Thursday, August 15, 2013

Jenayah musuh negara dan harus diperangi dengan apa cara sekalipun

Saya sempat merenung beberapa rencana dan kenyataan media yang ditulis saya ketika saya mula menceburi bidang politik pada tahun 2005. Terkejut saya apabila saya mendapat tulisan-tulisan saya pada masa itu masih lagi relevan pada masa sekarang.

Maksudnya ialah selepas lebih kurang lapan tahun, dua Perdana Menteri dan barangkali dua hingga tiga Pilihanraya Umum (PRU), keadaan pada tahun 2005 tidak banyak bertambah baik pada masa sekarang.

Malahan sekiranya pemimpin-pemimpin politik dan media ingin menulis atau membuat liputan terhadap masalah jenayah di Malaysia, tiada banyak poin baru yang boleh dibangkitkan.

Cuma satu fenomena baru yang agak menarik ialah masalah jenayah semakin mendapat perhatian daripada segenap lapisan masyarakat Malaysia. Saya masih ingat pada tahun 2005, masalah ini lebih diberi perhatian oleh media Bahasa Cina dan kaum Cina dan ianya lebih relevan untuk penduduk-penduduk di bandar-bandar besar Lembah Klang dan Johor Bahru.

Kini, masyarakat India dan Melayu juga sangat prihatin terhadap masalah jenayah dan saya kira ini ialah perkembangan yang baik. Perkara ini tidak mungkin berlaku jikalau beberapa kes jenayah berprofil tinggi tidak berlaku. Antaranya ialah pembunuhan pengasas Arab Malaysian Bank (AmBank), Hussain Ahmad Najadi pada 29 Julai 2013 yang ditembak mati di Lorong Ceylon, Kuala Lumpur.

Sebelum itu, rumah Menteri Belia & Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar di Jalan Setiabistari, Bukit Damansara dipecah masuk tiga pencuri pada 29 Jun 2013. Malahan sebelum ini, pernah juga dilaporkan tentang banyak kes pecah rumah yang berlaku di rumah-rumah Menteri, pemimpin-pemimpin dan saudara-masa pemimpin UMNO sebelum ini.

Kes terbaru yang mengejutkan kita ialah pistol seorang anggota polis dirompak di Shah Alam beberapa hari yang lalu. keyakinan orang ramai terhadap keupayaan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk menjada keselamatan orang ramai semakin terhakis dengan laporan-laporan negatif seperti ini. Betul kata Khairy Jamaluddin, masalah jenayah di Malaysia bukan semata-mata persepsi, tetapi satu isu yang sebenar.

Ramai penduduk di Malaysia telah mula mendirikan komuniti berpagar dan berpengawal (Gated and Guarded Community) di tempat mereka. Tren ini bermula di Lembah Klang pada pertengahan tahun 2000-an dan kemudiannya bertumbuh bagai cendawan selepas hujan di seluruh negara. Adakah cara ini berkesan mengurangkan kadar jenayah? Pada pendapat saya, ianya tidak berkesan.

Terdapat dua sebab mengapa saya berpendapat sedemikian. Sebab pertama ialah walaupun komuniti berpagar dan berpengawal mampu mengurangkan kes pecah masuk dan rompak di sesebuah komuniti, ianya tidak membantu mengurangkan kadar jenayah keseluruhannya. Contohnya, anda barangkali berasa selamat di rumah anda yang terletak di dalam komuniti berpagar dan berpengawal, tetapi apabila anda melangkah keluar dari rumah anda untuk membeli-belah di kedai, pasar atau menjamu selera di restoran yang berdekatan, anda terdedah kepada risiko jenayah yang lebih tinggi.

Komuniti berpagar dan berpengawal dalam situasi ini hanya “menghalau” penjenayah keluar daripada kawasan yang telah dipagarkan tetapi ianya tidak menghapuskan kegiatan jenayah sama sekali.

Kedua, skim ini memerlukan kerjasama daripada penduduk-penduduk. Dalam keadaan di mana kes jenayah dan pecah rumah masih boleh berlaku di dalam sesebuah komuniti berpagar dan berpengawal, ianya mampu mengikis keyakinan dan keberkesanan penduduk terhadap skim ini dan seterusnya menjejaskan penyertaan penduduk.

Ketiga, cara merompak penjenayah semakin ganas. Kalau pada masa dahulu mereka menggunakan senjata ringan seperti pisau. Kini mereka menggunakan parang, kapak malahan pistol untuk merompak. Kalau pada masa dahulu mereka datang bermotosikal, kini mereka datang bergeng-geng dalam kereta. Pengawal-pengawal keselamatan biasa memang tidak dapat menangkis mereka. Pernah berlaku dalam kawasan saya di mana pengawal-pengawal keselamatan terpaksa melarikan diri apabila dikasari oleh perompak-perompak ini.

Jadi, bagaimana kita hendak menyelesaikan masalah ini? Jawapannya masih berada di tangan PDRM. Kita telah membongkarkan kepincangan dalam pengurusan sumber manusia pasukan PDRM tidak lama yang lalu.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng telah mengatakan bahawa daripada 112,583 anggota polis hanya 10,150 anggota sahaja yang memerangi jenayah iaitu hanya sembilan peratus. Di beberapa bandar di Lembah Klang, nisbah anggota polis kepada penduduk mencecah 1:500, jauh lebih tinggi daripada piawai antarabangsa iaitu 1:250.

Dua cadangan utama untuk menyelesaikan masalah ini ialah dengan menubuhkan pasukan polis bantuan dan menghantar lebih ramai anggota polis, seperti Pasukan Gerak Am (PGA), Cawangan Khas dan sebagainya untuk memerangi jenayah.

Respons Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar tentang kedua-dua cadangan ini agak menghampakan. Beliau hanya membenarkan penubuhan pasukan polis di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk menjaga premis MBPJ sahaja. Ini menyimpang jauh daripada tujuan asal menubuhkan pasukan polis bantuan MBPJ yang asal, iaitu untuk membantu meronda kawasan-kawasan jenayah.

Dalam isu kekurangan anggota PDRM, Ketua Polis Negara dan Menteri Dalam Negeri bersikap lebih defensif, di mana mereka menyalahkan pemansuhan Emergency Ordinance di mana penjenayah-penjenayah dibebaskan dan menyebabkan kes pembunuhan meningkat.

Sindrom penafian (Denial Syndrome) ini telah menyebabkan masalah kekurangan anggota polis untuk menangani kes-kes jenayah terus tidak diendah. Saya kira masanya sudah sampai agar kerajaan persekutuan dan PDRM untuk bersikap think outside the box dan kreatif untuk memerangi jenayah.

Ya, ini ialah satu peperangan menentang jenayah dan segala tindakan yang harus dan boleh dilakukan untuk mengurangkan jenayah harus dilaksanakan segera. Janganlah ianya digagalkan oleh birokrasi-birokrasi remeh ciptaan manusia sendiri.

Lau Weng San
ADUN Kampung Tunku, Selangor.
Post a Comment