorang EXCO sahaja untuk melicinkan pentadbiran. Contohnya: Portfolio Pembangunan Usahawan harus bergabung dengan Portfolio Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Portfolio Kebajikan harus bergabung dengan Portfolio Kerajaan Prihatin. Sementara itu, Kerajaan harus memikirkan sama ada Portfolio Pekerja Ladang harus ditukar nama kerana majoriti pekerja-pekerja ladang dan estet di Selangor ialah pekerja asing dan bukan lagi rakyat Malaysia berketurunan India. Ini menjadikan portfolio yang diwujudkan sejak zaman kerajaan Barisan Nasional lagi tidak sesuai dengan keperluan semasa. Maka dengan itu, ada baiknya bagi kerajaan Pakatan Rakyat yang bersikap reformis untuk melihat kembali penyusunan semula portfolio ini atas sebab-sebab yang dikemukakan di atas.