Thursday, February 06, 2014

Wang rakyat sebanyak RM400 juta diguna untuk membayar pampasan kepada pemegang konsesi lebuhraya

Walaupun Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengatakan bahawa kadar tol lebuhraya tidak akan dinaikkan pada tahun ini, tetapi kerajaan persekutuan masih perlu membayar pampasan yang sangat tinggi, iaitu sebanyak RM400 juta kepada syarikat-syarikat konsesi lebuhraya.

Rakyat akan rugi lagi dalam perkara ini kerana wang yang digunakan untuk membayar pempasan ialah wang kerajaan yang dikutip daripada pembayar cukai setiap tahun.

Cara untuk mengelakkan kenaikan kadar tol lebuhraya melalui pembayaran pampasan ataupun melanjutkan tempoh konsesi bukan cara yang paling baik kerana ianya tetap akan membebankan rakyat dan kerajaan pada jangka waktu yang panjang.

Apa yang pasti ialah, dengan pampasan sebanyak RM400 juta ini, deficit kerajaan akan terus melampung tinggi. Kejadian ini akan memaksa kerajaan persekutuan untuk mengurangkan lagi subsidi harga-harga barangan keperluan harian seperti petrol, gula, beras, tepung dan sebagainya supaya kadar deficit untuk keseluruhan tahun 2014 ini tidak akan melonjak terlalu tinggi.

Jikalau begitu halnya, maka rakyat yang akhirnya perlu menanggung bebannya. Cuma perbezaannya ialah dari segi jangka waktu sahaja.

Apapun sekali, saya menyeru kerajaan persekutuan untuk memikir di kota demi menyelesaikan masalah ini. Terdapat peruntukan atau exit clause di dalam kontrak antara kerajaan persekutuan dengan syarikat-syarikat pemegang konsesi lebuhraya yang membenarkan kerajaan persekutuan membeli balik keseluruhan lebuhraya ini dengan harga semasa. Perkara ini diketahui umum apabila isi kandungan perjanjian konsesi ini dibuka untuk tatapan umum pada tahun 2008 buat kali yang pertama.

Kebaikannya ialah rakyat tidak perlu menghadapi kenaikan tol lebuhraya selang setiap beberapa tahun. Pada masa yang sama, kerajaan tidak perlu lagi membayar apa-apa pampasan kepada syarikat-syarikat pemegang konsesi lebuhraya ini kerajaan lebuhraya-lebuhraya ini telah dimiliki oleh kerajaan persekutuan sendiri.

Saya berharap Kementerian Kerja Raya yang ditugaskan untuk berunding semula dengan syarikat-syarikat pemegang konsesi lebuhraya ini dapat melakukan sesuatu dalam aspek ini.

Lau Weng San
Post a Comment