Tuesday, May 06, 2014

PAS Kelatan harus menumpukan usahanya terhadap isu-isu hakiki yang menjejaskan kehidupan rakyat

Kenyataan media ADUN Kampung Tunku Lau Weng San pada 6 Mei 2014 di Petaling Jaya:

Cadangan PAS Kelantan untuk membawa Rang Undang-undang Persendirian (Private Member Bills) ke Dewan Rakyat melalui Ahli-ahli Parlimennya supaya Parlimen menyokong perlaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 1993 atau Hukum Hudud perlu ditolak.

Perkara pertama yang ingin saya tekankan kepada PAS Kelantan khususnya ialah ianya tidak harus terperangkap dalam permainan politik UMNO untuk memecah-belahkan Pakatan Rakyat (PR) memandangkan cadangan PAS Kelantan ini tidak pernah dipersetujui oleh Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

Perkara kedua yang perlu ditekankan kepada PAS Kelantan ialah pelaksanaan Hukum Hudud bercanggahan dengan Perlembagaan Persekutuan kerana Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan Malaysia jelas meletakkan bidang kuasa tentang “undang-undang sivil dan jenayah dan prosedur dan pentadbiran keadilan" kepada Kerajaan Persekutuan.

Kerajaan negeri hanya mempunyai bidang kuasa dalam undang-undang peribadi Islam yang berkaitan dengan perkahwinan, penceraian, perwalian, nafkah, adopsi, kesahtarafan, undang-undang keluarga, hadiah atau waris, wasiat dan tanpa wasiat sahaja.

Sekiranya kerajaan PAS Kelantan ingin melaksanakan Hukum Hudud ini, saya pasti ianya akan menjejaskan kerangka atau struktur asas (basic structure) Perlembagaan Persekutuan. Tindakan ini juga perlu difikir semula kerana ianya pasti akan menjejaskan Persekutuan yang dibina sejak tahun 1963 apabila Sabah dan Sarawak diterima bersama-sama dengan Semenanjung Malaysia untuk menubuhkan Persekutuan Malaysia berasaskan kepada Perlembagaan Persekutuan.

Perubahan yang drastik terhadap struktur asas Perlembagaan sudah pasti akan mengancam perpaduan sesama semua negeri yang bergabung membentuk Persekutuan Malaysia pada tahun 1963.

Perkara yang ketiga ialah pelaksanaan Hukum Hudud juga bercanggahan dengan ciri-ciri masyarakat majmuk di Malaysia. Walaupun berkali-kali dimaklumkan pelaksanaan Undang-undang Syariah Islam dan Hukum Hudud hanya dihadkan kepada orang Islam sahaja dan orang bukan Islam tidak terjejas, tetapi apa yang berlaku pada realitinya adalah berbeza.

Contohnya, pelaksanaan Undang-undang keluarga Islam yang sedia ada sekiranya melibatkan pasangan yang bukan orang Islam telah menimbulkan banyak kekeliruan sejak kebelakangan ini.

Apabila Parlimen meminda Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan mahkamah-mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa mahkamah Syariah pada tahun 1988, jaminan yang sama telah diberi kepada masyarakat bukan Islam bahawa ianya tiada kesan terhadap orang bukan Islam.

Realitinya apabila masalah-masalah keluarga yang melibatkan orang Islam dan bukan Islam berlaku, dan apabila mahkamah syariah menjatuhkan hukuman yang tidak memihak pasangan bukan Islam, maka pasangan bukan Islam itu tidak boleh merujuk keputusan itu kepada mahkamah sivil sementara pasangan bukan Islam itu tidak mempunyai hak untuk didengar di mahkamah syariah kerana sistem undang-undang dan kehakiman Islam dikhususkan untuk orang Islam sahaja.

Satu lagi masalah teknikal yang bakal tertimbul ialah, sekiranya seorang Islam dan seorang bukan Islam melakukan kesalahan jenayah yang sama, penjenayah beragama Islam itu akan didakwa di bawah hukum hudud dan dibicara di oleh Mahkamah Syariah sementara yang bukan Islam itu akan didakwa di bawah Kanun Jenayah dan dibicara oleh Mahkamah Sivil.

Maka di sini tertimbulnya ketidakadilan yang sangat ketara kerana kedua-dua orang penjenayah ini akan dibicara melalui dua sistem perundangan yang jauh berbeza. Bukankah ini sekali lagi bercanggah dengan Perkara 8(1) yang mengatakan bahawa “Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang- undang.”

Sekiranya PAS Kelantan menekankan bahawa Orang Muslim dan Muslim Kelantan berhak melaksanakan Hukum Hudud di negeri Kelantan walaupun ianya bercanggahan dengan semangat dan struktur asas Perlembagaan Persekutuan dari semua sudut dan aspek, adakah ini bermaksud kaum bukan Bumiputera juga boleh menuntut supaya kedudukan istimewa kepada kaum Bumiputera dimansuhkan? Adakah ini bermaksud orang Bumiputera juga boleh menuntut supaya hak kewarganegaraan orang bukan Bumiputera boleh dilucutkan?

Soalan-soalan ini menimbukan satu situasi yang begitu bahaya yang tidak dapat saya bayangkan. Ini tidak boleh berlaku kerana jikalau ini berlaku, maka negara Malaysia yang tercinta akan kucar-kacir.

Soalan hakiki yang kita perlu menepuk dada tanya selera ialah, adakah PAS Kelantan lebih mengenali mereka sebagai Muslim dan Kelantan terlebih dahulu dan Rakyat Malysia kemudian?

Adakah kita rakyat Malaysia, lebih suka mengenali kita sendiri sebagai Orang Melayu, Cina, India, Kadazan atau Dayak terlebih dahulu dan orang Malaysia kemudian?

Adakah kita lebih lebih gemar mengenali kita sendiri sebagai Muslim, Kristian, Buddhis, Hindu atau Sikh terlebih dahulu dan Orang Malaysia kemudian?

Sekiranya jawapan kepada semua soalan di atas ialah “ya”, maka kita rakyat Malaysia sedang menghadapi satu krisis identiti yang besar.

Justeru itu, saya meggesa PAS Kelantan untuk kembali ke pangkal jalan. Perjuangkanlah masalah-masalah hakiki yang dihadapi oleh semua rakyat Malaysia setiap hari.

Lau Weng San刘永山

No comments: