Wednesday, May 19, 2010

Kementerian Pembangunan Luar Bandar harus menyiasat kes Dr Selvaa terlebih dahulu dan bukan menghukum beliau

Laporan akhbar hari ini mengatakan bahawa seorang doktor yang membongkarkan keadaan pesakit-pesakit orng asli yang teruk di sebuah hospital Orang Asli di Gombak telah dikena surat tunjuk sebab oleh Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) pada 19 April 2010.

Doktor yang bernama Selvaa Vathany Pillai berkata bahawa beliau menerima surat ini atas tindakan beliau membongkarkan peristiwa itu dan tindakan ini telah dikatakan sebagai melanggar peraturan tetap kakitangan awam.

Dr Selvaa telah membongkarkan perkara ini di Majlis Peguam Malaysia pada 11 Februari 2010 di mana beliau turut mengatakan bahawa rawatan yang diberi kepada pesakit-pesakit Orang Asli tidak memenuhi piawai yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

Tindakan Dr Selvaa yang berani ini diikuti dengan peristiwa tunjuk perasaan yang diadakan di hospital berkenaan pada 24 Februari yang diadakan oleh lebih daripada 30 orang penduduk Orang Asli.

Saya berasa kecewa dengan tindakan JHEOA ini kerana tindakan ini sememangnya tidak akan menyelesaikan masalah kesihatan yang dialami oleh golongan Orang Asli. Selain itu, masalah yang ditimbulkan oleh Dr Selvaa ini berkait rapat dengan profesionalisme perkhidmatan perubatan di Malaysia dan sebagai seorang doktor perubatan yang bertauliah, beliau berhak untuk menyuarakan kepincangan dalam perkhidmatan perubatan kepada pihak yang berkenaan supaya tindakan pembetulan boleh diambil.

Saya percaya Dr Selvaa memilih untuk membongkarkan perkara ini kepada pihak luar kerana beliau tidak menampak apa-apa tindakan susulan daripada pihak berkenaan, sama ada daripada JHEOA, Kementerian Pembangunan Luar Bandar ataupun Kementerian Kesihatan untuk memperbetulkan keadaan ini.

Jikalau kerajaan BN betul-betul berjiwa 1Malaysia, maka mereka harus menyiasat tuduhan-tuduhan yang dibuat oleh Dr Selvaa dan mengenakan tindakan disiplin terhadap pegawai-pegawai kerajaan di JHEOA dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang tidak menyelesaiakn masalah yang dibangkitkan oleh Dr Selvaa ini.'

Saya menyeru kepada Kabinet dan Perdana Menteri untuk bercampur tangan dalam hal ini. Seseorang kakitangan awam tidak harus dipersalahkan hanya keranan beliau menyuarakan kebenaran. Sebaliknya, tindakan berani beliau harus dipuji dan siasatan harus dijalankan terhadap tuduhannya.

No comments: