Monday, September 07, 2015

Kesimpulan perbahasan saya tentang DEIG dalam sidang DUN yang lepas

Kenyataan Media oleh ADUN Kampung Tunku Lau Weng San pada 7 September 2015 di Petaling Jaya:

Saya ingin menyimpulkan pandangan dan ucapan saya dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DUN) yang selesai dua minggu yang lalu berkenaan dengan isu Darul Ehsan Investment Group (DEIG).

Tujuan saya menulis perkara ini sekarang kerana tidak ingin perkara ini mengganggu fokus rakyat jelatan terhadap isu 1MDB, masalah-masalah ekonomi dan perhimpunan raksasa Bersih 4.0. Namun begitu, perkara berkenaan dengan DEIG ini tetap penting bagi saya.

Saya pernah mengganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas ABAS sejak penubuhannya pada tahun 2008 sehingga 2013. Saya telah dipilih untuk menganggotai semula Jawatankuasa Pilihan ini sejak November 2013 sehingga sekarang.

Justeru itu, saya mengetahui serba sedikit tentang kekuatan serta kelemahan yang ada pada syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah kerajaan Selangor. Perkara tentang DEIG ini pada permulaannya mendapat perhatian saya melalui dua laporan media oleh akhbar The Edge yang bertajuk "State to monetise land assets" bertarikh 9 Februari 2015 dan "Selangor in talks with developers" bertarikh 2 Mac 2015.

Saya telah mengemukakan perkara ini kepada JP-ABAS untuk perbincangan dan seterusnya memohon agar satu pendengaran tertutup diaturkan dengan wakil daripada MBI. Latar belakang ini perlu dijelaskan agar tidak tertimbul silap faham tentang apa-apa "skrip" oleh tangan-tangan ghaib kerana tiada sesiapa yang menyediakan apa-apa skrip kepada saya. Semuanya atas tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada saya dan rakan-rakan seperjuangan saya dalam JP-ABAS.

Saya sedia maklum bahawa keputusan untuk memperbadankan DEIG telah dibuat dan DEIG telah didaftarkan dan mula beroperasi. Walaupun begitu, sebagai ahli JP-ABAS dan ADUN Selangor, saya perlu mengambil peluang terawal yang terdapat pada saya (the earliest available opportunity to me) untuk membawa isu ini. Pentas yang paling baik, tidak lain tidak bukan, adalah dalam sidang DUN.

Penyata yang dihasilkan oleh JP-ABAS ini wajar dipertimbangkan oleh kerajaan negeri. Mengikut Peraturan-Peraturan Tetap DUN Selangor, kerajaan negeri akan membentangkan maklum balas bertulis pada sidang DUN yang akan datang pada bulan Oktober/November nanti. Saya yakin pada masa itu kerajaan akan memberi maklum balas yang lebih lengkap untut tatapan semua.

Buat masa sekarang, cadangan-cadangan yang saya dapat ringkaskan daripada penyata yang dibentangkan di sidang DUN yang lepas ialah seperti berikut:

1.     Akta Syarikat bukan pelindung DEIG atau mana-mana syarikat. Setakat pengetahuan saya dan JP-ABAS sepanjang perbahasan isu DEIG pada sidang DUN yang lepas, ianya merupakan sebuah syarikat Sendirian Berhad yang dimilik sepenuhnya oleh MBI Incorporated. Seksyen 169(1) hanya menuntut sesebuah syarikat mengemukakan akaun untung rugi, kunci kira-kira dan laporan pengarah-pengarah kepada ahli-ahli syarikat dalam sesebuah Mesyuarat Agung Tahunan, ini berbeza dengan tanggapan bahawa DEIG akan membentangkan penyata kewangannya ke DUN Selangor.

2.     Enakmen Menteri Besar Incorporated (MBI) perlu dipinda untuk membolehkan Ketua Audit Negara untuk mengaudit akaun MBI dan semua syarikat GLC yang bernaung di bawahnya. Laporan audit ini hendak dibentangkan ke DUN Selangor dari semasa ke semasa untuk tujuan pemantauan JP-ABAS dan DUN. Selagi pindaan ini tidak berlaku, akaun MBI hanya boleh diaudit setelah dibenarkan Kerajaan Selangor. Mujurnya, perkara ini telah dipersetujui oleh MB dalam sidang DUN yang lepas dan adalah baik untuk kita menantikan Rang Undang-undang pindaannya kelak.

3.     Rombakan dan penyusunan semula dalam MBI perlu dilaksanakan sama ada wujudnya DEIG atau tidak. Saya berharap perkara ini dapat dimulakan dengan segera agar semua urusniaga anak-anak syarikat MBI dapat diselaras. Pada masa yang sama, kerajaan harus beringat terdapat dua buah anak syarikat kerajaan yang tidak terlibat dalam rasionalisasi ini, iaitu PKNS (dalam bidang hartanah) dan PKPS (dalam bidang pertanian). Sekiranya terdapat mana-mana anak syarikat MBI yang terlibat dalam kedua-dua bidang ini, maka rasionalisasinya mestilah melibatkan kedua-dua GLC ini. Jika tidak, rasionalisasi yang dimaksudkan itu akan dianggap tidak lengkap.

Sebagai salah seorang daripada Ahli Jawatankuasa JP-ABAS, saya akan menjalankan tugas yang diamanahkan kepada saya sedaya upaya.


Lau Weng San
Post a Comment