Thursday, March 20, 2014

Menggesa Ketua Polis Negara dan Hishammuddin Hussein Onn memohon maaf terhadap ahli-ahli keluarga para penumpang pesawat MH370 yang berada di Malaysia

Saya menggesa Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar dan Pemangku Menteri Pengangkutan Hishammuddin Hussein Onn memohon maaf terhadap ahli-ahli keluarga para penumpang pesawat MH370 yang berada di Malaysia atas tindakan kasar Polis DiRaja Malaysia (PDRM) terhadap mereka semalam.

Saya juga menggesa PDRM untuk bersikap lebih sopan dan berperikemanusiaan terhadap mereka ini. Saya terkejut dengan tindakan yang tidak sopan dan tidak berperikemanusian oleh anggota-anggota PDRM terhadap beberapa orang ahli keluarga para penumpang pesawat MH370 yang berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Dasar Kerajaan Persekutuan Malaysia untuk menghalang ahli-ahli keluarga ini daripada bertemu dan bercakap dengan media ialah perbuatan yang tidak berpatutan dan telah dilihat sebagai satu tindakan untuk mengekang kebebasan bersuara ahli-ahli keluarga berkenaan.

Tindakan ini juga dilihat sebagai percubaan Kerajaan Persekutuan untuk mengawal ketat maklumat-maklumat yang tertentu yang sudah pasti akan memberi gambaran kepada media dan orang ramai bahawa Kerajaan Persekutuan ingin menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan umum.

Saya menggesa Kerajaan Persekutuansupaya keputusan untuk menghalang ahli-ahli keluarga daripada bertemu dan bercakap dengan media dibatalkan. Saya mengingatkan Kerajaan Persekutuan supaya bersikap terbuka dalam menangani isu ini kerana ianya bukan lagi satu isu dalaman tetapi isu yang melibatkan keselamatan nyawa ratusan warga asing yang telah diberi liputan luas oleh media antarabangsa juga.

Tindakan kasar polis yang berlaku semalam telah memberi gambaran yang cukup negatif terhadap negara kita. Justeru itu, perkara yang pertama harus dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan selepas ini ialah memohon maaf terhadap ahli-ahli keluarga dan memberi kebenaran kepada mereka untuk bertemu pihak media.

Lau Weng San刘永山

No comments: