Wednesday, January 21, 2015

Pelaksanaan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan merupakan sebahagian daripada manifesto Pakatan Rakyat Selangor dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang lepas




Saya merujuk kepada kekeliruan yang berbangkit berkenaan sama ada cadangan DAP untuk memulihkan pilihan raya kerajaan tempatan adalah sebahagian daripada manifesto Pakatan Rakyat atau tidak.

Walaupun cadangan ini tidak disebut dengan nyata dalam manifesto Pakatan Rakyat pusat, tetapi perkara ini telahpun termaktub dalam manifesto Pakatan Rakyat Selangor yang dilancarkan pada tahun 2013.

Manifesto ini turut ditandatangani oleh ketua ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat di Selangor pada masa itu, iaitu Sdri Teresa Kok (Pengerusi DAP Selangor), Sdr Dr Rani Osman (Pesuruhjaya PAS Selangor) dan Sdr Azmin Ali (Pengerusi PKR Selangor, yang sekarang merupakan Menteri Besar Selangor). Manifesto ini juga ditandatangani oleh Menteri Besar Selangor pada masa itu, iaitu Tan Sri Khalid Ibrahim.

Perkara ini telah disebut dalam bab “Kerajaan Rakyat” pada muka surat terakhir manifesto ini yang berikut seperti berikut: “Melaksanakan dasar menurunkan kuasa secara berperingkat menerusi pelaksanaan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan.”

Isi kandungan manifesto ini masih boleh dimuat-turun dan dibaca di http://www.selangorku.com/wp-content/uploads/2013/04/manifesto-selangor-print-Malay-FA-v8print.pdf

Selain daripada itu, Tuanku Sultan Selangor juga menitahkan agar Pakatan Rakyat menunaikan semua janjinya dalam manifesto PRU kerana berjaya meyakinkan rakyat semasa PRU13 dengan manifesto Pakatan Rakyat. Baginda menitahkan tentang perkara ini semasa majlis perlantikan dan angkat sumpah Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 30 Mei 2013 yang lalu.

Maka dengan ini, jelas dan nyata bahawa kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor mesti melaksanakan dasar untuk menurunkan kuasa secara berperingkat menerusi pelaksanaan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan dalam tempoh lima tahun bermula tahun 2013.

Diharap perkara ini mendapat perhatian yang sewajarnya daripada rakan-rakan kami di Pakatan Rakyat.

No comments: