Wednesday, May 12, 2010

Kerajaan Negeri Harus Menilai Semula Prestasi Alam Flora di Selangor

Saya telah menerima banyak aduan daripada orang ramai tentang prestasi Alam Flora dan kontraktor-kontraktornya yang rendah dalam mengendalikan masalah kutipan sampah dan pembersihan di kawasan mereka. Aduan-aduan yang sama turut diterima oleh wakil rakyat di kawasan yang lain.

Antara aduan yang diterima ialah kekerapan kutipan sampah yang tidak mengikut jadual yang ditetapkan, pembersihan tidak dijalankan di tempat-tempat yang sepatutnya dan tidak mengikut jadual yang ditetapkan, pekerja-pekerja meminta "duit kopi" untuk menjalankan tugas pembersihan dan kutipan sampah dan sebagainya.

Saya memahami bukan semua kontraktor Alam Flora yang menunjukkan prestasi rendah dan terdapat sebahagian masalah adalah berpunca daripada penduduk sendiri. Walaupun begitu, aduan-aduan yang semakin banyak diterima oleh wakil rakyat sedikit sebanyak menunjukkan bahawa Alam Flora perlu menilai semula prestasi kontraktor-kontraktor yang dilantiknya.

Saya tidak ada masalah jika kontraktor-kontraktor yang dilantik itu mempunyai kepentingan politik dengan Barisan Nasional dan UMNO kerana yang penting ialah mereka perlu menunjukkan prestasi yang memuaskan. Contohnya, kerja-kerja pembersihan di Seksyen 20, 21 dan 22 di DUN Kampung Tunku telah dikontrakkan kepada kontraktor bernama Mazlynoor Holdings kepunyaan Datuk Mazlynoor Abdul Latiff, mantan Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Klang. Saya tiada masalah dengan syarikat Datuk Mazlynoor mendapat kontrak ini tetapi beliau perlu memastikan kerja-kerja pembersihan dijalankan mengikut jadual.

Apa yang perlu dilakukan oleh Kerajaan Negeri ialah kita perlu lebih tegas dengan perlantikan kontraktor-kontraktor Alam Flora yang dilantik tanpa rundingan, malahan tanpa pengetahuan kerajaan negeri biarpun kerajaan negeri dan kerajaan tempatan yang menerima kesan-kesannya nanti.

Selain itu, kontrak antara PBT dengan Alam Flora juga telah tamat dan kini ianya hanya dijalankan atas asas setahun ke setahun dan setiap dua tahun. Justeru itu, kerajaan tempatan mempunyai peluang untuk menentukan sama ada mereka ingin meneruskan perkhidmatan dengan Alam Flora atau tidak. Jika mereka ingin meneruskannya, maka mereka perlu merunding semula perjanjian mereka dengan Alam Flora dan satu cara pemilihan dan perlantikan kontraktor yang lebih telus perlu dijalankan untuk memastikan prestasi kontraktor Alam Flora sentiasa di tahap yang memuaskan.

No comments: