Friday, January 24, 2014

Kes rompakan Western Digital di Sungai Way FTZ – PDRM harus menurunkan kuasa kepada MBPJ untuk menubuhkan pasukan polis bantuan

Saya terkejut dan terkilan dengan laporan media yang melaporkan bahawa sebuah lori 20 tan yang membawa cakera keras (hard disk) yang dianggarkan bernilai RM4 juta dirompak empat lelaki di SS8, berhampiran kilang pengeluar pemacu cakera keras Western Digital di Petaling Jaya pada malam 21 Januari 2014.

Saya menggesa dan meminta pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan rondaan yang lebih rapi kerana kejadian ini telah menjejaskan iklim pelaburan di negeri Selangor dan Malaysia.

Rakyat kini tertanya-tanya, sekiranya PDRM tidak dapat menjamin keselamatan harta benda pelabur besar seperti Western Digital ini, apatah lagi keselamatan harta benda dan nyawa rakyat jelata?

Kawasan Perindustrian Bebas Sungai Way ataupun Sungai Way Free Trade Zone (FTZ) ini dibangunkan oleh anak syarikat kerajaan negeri Selangor, iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan terletak di SS8 Petaling Jaya.

Ianya merupakan salah satu FTZ yang terawal dan terbesar yang masih beroperasi di Petaling Jaya dan negeri Selangor manakala Western Digital ialah pelabur asng terbesar yang masih beroperasi di FTZ ini sehingga sekarang.

Saya mengulangi seruan saya bahawa sekiranya PDRM menghadapi kekurangan dari segi tenaga kerja, maka PDRM harus menurunkan sebahagian tugas dan tanggungjawab ini kepada kerajaan tempatan seperti Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang sudah siap sedia dengan tenaga dan peruntukan kewangan yang mencukupi untuk menubuhkan pasukan pois bantuan demi memelihara keselamatan harta benda dan nyawa rakyat jelata dan para pelabur di Petaling Jaya.

Cadangan ini tidak harus dipolitikkan dan jauh sekali ianya dilihat sebagai untuk menjatuhkan air muka mana-mana pihak kerana akhirnya apa yang dilakukan adalah untuk kebaikan rakyat dan negara.

No comments: