Wednesday, June 09, 2010

Selangor tawar RM5000 untuk banteras kegiatan curi pasir

KENYATAAN AKHBAR
9 JUN 2010
KERAJAAN NEGERI TAWAR RM5,000 UNTUK BANTERAS KEGIATAN CURI PASIR
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor menawarkan ganjaran RM5,000 kepada Ketua Kampung, Ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) dan kakitangan kerajaan yang berjaya melumpuhkan kegiatan mencuri pasir di kawasan kampung mereka.
Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bermesyuarat hari ini bersetuju menawarkan ganjaran kepada mereka sebagai insentif kerana bersama-sama membantu Kerajaan Negeri membanteras aktiviti mencuri pasir yang membekalkan 75 peratus permintaan pasir di negeri ini.
Mereka yang berjaya menahan jentera-jentera yang digunakan untuk mencuri pasir boleh menuntut ganjaran itu dari Kerajaan Negeri. Syarat dan peraturan ganjaran tersebut akan diumukan dalam masa terdekat ini.
Insentif ini adalah untuk menggalakkan kakitangan kerajaan di peringkat akar umbi untuk bersama membantu Kerajaan Negeri dalam membanteras kegiatan mencuri pasir yang telah merugikan rakyat.
Setakat ini, penjualan pasir secara halal hanya menguasai 25 peratus daripada pasaran yang bernilai kira-kira RM25 juta. Jika kegiatan mencuri pasir ini berjaya dilumpuhkan, kita akan memperoleh pendapatan RM75 juta setahun.
Kerajaan Negeri mengulang pendirian tidak bertolak ansur dengan kegiatan mencuri pasir dan tidak akan melindungi sesiapa yang terlibat tidak mengira status atau pangkat termasuklah wakil rakyat, pegawai kerajaan atau keluarga mereka.
Mereka yang mempunyai maklumat berkenaan salah guna kuasa dan rasuah digalakkan membuat laporan.
Berkenaan pengurusan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) seperti yang dibentangkan dalam pendengaran awam Selcat, Kerajaan Negeri telah mengarahkan KSSB untuk memberi senarai gaji dan bayaran bonus kepada kakitangannya untuk dikaji.
Sebagai kerajaan yang mementingkan ketelusan dan kebertanggungjawaban, kami amat terbuka kepada kritikan membina dan cadangan untuk menambah baik pengurusan KSSB.
Kita juga komited menambah pendapatan aktiviti penjualan pasir dan batu galian kerana hasilnya akan member manfaat kepada rakyat melalui program Merakyatkan Ekonomi Selangor.
TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
MENTERI BESAR SELANGOR

No comments: