Tuesday, September 04, 2018

Ucapan perbahasan ADN Banting (PH-DAP) Lau Weng San dalam usul menjunjung kasih titah ucapan Tuanku Sultan Selangor

Salam sejahtera diucapakan kepada YAB Dato Menteri Besar, YB Tuan Speaker dan semua Ahli YB sekalian:

1. Berdiri saya di Dewan Yang Mulia untuk pertama sekali mengucapkan terima kasih kepada pengundi di DUN Banting kerana memilih saya sebagai wakil rakyat mereka di DUN Selangor. Begitu juga dengan sokongan padu yang dihulurkan kepada saya oleh semua penjawat awam di Daerah Kuala Langat dalam menjalankan tugas saya sebagai ADUN Banting. 
2. Juga tidak boleh dilupakan rakan-rakan dan teman-teman di Petaling Jaya, khususnya MBPJ dan PTD Petaling yang memberi bantuan yang banyak kepada saya untuk sepuluh tahun yang lepas.
3. Walaupun ramai muka baru di kalangan kita pada hari ini, tetapi ramai sebelum ini berpengalaman sebagai Ahli Majlis PBT dan petugas di Pusat Khidmat ADUN atau Ahli Parlimen. Situasi ini jauh berbeza pada tahun 2008 apabila ramai muka baru pada masa itu memang baru dari segi pengalaman.
4. Justeru itu, EXCO mesti memberi perhatian serious terhadap semua soalan dan isu yang dikemukakan oleh ADUN. Maklum balas seperti “dalam kajian”, “akan dikaji” dan sebagainya pastikan tidak diperlukan dan tidak terpakai lagi.
5. Berlalulah zaman di mana kerajaan negeri dan persekutuan ditadbir oleh dua parti yang berbeza dan semestinya ini dijangka akan melicinkan pentadbiran kerajaan negeri. Salah satu contoh yang baik ialah penyelesaian cepat masalah penstrukturan semula industri air di Selangor.
6. Perubahan iklim politik juga mewajarkan rombakan terhadap program-program kebajikan IPR. Sebagai contoh: pembayaran wang SMUE fasa pertama dan kedua di mana cadangan saya agar kesemua wang ini dibayar terus menerus kepada penama melalui EFT sama ada oleh SUK atau oleh PTD untuk memudahkan bayaran dan mengurangkan lagi birokrasi.
7. Seperti yang dimaklumkan dalam titah ucapan Tuanku semalam, kita perlu menjauhkan diri daripada politik sempit yang berasaskan perkauman dan agama. Marilah kita semua melihat kita sebagai Anak dan Bangsa Malaysia dan bukannya Melayu, Cina, India atau Kadazan, Dusun, Murut, Iban atau Bidayuh. 
8. Saya juga kesal bahawa walaupun PRU14 sudah lama berlalu, tetapi pemimpin-pemimpin UMNO, MCA dan PAS seolah-olah masih hidup dalam mimpi lama mereka dan tetap terikat permainan politik perkauman dan agama. Saya menyarankan agar mereka kembali ke pangkal jalan dan menegur kerajaan tentang dasar dan urustadbir kerajaan dan bukannya menuduh sebarangan seperti yang berlaku sebelum ini.
9. Pertumbuhan ekonomi Selangor yang berasaskan ekonomi digital sangat penting dan saya menghargai usaha yang dilakukan oleh kerajaan negeri selama ini untuk membangunkan infrastruktur dan iklim pelaburan yang subur untuk melonjakkan Selangor ke arah Industri 4.0. Saya meminta kerajaan memberi perhatian yang lebih kepada pelaburan dari negara Jerman, khususnya bagaimana sektor perindustrian dan akademik di negara itu bekerjasama untuk melahirkan tenaga pekerja dan penyelidik yang mencukupi sebagai asas untuk pelaksanaan platform industri 4.0 yang lebih mantap.
10. Jalinan kerjasama perlu dimulakan pada masa sekarang bersama-sama dengan agensi Kerajaan Persekutuan untuk meninjau bagaimana kita oleh menjadikan Selangor sebagai hub Industri 4.0. Contohnya Fraunhofer Gesellschaft daripada negara Jerman yang terkenal di benua Eropah dalam mengkomersialkan penyelikan dan kajian sains dan teknologi di IPT.
11. Memandangkan kerajaan Persekutuan sekarang diterajui oleh Pakatan Harapan, kerajaan Selangor bolehlah memulakan perbincangan dengan Putrajaya berkenaan dengan masa depan dan hala tuju Putrajaya dan Kuala Lumpur. 
12. Kedua-duanya diserah kepada Kerajaan Persekutuan pada zaman yang berbeza untuk dijadikan sebagai wilayah persekutuan. Hakikatnya ialah tiada negeri di Malaysia kecuali Selangor yang membenarkan penyerahan tanah jajahannya bukan sekali tetapi dua kali kepada Persekutuan untuk dijadikan sebagai Wilayah Persekutuan. Maka ini harus digunakan sebagai alasan yang kukuh untuk membenarkan Selangor memainkan peranan yang lebih besar dalam pentadbiran Kuala Lumpur sementara merundingkan semula bayaran pampasan kehilangan hasil kepada Kerajaan Selangor oleh Persekutuan yang terlalu sedikit.
13. Mesyuarat Penuh MDKL yang lepas telah memutuskan untuk mengemukakan sekali lagi kertas cadangan untuk memohon menaik taraf Majlis Kuala Langat daripada sebuah Majllis Daerah kepada Majlis Perbandaran. Saya telah difahamkan bahawa permohonan yang pertama dikemukakan seawal tahun 2007 tetapi tidak berjaya kerana Kuala Langat masih dianggap sebagai sebuah kawasan luar bandar.
14. Namun begitu, keadaan fizikal Kuala Langat sudah berubah. Walaupun Kuala Langat masih terkenal sebagai sebuah destinasi eko-pelancongan dengan persisiran pantai Morib dan kehidupan desa yang tenang dan aman yang menawarkan seribu satu daya tarikan kepada warga bandar, pembangunan di bahagian daerah Kuala Langat yang bersempadan dengan Klang, Shah Alam, Subang Jaya, Puchong dan Putrajaya semakin pesat dan rancak. 
15. Kawasan-kawasan seperti Rimbayu, Bandar Saujana Putra, Tropicana Aman, EcoWorld dan Bandar Mahkota Banting yang bakal dibangunkan dengan kawasan-kawasan perumahan berstrata, kawasan komersial yang bercirikan shopping mall juga akan melonjakkan status Kuala Langat sebagai sebahagian daripada Lembah Klang.
16. Ini ditambah lagi dengan jaringan lebuhraya yang dipelopori Lebuhraya SKVE dan WCE yang dijangka siap pada Jun 2019. Namun begitu, masih terdapat beberapa isu kritikal yang perlu diberi perhatian kerajaan negeri khususnya dari segi perancangan bandar dan gunatanah di daerah ini.
17. Saya juga memohon kerajaan Selangor untuk mendesak Kerajaan Persekutuan memberi peruntukan lebih untuk penyelenggaraan dan naiktaraf jalan, lampu jalan dan parit serta saliran yang berada di bawah kuasa Kerajaan Persekutuan. Contohnya:
18. Jalan Persekutuan No. 5 (Jalan Klang – Banting - Sepang)
19. Jalan Persekutuan No. 31 (Jalan Banting – Semenyih)
20. Jalan Persekutuan No. 32 (Jalan Labohan Dagang – Nilai)
21. Aktiviti pertanian merupakan aktiviti ekonomi yang penting di Kuala Langat berdasarkan kepada tanahnya yang subur.  Malahan daerah Kuala Langat juga mempunyai sebuah kebun teh yang diusahakan oleh Boh Plantation yang terletak di Sri Cheeding, iaitu bersebalahan dengan Kota Kemuning terletak hanya 30 minit dari Shah Alam. Biarpun begitu pemodenan sektor ini tidak dapat dilakukan selagi golongan petani tidak ada tanah yang sah untuk aktiviti pertanian mereka. 
22. Golongan petani di Sungai Kelambu masih memerlukan tanah yang sah untuk mereka bercucuk tanam tanaman kontang. Mereka pernah memohon daripada kerajaan negeri agar tanah yang mereka bercucuk tanam sekarang, iaitu sekeping tanah rizah hutan simpanan di kawasan berkenaan diberi kebenaran yang sah untuk bercucuk tanam seperti jagung, halia, ubi dan sebagainya dan bukan sekadar lading kelapa sawit. 
23. Selain itu, perkhidmatan bas awam masih perlu dipertingkatkan di Kuala Langat. Walaupun MDKL menyedia dua laluan Bas Smart Selangorku, namun penduduk-penduduk di sini masih memerlukan jaringan dan rangkaian bus awam yang lebih banyak. Kita kesal kerana Cityliner terpaksa menamatkan perkhidmatan akibat tunggakan subsidi yang terlalu lama dan banyak daripada SPAD, namun begitu,kita tidak boleh bergantung semata-mata kepada Bas Smart Selangorku sahaja dan penglibatan pihak swasta amat diperlukan. Saya amat berharap kepincangan perkhidmatan bas awam di Kawasan Majlis Daerah juga diberi perhatian serious bersama-sama dengan rakan kita di Kementerian Pengangkutan.
