Tuesday, June 20, 2006

Police report against MPPJ on City Day.

I have lodged a police report against MPPJ on City Day (20th June 2006). Below is my police report. Hopefully, this can create another round of public pressure against MPPJ, now MBPJ, to be more accountable to taxpayers.

Below is my police report:

Saya ingin membuat satu laporan polis berkenaan dengan maklum balas yang diberi oleh Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) terhadap satu memorandum yang diserahkan oleh All PJ Pro Action Committee (APPAC) yang telah diserahkan kepada yang Di-Pertua MPPJ, Datuk Termizi pada 9 Jun 2006.

APPAC merupakan satu gabungan persatuan penduduk dan badan bukan kerajaan di Petaling Jaya. Dalam memorandum yang diserahkan kepada MPPJ itu, terdapat tiga perkara yang telah dibangkitkan untuk mendapat penjelasan daripada MPPJ.


Antara isu-isu yang dibangkitkan di sini ialah:
1. Cadangan oleh MPPJ untuk memberi konsesi papan tanda iklan di Petaling Jaya selama 15 tahun kepada sebuah konsortium yang diketuai oleh sebuah syarikat iklan iaitu Seni Jaya Snd. Bhd.

APPAC telah menyatakan bahawa mereka telah meminta MPPJ untuk membuka akaun mereka untuk menjelaskan pendapatan yang akan diperolehi oleh MPPJ melalui penyewaan ruang papan tanda iklan kerana industri papan tanda iklan ini dikatakan merupakan satu industri yang mampu mendatangkan pendapatan yang lumayan.

MPPJ telah memberi maklum balas yang samar dan ringkas dengan menyatakan bahawa rundingan konsesi tersebut masih sedang berjalan dan mereka akan mengambil kira satu pendapatan yang bersesuaian, waktu konsesi yang bersesuain, aspek-aspek keselematan dan perundangan.

2. MPPJ juga diminta untuk membuka akaunnya demi membuktikan bahawa perlunya MPPJ untuk menaikkan cukai taksiran sebanyak 10% pada awal tahun ini.

APPAC dalam beberapa sidang akhbar dan surat-menyurat dengan MPPJ telah meminta MPPJ untuk memberi maklumat penuh dan terperinci terhadap akaun MPPJ. Walaupun Yang Di-Pertua pada mula-mulanya bersetuju untuk memberi maklumat terperinci kepada APPAC, tetapi beliau kemudian memakan janjinya sendiri dalam satu laporan akhbar The Star bertarikh 5 Mac 2006 di mana YDP dilaporakan berkata bahawa akaun MPPJ tidak perlu didedahkan kepada mana-mana pun kerana MPPJ sendiri mempunyai sistem pemantauannya untuk memeriksa akaun MPPJ.

3. APPAC juga bertanya MPPJ berkenaan dengan cadangan daripada Kementerian Kerja Raya untuk memberi kontrak pembinaan jejantas kepada Polydimension Sdn. Bhd.

APPAC telah meminta MPPJ untuk memastikan bahawa sebarang cadangan yang serupa perlu mendapat rundingan sepenuhnya dengan penduduk-penduduk setempat mengikut peruntukan dalam Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.

APPAC juga meminta MPPJ untuk memastikan bahawa semua tapak pembinaan dikekalkan ke tahap pra-pembinaan supaya pendengaran umum (public hearing) dapat dijalankan sebelum kebenaran merancang dikeluarkan oleh MPPJ secara rasminya.

MPPJ memaklum balas dengan meminta APPAC menghubungi Kementerian Kerja Raja untuk mendapat maklumat terperinci.

Maklum balas yang diberikan oleh MPPJ adalah tidak memuaskan, tidak selari dengan prinsip ketelusan dan pentadbiran beramanah yang telah menjadi seruan YAB Perdana Menteri semasa beliau menyandang jawatan Perdana Menteri.

Selari dengan semangat dan prinsip keterlusan dan akauntabiliti, MPPJ harus membentangkan satu laporan terperinci akaunnya bukan sahaja kepada APPAC, tetapi kepada pembayar-pembayar cukai di Petaling Jaya dan bukannya menyembunyikannya daripada pemantauan umum.

Selain itu, selaras dengan Local Agenda 21 (di mana MPPJ merupakan salah satu PBT yang dipilih untuk menyertai program ini), MPPJ harus berunding dengan penduduk-penduduk terlebih dahulu dalam mana-mana projek sebelum ianya bermula, khususnya dalam penswastaan papan tanda iklan kerana tiada peruntukan undang-undang di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 kepada mana-mana PBT untuk menswastakan papan tanda iklan.

Berkenaan dengan cadangan daripada Kementerian Kerja Raya untuk memberi kontrak pembinaan jejantas kepada Polydimension Sdn. Bhd, MPPJ harus berpendirian tegas untuk menolak sebarang percubaan daripada mana-mana pihak untuk menjalankan mana-mana projek pembinaan tanpa menjalankan rundingan / pendengaran umum dengan penduduk-penduduk terlebih dahulu.

Oleh kerana MPPJ enggan memberi maklumat terperinci terhadap akaunnya, saya meminta PDRM untuk menjalankan siasatan terperinci terhadap akaunnya. Sekian laporan saya.

Lau Weng San

No comments: