Wednesday, February 17, 2016

Mencabar Noh Omar menyenaraikan semua projek Kerajaan Persekutuan yang menghadapi masalah di Selangor



Kenyataan Media ADUN DAP untuk kawasan Kampung Tunku, Selangor, Lau Weng San pada 17 Februari 2016 di Petaling Jaya:
  
Saya tertarik dengan tuduhan Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Selangor merangkap Ahli Parlimen Tanjung Karang, YB Dato’ Seri Noh Omar bahawa kerajaan Selangor telah sengaja mengagalkan atau melengahkan beberapa projek Kerajaan Persekutuan di Selangor dan saya ingin mencabar agar seharusnya mengemukakan senarai penuh projek dan rancangan pembangunan kerajaan Persekutuan di negeri Selangor yang terbantut atau terpaksa dibekukan akibat tindakan “sabotaj” kerajaan Selangor.

Tanpa mengemukakan senarai ini, tuduhan-tuduhan Noh Omar ini hanyalah omong-omong kosong retorik politik yang tidak bermakna, sungguhpun beliau akan mengemukan dua contoh, iaitu cadangan membina Balai Bomba di Setia Alam, Shah Alam dan cadangan membina Pusat atau Bazaar Pertanian Kekal di Puchong.

Beliau juga mengemukakan statistik membuktikan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak pernah menganak-tirikan kerajaan Selangor yang berada di bawah pentadbiran Pakatan Harapan di mana peruntukan sebanyak RM18.37bilion telah diperuntukkan oleh kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan pelbagai rancangan dan projek pembangunan di negeri Selangor.

Noh Omar juga harus mengarahkan kesemua dua belas ADUN Barisan Nasional dari parti UMNO untuk mengungkitkan setiap satu projek dan rancangan pembangunan yang dicadangkan oleh Kerajaan Persekutuan di negeri Selangor dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DUN) yang akan datang. Sekiranya kesemua dua belas ADUN UMNO ini masih bersikap diam-diam ubi berkarat, maka ini hanya membuktikan bahawa tuduhan-tuduhan Noh Omar ini tidak berkredibel.

Saya pasti setiap pertanyaan ini akan dijawab dengan lengkapnya oleh pihak Eksekutif nanti. Cuma saya perlu mengingatkan Noh Omar bahawa memang pernah berlaku Selangor dianak-tirikan oleh Kerajaan Persekutuan akibat perbezaan politik. Salah satu contoh yang paling baik ialah cadangan membina jambatan merentasi Sungai Klang ketiga di Klang. Kerajaan BN menabur janji untuk membina jambatan ini sebelum PRU ke-12 pada tahun 2008 tetapi janji ini tetap janji yang belum dikota sehingga Kerajaan Selangor terpaksa menggunakan peruntukan sendiri untuk membinanya.


Lau Weng San
Post a Comment