24. Kuala Langat juga memerlukan infrastruktur digital yang lebih mantap. Hanya beberapa Kawasan di Banting sahaja yang diliputi perkhidmatan High Speed Broadband, iaitu Unifi. Netizens di luar Banting, termasuk di Jenjarom dan lain lain masih bergantung kepada perkhidmatan Streamyx yang bukan sahaja perlahan tetapi mahal. Saya faham bahawa kepadatan penduduk di sesuatu kawasan menentukan permintaan 
25. Pengurusan sisa pepejal di MDKL baru-baru ini diambil alih oleh Syarikat Milik Kerajaan Selangor, iaitu KDEB Waste Management. Prestasi KDEBWM masih di tahap yang belum memuaskan hati pengguna khususnya kerja-kerja pembersihan dan sampah pukal. Saya juga khuatir sama ada KDEBWM mempunyai tenaga pekerja yang mencukupi kerana mengikut maklumat yang disampaikan kepada Ahli Majlis, KDEBWM masih bergantung kepada tenaga pekerja kontraktor-kontraktor yang lama dan ini sudah pasti akan melemahkan prestasi KDEBWM kerana mereka hanya main contractor yang sekadar sublet kontrak mereka kepada sub-contractor.
26. Jabatan Alam Sekitar mesti dijemput untuk hadir secara mandatori memberi imput dan penjelasan terhadap isi kandungan laporan EIA dalam mesyuarat OSC supaya aspek pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar diberi penekanan yang lebih mendalam dalam proses pertimbangan sesuatu kertas kerja.
27. Jabatan Alam Sekitar dan PBT perlu membincang apakah cara yang paling berkesan untuk memastikan sesuatu permohonan tidak melanggar mana-mana undang-undang alam sekitar. Contohnya sesuatu permohonan KM dan Pelan Bangunan mungkin hanya bangunan gudang tetapi selepas mendapat kelulusan, ianya barangkali bertukar wajah kepada yang lain dan ini memerlukan pemantauan berterusan daripada PBT dan JAS.
28. Kuala Langat baru-baru ini juga dibelenggu masalah kilang haram yang mencemarkan udara dalam memproses plastik yang diimport dari luar negara. Punca kepada masalah ini bukan sisa plastik itu sendiri tetapi kilang-kilang haram yang mencemarkan alam sekitar. Maka saya memohon kerajaan agar tindakan tegas diambil terhadap kilang-kilang haram ini kerana kerajaan telah memberi tempoh yang cukup lama untuk memutihkan kilang-kilang ini tetapi mereka masih berdegil, malah mencemarkan persekitaran kita.
29. Kempen Bebas Plastik perlu dirancakkan lagi dan diperluaskan. Selain mengurangkan penggunaan beg plastik, kita harus memberi perhatian kepada botol plastik yang terlalu banyak dan single use plastic yang lain seperti kotak plastik dan sebagainya. Kegunaan single-use plastic ini harus diketatkan dan dikurangkan. Mungkin boleh bermula dengan hanya membenarkan botol plastik air satu liter ke atas dibenarkan di pasaran.
30. Cadangan-cadangan untuk Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan:
Jawatankuasa Pemantauan Tender dan Sebut Harga untuk memastikan pelaksanaan projek sentiasa dijalankan berdasarkan peruntukan kewangan dan tempoh kontrak yang telah ditetapkan.
Memilih Ahli-ahli Majlis Kerajaan Tempatan melalui pilihanraya supaya rakyat diberi kuasa untuk memilih Ahli-ahli Majlis. Kerajaan Negeri Selangor melalui Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Pemilihan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (Negeri Selangor).
Mengkaji semula elaun Ahli-ahli Majlis khususnya di peringkat Majlis Daerah Kuala Langat (dengan peruntukan pejabat dan pembantu) dan menyediakan elaun mengupah pembantu dan elaun pusat khidmat kepada Ahli-ahli Majlis yang berkhidmat di MDKL dengan bantuan kerajaan.
Pindaan terhadap komposisi Jawatankuasa Tatatertib di setiap PBT di mana peranan Ahli Majlis dalam Jawatankuasa ini diperkukuhkan dengan perlantikan sekurang-kurangnya lima orang Ahli Majlis ke dalam Jawatankuasa ini.
31. Ucapan saya juga tidak lengkap kalau tidak menyentuh tentang halatuju dan pembangunan Dewan Yang Mulia ini. Maka cadangan-cadangan saya adalah seperti berikut:
Pengasingan kuasa antara Eksekutif dan Perundangan, di mana pengurusan kewangan Dewan Negeri Selangor harus diletakkan di bawah kuasa Speaker Dewan Negeri Selangor. Jawatankuasa Pengurusan Dewan akan ditubuhkan dan secara spesifik, saya berharap perkara-perkara seperti di bawah diberi perhatian:
Membenarkan semua jawatankuasa menjalankan sesi pendengaran terbuka dan siaran langsung sebagai usaha untuk menunjukkan keterbukaan dan ketelusan urusan jawatankuasa pilihan.
Menyediakan satu belanjawan tetap untuk semua jawatankuasa pilihan untuk menjalankan kursus-kursus pemerdayaan, termasuk peruntukan untuk mengadakan satu secretariat tetap untuk memastikan urusan perjalanan mesyuarat Jawatankuasa Tetap tidak tergendala dan boleh berjalan sepanjang tahun.

No comments: