Monday, August 05, 2013

Kerajaan Barisan Nasional (BN) harus memberitahu orang ramai tentang kos pembiayaian keseluruhan dalam menggantikan kereta rasmi Proton Perdana dengan kereta Honda Accord 2.4 L dan 2.0L.

Kerajaan persekutuan di bawah BN tempoh hari telah membuat keputusan untuk menggantikan Proton Perdana Executive Anggota Pentadbiran, Yang Di-Pertua dan Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara, Hakim dan Pegawai-pegawai Perkhidmatan Gred Utama/Khas A dan ke atas, dengan kereta Honda Accord 2.4L.

Sementara itu, kereta rasmi Proton Inspira yang diguna tidak lama dahulu oleh Pegawai-pegawai Perkhidmatan Gred Utama/Khas B dan C juga akan diganti dengan kereta Honda Accord 2.0L.

Dilaporkan media bahawa kedua-dua model kereta Honda ini ialah kereta Completely Knocked-Down (CKD) yang dipasang oleh kilang DRB-Hicom di Pekan, Pahang, iaitu kawasan Parlimen Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Ini bukan kali pertama sesebuah kerajaan di Malaysia memutus untuk menggantikan kereta nasional Proton Perdana Executive dengan kereta-kereta bukan nasional.

Pada tahun 2008 kerajaan negeri Selangor dan Perak di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) telah memutus untuk menggantikan kereta-kereta Proton Perdana Executive dengan kereta Toyota Camry 2.4L sebagai kereta rasmi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Tindakan ini terus dikritik oleh pemimpin-pemimpin UMNO sebagai tidak “patriotik” walaupun alasan untuk menggantikan kereta-kereta Proton Perdana Executive ialah disebabkan kos penyelenggaraannya yang terlalu tinggi serta kerosakan yang kerap berlaku pada kereta nasional itu.

Pemimpin-pemimpin UMNO ini diam apabila kerajaan Terengganu dan Sabah di bawah BN kemudiannya membuat keputusan yang sama apabila kedua-dua kerajaan negeri ini membuat keputusan untuk menggantikan kereta-kereta rasmi Proton Perdana Executive dengan kereta Mercedes-Benz dan Volvo masing-masing. Kedua-dua jenama kereta ini dikatakan jauh lebih mahal dan mewah daripada Toyota Camry.

Kini kerajaan persekutuan BN juga membuat keputusan yang sama. Walaupun begitu, saya terperanjat atas dua sebab. Pertama, mengapakah kereta Proton Inspira yang masih baru perlu ditukar kepada kereta Honda Accord 2.0L?

Kedua, mengapa kerajaan menggunakan kereta Honda Accord 2.4L dan 2.0L dan bukan kereta-kereta yang lain? Adakah ianya disebabkan kereta kedua-dua model kereta Honda ini dipasang oleh kilang DRB-Hicom di Pekan di mana syarikat ini milik Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary?

Rakyat Malaysia masih dihantui dengan skandal ngeri yang lalu apabila kerajaan persekutuan menandatangani satu perjanjian berat sebelah dengan Syarikat Spanco yang diberi tugas untuk menyelenggara semua kereta rasmi Proton Perdana Executive di mana kerajaan persekutuan perlu membayar RM100 juta setahun kepada Spanco untuk tujuan ini.

Justeru itu, persoalan turut tertimbul apabila kerajaan tidak mengumumkan sama ada proses pemilihan ini melalui proses tender terbuka atau rundingan terus, seperti mana yang berlaku dalam kes Spanco? Berapa banyak yang perlu dibayar kerajaan persekutuan setiap tahun dan berapa lama kontrak penyewaan ini?

Yang pasti ialah pemimpin-pemimpin UMNO telah hilang kredibiliti mereka apabila mereka sanggup “menderhaka” terhadap kereta nasional. Janganlah mereka menuduh kerajaan PR pada masa depan dengan tomahan yang sama apabila mereka sendiri juga melakukan perkara yang sama.

No comments: