Monday, June 17, 2013

Lawatan Ke Seminar CPA London: Satu Pengalaman Yang Berguna Untuk Memperkasa Peranaan Dewan Negeri Selangor

I was on a-week-long working trip in London from 4th to 11th March 2012 to attend the 61st Commonwealth Parliamentary Association workshop. Thank you to the then Speaker, Dato' Teng Chang Khim for selecting me to represent Selangor State Legislative Assembly to attend the event. Also attending was former State Assemblyman for Kajang, Sdr Lee Kim Sin, who was also attending an extended workshop on Public Accounts Committee (PAC) until 15th March 2012 in his capacity as its Chairman.

Below is my report and it is supposed to be published in our journal. With the new batch of PR government, I do hope that there will be more budget to publish this journal and the report that follows below:

Saya dengan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, YB Lee Kim Sin telah dipilih untuk mewakili Dewan Negeri Selangor (DNS) untuk menghadiri seminar Persatuan Parlimen Komanwel atau Commonwealth Parliamentary Association (CPA) yang ke-61 dan bengkel CPA yang kedua di Westminster, London pada 4 hingga 15 Mac 2012.

Tajuk untuk seminar CPA ke-61 ini adalah berkenaan dengan pentadbiran dan praktis parlimen ala-Westminster sementara tajuk untuk bengkel CPA yang kedua pula mengenai tugas dan peranan yang dimainkan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam atau Public Accounts Committee (PAC).

Seminar CPA ini bertujuan untuk memberi pendedahan seluas-luasnya kepada wakil-wakil rakyat dipilih penggal pertama dari negara-negara Komanwel yang mewarisi sistem pentadbiran demokrasi berparlimen ala-Westminster. Walaupun begitu, terdapat juga beberapa wakil rakyat daripada negara bukan Komanwel seperti Oman yang difahamkan akan menerap prinsip-prinsip Westminster dalam pentadbiran parlimen mereka.

Seminar ini berlangsung selama lima hari berturut-turut di Portcullis House, iaitu sebuah bangunan pejabat yang terletak di hadapan bangunan Parlimen United Kingdom (UK) di Westminster. Bangunan ini digunakan sebagai tempat Ahli-ahli Parlimen UK bertemu dengan rakyat dan tempat pendengaran terbuka.

Seminar ini bermula setiap hari dengan dua sessi pada sebelah pagi dan dua hingga tiga sessi pada sebelah petang di mana sessi yang ketiga biasanya ialah perbincangan secara tidak formal yang akan berlangsung di luar Portcullis House, iaitu di kediaman rasmi Perdana Menteri UK (No. 10, Downing Street, London), kediaman rasmi Setiausaha House of Commons dan juga pejabat Tuan Speaker House of Commons.

Hari pertama seminar ini bermula dengan pengenalan kepada fungsi dan proses perundangan Parlimen UK. Setiap peserta diberitahu dengan terperinci cara Parlimen UK menggubal undang-undang. Kami terpegun dengan peringkat-peringkat yang perlu dilalui oleh Parlimen UK dalam proses penggubalan ini. Kami juga difahamkan bahawa Ahli-ahli Parlimen UK mempunyai kemampuan untuk menggubal undang-undang persendirian (Private Members Bills) dengan sokongan yang begitu meluas diberi kepada para Ahli Parlimen melalui seorang lagi Setiausaha Dewan yang ditugaskan untuk membantu Ahli Parlimen bagi melaksanakan fungsi ini.

Perwakilan juga diberi penerangan tentang peranan yang dimainkan oleh seorang Ahli Parlimen di UK dan peranan yang dimainkan oleh pembangkang. Kami difahamkan setiap Ahli Parlimen UK diperuntukkan tiga orang pembantu sama ada untuk membantu beliau dalam tugas-tugas di kawasannya ataupun di bangunan Parlimen.

Seminar ini diteruskan pada hari kedua dengan lebih banyak perbincangan terhadap fungsi “Kamar Kedua”(Second Chamber) iaitu House of Lords di UK (Dewan Negara di Malaysia) dan interaksi antara Kamar Pertama (House of Commons di UK dan Dewan Rakyat di Malaysia) dan Kamar Kedua, disiplin parti di dalam Parlimen dan sistem jawatankuasa. Kami juga dijemput untuk menyaksi secara langsung sessi soal-jawab di Parlimen UK. Pembaharuan telah bermula di Parlimen UK di mana sebahagian ahli House of Lords Parlimen UK kini dipilih melalui pilihanraya dan bukan dilantik lagi.

Seminar hari yang ketiga pula ditumpukan kepada peranan Parlimen UK dan memantau dan menyemak kerajaan UK di mana kami diberi penerangan terhadap pelbagai cara dan taktik untuk Parlimen UK menjalankan tugas ini melalui Prime Minister’s Question Time, peranan media dalam membuat liputan terhadap persidangan parlimen dan siaran langsung sidang parlimen. Selain itu, kami juga terpesona dengan konsep “Leader of the House” di mana beliau berfungsi sebagai jambatan antara ahli-ahli backbenchers dengan kerajaan dan beliau merupakan salah seorang daripada anggota kabinet.

Seminar hari keempat lebih bertumpukan hubungan antara Parlimen dengan NGO, peranaan wanita dalam perjalanan parlimen serta tugas dan tanggungjawab Tuan Speaker. Kami juga diberi peluang untuk berbincang secara mendalam tentang Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen UK (Standards and Privileges Committee).

Seminar hari terakhir pula ialah lawatan ke kawasan Ahli-ahlli Parlimen tertentu sama ada dari Parti Konservatif, Parti Buruh atau Parti Liberal Demokratik. YB Lee Kim Sin telah dipilih untuk melawat kawasan yang bernama “Mitcham and Morden” di kawasan London di mana Ahli Parlimennya ialah Ms Siobhain McDonagh daripada Parti Buruh dan lebih satu pertiga daripada pengundi-pengundinya ialah orang bukan putih.

Saya pula telah dipilih untuk menyertai lawatan ke kawasan parlimen Colchester yang merupakan sebuah pekan yang terletak kira-kira 60 batu dari metropolitan London. Kawasan ini diwakili oleh Sir Bob Russell, iaitu Ahli Parlimen Parti Liberal Demokratik. Saya berasa gembira kerana saya berpeluang untuk bertemu dengan Datuk Bandar Majlis Daerah Colchester (Colchester Borough Council), Puan Helen Chuah, yang berasal dari Pulau Pinang, Malaysia tetapi telah berhijrah ke UK pada tahun 1970 dan menjadi warga negara UK.

Secara ringkasnya, lawatan ini adalah sangat berguna dan bermakna untuk semua wakil rakyat di Malaysia dan Selangor khususnys apabila Dewan Negeri Selangor berusaha untuk menjadi sebuah Dewan bertaraf dunia pertama. Kami terpesona dengan begitu banyak konsep-konsep baru dalam pentadbiran Dewana dan kami bangga kerana beberapa usaha untuk memperkasa peranan Dewan Negeri Selangor telahpun bermula dalam penggal ini dan kami berharap usaha-usaha murni ini akan dapat diteruskan.

Lau Weng San

ADN Kampung Tunku

No comments: