Tuesday, October 25, 2016

Speaker Dewan Rakyat memberi takrifan baru yang terpesong terhadap konsep “sub judice”






Kenyataan Media ADUN DAP Kawasan Kampung Tunku, Selangor, Lau Weng San pada 25 Oktober 2016 di Petaling Jaya:

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia memberi takrifan baru terhadap maksud perkataan “sub judice” apabila beliau menolak semua pertanyaan dan usul berkenaan dengan saman sivil yang difailkan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat atau Department of Justice (DoJ) bagi mendapat kembali aset yang diperolehi melalui dana 1MDB yang didakwa telah diselewengkan.

Walaupun begitu, takrifan beliau ini jauh terpesong daripada praktis dan maksud sebenar sebagaimana yang berlaku di mana-mana Parlimen ala Westminster kerana takrifan terhadap “sub judice”, sebagaimana yang dipraktis di kebanyakan parlimen negara-negara Komanwel, amat berbeza dengan takrifan baru yang diberi Speaker Dewan Rakyat ini.

Takrifan Pandikar Amin ini seolah-olah bermakna mana-mana kes yang sedang dan akan dibicara oleh mahkamah di merata-rata dunia tidak boleh dibangkitkan di Dewan Rakyat. Secara konvensyen, sesuatu perkara akan dianggap sebagai sub judice sekiranya perkara yang hendak dibangkitkan itu sedang dan akan dibicara di mahkamah domestik sahaja, supaya perkara itu tidak akan dibincangkan selanjutnya supaya tidak mengganggu perjalanan perbicaraan mahkamah. Masalah sub judice jarang tertimbul walaupun sesuatu kes itu sedang dibicara oleh mahkamah asing kerana ianya terletak di luar sistem kehakiman domestik.


Kedua, Parlimen United Kingdom mempunyai takrifan yang boleh dirujuk berkenaan dengan perkara sub judice dan saya memetiknya daripada Appendiks I Peraturan-peraturan Tetap House of Commons seperti di bawah:

“1. Cases in which proceedings are active in United Kingdom courts shall not be referred to in any motion, debate or question.
 (b) (i) Civil proceedings are active when arrangements for the hearing, such as setting down a case for trial, have been made, until the proceedings are ended by judgment or discontinuance.
(ii) Any application made in or for the purposes of any civil proceedings shall be treated as a distinct proceeding.
(c) appellate proceedings, whether criminal or civil, are active from the time when they are commenced by application for leave to appeal…where a ministerial decision is in question, or in the opinion of the Chair a case concerns issues of national importance such as the economy, public order or the essential services, reference to the issues or the case may be made in motions, debates or questions.”

Erskine May Parliamentary Practice pada perenggan tiga muka surat 438 juga memberi penerangan terhadap maksud Appendiks di atas di mana ianya mengatakan bahawa "Successive Speakers have exercised their discretion to allow matters to be discussed..." dan "Deliberations of non-domestic courts, including the courts of the European Union, are not subject to the sub judice rule".

Daripada petikan di atas, adalah jelas bahawa:

(1) Perbahasan terhadap sesuatu perkara akan menjadi sub judice sekiranya prosiding (perbicaraan) perkara itu masih aktif dalam mana-mana mahkamah domestik di UK. Dalam konteks Malaysia, ianya juga bermakna saman sivil yang difailkan oleh DOJ terhadap pemulihan aset-aset 1MDB yang diseleweng masih boleh dibangkitkan di Dewan Rakyat dan tidak menjadi sub judice kerana saman sivil itu difailkan di Amerika Syarikat dan bukan di Malaysia.

(2) Ini diperkukuhkan dengan Sebagai contoh, sekiranya sesuatu kes di UK sedang dibicara di mahkamah EU, ianya masih boleh dibangkitkan di House of Commons.

(3) Biarpun perbahasan terhadap sesuatu perkara sudah menjadi sub judice tetapi Speaker masih boleh membenarkan ianya dibangkitkan mengikut budi bicara Speaker sekiranya ianya melibatkan kepentingan orang ramai.

Maka dengan ini jelaslah bahawa Speaker Dewan Rakyat telah memberi takrifan baru terhadap pemahaman “sub judice” di mana takrifan beliau adalah jauh terpesong daripada praktis dan pemahaman yang sebenar.

Sekiranya logik Tan Sri Pandikar Amin ini benar, mengapakah beliau membenarkan isu berkenaan dengan MH17 dan MH370 dibangkitkan dalam Dewan Rakyat sedangkan ahli-ahli keluarga mangsa dan krew kedua-dua pesawat Malaysia Airlines telah memfailkan saman terhadap Malaysia Airlines Berhad di mahkamah?

Adalah menjadi harapan seluruh rakyat Malaysia bahawa Parlimen dan Dewan Rakyat khususnya memainkan fungsi dan peranannya sebagai badan pemeriksa terhadap kuasa eksekutif dan tidak lagi dianggap sebagai rubber stamp, seperti apa yang selalu diperkatakan oleh Tan Sri Pandikar Amin Mulia sendiri yang berharap Parlimen Malaysia menjadi Parlimen Dunia Pertama (First World Parliament).

Lau Weng San
ADUN Kampung Tunku

Post a Comment