Thursday, September 17, 2015

Surat terbuka untuk Bapak Presiden Joko Widodo


17 September 2015

Yang Terhormat Bapak Presiden Joko Widodo,

Terlebih dahulu, saya mengucapkan Salam Sejehtera kepada Bapak Presiden dan seluruh warga Republik Indonesia. Saya juga memohon maaf kerana tidak dapat menulis dalam Bahasa Indonesia. Biarpun begitu, saya percaya sabagai bahasa serumpun, tulisan saya dalam Bahasa Malaysia pastinya boleh difahami oleh Bapak, sebagaimana saya boleh memahami tulisan-tulisan dalam Bahasa Indonesia.

Saya berasa terharu dengan kemenangan Bapak sebagai Presiden Republik Indonesia (RI). Kemenangan Bapak dilihat dan dipantau oleh dunia sebagai titik balik untuk Indonesia menjadi negara yang besar dan penuh kebajikan. Sejurus Bapak dipilih sebagai Presiden, Bapak telah mengambil beberapa langkah untuk menjadikan RI sebuah negara yang ditadbir berasaskan prinsip Rule of Law. Saya terharu dengan kelincahan dan ketegasan pentadbiran RI dalam membanteras pencerobohan perairan oleh bot-bot nelayang asing sehingga ada juga bot nelayan daripada Malaysia yang ditahan dan ada juga yang dibom di tengah-tengah lautan sebagai hukuman. Saya pasti ketegasan pentadbiran Bapak akan membuahkan hasil.

Namun begitu, ketegasan ini juga perlu dilihat dalam usaha pemerintahan Bapak dalam mengatasi masalah jerebu atau kabut asap (haze) yang berpunca daripada pembakaran hutan di Sumatra dan Kalimantan. Masalah jerebu telah menyebabkan banyak masalah ekonomi, kesihatan dan sosial di kalangan rakyat Malaysia.


Bukan sahaja rakyat Malaysia terseksa, malahan saya terbaca berita bahawa terdapat seorang budak perempuan mati kerana terhisap jerebu di Kalimantan di mana Indeks Pencemaran Udara di situ jauh lebih serious daripada Malaysia. Apa yang paling malang, ianya seolah-olah berlaku setiap tahun tanpa ada jalan penyelesaian yang jelas dan yang terseksa ialah rakyat serantau termasuk rakyat RI sendiri.

Walaupun RI telah meratifikasikan "ASEAN Agreement on Transboundary Haze Pollution" pada tahun 2014, namun keberkesanan RI dalam membanteras pembakaran hutan secara haram masih tidak kelihatan. Saya faham RI masih memerlukan lebih banyak masa memandangkan ratifikasi itu hanya dibuat setahun yang lalu sahaja.

Oleh itu, saya memohon pertimbangan Bapak untuk berbincang dengan rakan-raka setugas di ASEAN bagaimana untuk menangani masalah ini dalam jangka waktu pendek. Saya percaya Malaysia dan Singapura bersedia untuk menghulurkan bantuan yang diperlukan. Beberapa hari yang lalu, saya dimaklumkan bahawa Menteri Alam Sekitar RI Dr. Ir. Siti Nurbaya Bakar bahawa nama-nama syarikat perladangan dari Malaysia dan Singapura akan didedahkan.

Saya memohon supaya nama-nama syarikat dan syarikat-syarikat pemegang induknya di Malaysia atau Singapura didedahkan kepada pengetahuan orang ramai juga supaya orang ramai boleh mengenakan tekanan ke atas syarikat-syarikat ini untuk mematuhi undang-undang alam sekitar di RI.

Seya berharap cadangan-cadangan ini dapat dipertimbangkan oleh Bapak Presiden. Semoga Bapak Presiden sentiasa berada dalam keadaan sihat walafiat.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,
Lau Weng San
Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor, Malaysia.


No comments: