Thursday, March 05, 2015

Pertanyaan-pertanyaan yang akan dikemukakan dalam sidang DUN pertama tahun 2015


Pertanyaan-pertanyaan Lisan:

Tindakan disiplin terhadap pegawai MBPJ
Apakah tindakan susulan MBPJ dan Kerajaan Selangor terhadap pegawai-pegawai Unit Perundangan MBPJ yang disyaki melanggar tatatertib dalam isu kontrak papan tanda iklan yang melibatkan Laguna deBay Sdn. Bhd?
Bilakah siasatan dan laporan Lembaga Disiplin MBPJ akan disiapkan?

Isu pencemaran air sungai dan gangguan bekalan air
Apakah penjelasan kerajaan terhadap kegagalan mengesan punca dan kejadian pencemaran air sungai apabila kejadian ini telah berlaku berulang kali dan begitu kerap seolah-olah kerajaan tidak pernah belajar daripada kesilapan dan kecuaiannya sendiri?

Kegagalan PKNS dalam PJ Sentral
Mengapakah pegawai-pegawai atasan PKNS masih melakukan kesilapan ketara berkenaan klausa dan artikel Shareholder Agreement dan M&A PJ Sentral Development Sdn. Bhd., satu projek usahasama dengan Nusa Gapurna walaupun PKNS telah menandatangani Integrity Pact dengan Transparency International (TI)?

Pengiktirafan Unified Examination Certificate (UEC) oleh Unisel
Memandangkan bahawa Ketua Menteri Sarawak telah mengumumkan bahawa Kerajaan Sarawak akan mengiktiraf Unified Examination Certificate (UEC) walaupun ianya bidang kuasa kerajaan persekutuan, adakah Kerajaan Selangor akan mengikuti langkah Sarawak?

Pindaan terhadap Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003
Adakah kerajaan akan meminda Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 dengan mewajibkan pihak yang ingin memeluk Islam membubarkan perkahwinannya di bawah Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 sebelum perkahwinannya dengan pasangan Muslim boleh didaftarkan di bawah Hukum Syarak?

Penstrukturan semula industri air Selangor dengan Puncak Niaga
Apakah perkembangan terkini penstrukturan semula industri air Selangor memandangkan penjualan aset air oleh Puncak Niaga Holdings Berhad  kepada Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) masih belum dimuktamadkan dan tarikh akhir terpaksa dilanjutkan sehingga ke 9 Mac 2015?

Penstrukturan semula industri air Selangor denagn SPLASH
Apakah perkembangan terkini penstrukturan semula industri air Selangor antara SPLASH dengan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) memandangkan perkara ini masih belum dimuktamadkan dan tempoh rundingan sepanjang satu tahun hampir akan tamat sekitar pertengahan tahun 2015?

Isu kebajikan masyarakat bukan Muslim di Selangor
Mengapakah kerajaan tidak menwujudkan satu rangkaian kebajikan sosial (social safety network) yang lebih menyeluruh dan menyerupai LZS untuk masyarakat bukan Muslim memandangkan bantuan am sebanyak RM300 daripada JKM adalah sangat tidak mencukupi untuk menampung kehidupan harian.

Bonus kakitangan MBPJ selama tiga bulan
Mengapakah tidak kerajaan Selangor menetapkan satu garis panduan untuk menentukan bonus dan ganjaran kepada kakitangan-kakitangan PBT?
Elaun yang terlalu rendah akan mendorong gejala rasuah. Adakah kerajaan bercadang menyelaras elaun bulanan Ahli Majlis supaya setara dengan beban tugas dan tanggungjawab mereka?

E-strata dan SELAMAT
Difaham bahawa konsep e-strata dan portal https://strata2u.selangor.gov.my/ telah wujud sebelum ini. Sila beri penerangan, contoh dan illustrasi bagaimana sistem e-strata Secured Land Management System (SELAMAT) yang dilancarkan pada Januari 2015 boleh memudahkan transaksi tanah berstrata dan menjamin keselamatan transaksi tanah.

Pertanyaan-pertanyaan Bertulis:

Serbuan Unit Integriti oleh SUK
Bagaimana keberkesanan serbuan Unit Integriti oleh Setiausaha Kerajaan dalam mengurangkan budaya lepak semasa bekerja dapat diukur?
Adakah serbuan ini akan dijalankan secara one-off atau secara berpanjangan?
Adakah ianya akan dijalankan di pejabat-pejabat kerajaan selain Bangunan SSAAS?

Harga jualan rumah mampu milik dan rumah Selangorku
Kerajaan Selangor mengiystiharkan pada 29 Mac 2012 bahawa Rumah Mampu Milik (RMM) di Selangor tidak akan dijual melebihi RM100,000 tetapi pada 12 Dec 2014 harga ini telah bertukar menjadi antara RM100,000 dan RM220,000. Apakah sebab perbezaan ini?

Usahasama MBI dengan pemaju swasta
Difahamkan bahawa MBI telah mengenalpasti tanah kerajaan seluas 5000 ekar di Lembah Klang untuk projek usahasama (JV) dengan pemaju-pemaju yang berprestij dengan jangkaan GDV berjumlah RM60 bilion. Apakah jaminan MBI bahawa JV ini akan memberi pulangan yang lebih besar?

Pegawai-pegawai atasan di MBPJ
Memohon diberi senarai penuh semua pegawai di Majlis Bandaraya Petaling Jaya yang berpangkat gred 48 dan ke atas serta maklumat, pengalaman kerja, sejarah perjawatan, semua keraian, elaunan, gaji pokok, imbuhan, ganjaran dan bonus yang diterima oleh setiap satu daripada mereka pada masa sekarang.

Rumpai Miang Mexico (parthenium hysterophorus)
Memohon kerajaan memberi statistik tentang usaha-usaha yang telah dijalankan untuk menghapuskan tumbuhan yang memudaratkan ini di DUN Kampung Tunku.

Ekspedisi dan rombongan pelaburan kerajaan Selangor dan InvestSelangor di luar Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya
Memohon kerajaan menyeranaikan semua perbelanjaan, kos serta pegawai-pegawai kerajaan yang turut bersama dalam semua ekspedisi dan rombongan pelaburan kerajaan Selangor dan InvestSelangor yang diadakan di luar Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dari tahun 2004 hingga 2014.

Gaji, elaun, elaun khas, keraian, bonus dan ganjaran untuk kakitangan atasan GLC Selangor
Memohon kerajaan menyeranaikan nama, jawatan dan semua gaji, elaun, elaun khas, keraian, bonus dan ganjaran untuk semua kakitangan atasan PKNS, PNSB, KDEB dan PKPS di peringkat Lembaga Pengarah dan peringkat pengurusan.

Konsep sewa beli
Memohon kerajaan memberi maklumat terperinci tentang konsep sewa beli ini telah dan akan dilaksanakan di Selangor dan berikan contoh di mana konsep ini telah dijalankan di Selangor.

Golongan miskin dan asnaf yang menerima bantuan daripada JKM dan LZS di DUN Kampung Tunku
Memohon kerajaan memberi maklumat terperinci tentang semua pemohon bantuan daripada JKM dan LZS yang beralamat di kawasan Seksyen 20, Seksyen 21, Seksyen 22, SS1, SS3, SS9A, Kampung Baru Seri Setia, (Sungai Way) dan nyatakan status permohonan mereka dengan terperinci.

Perlantikan kontraktor-kontraktor pengurusan sisa pepejal di MBPJ
Memohon kerajaan memberi penerangan terperinci bagaimana MBPJ mempakej tender, kontrak dan sebutharga pengurusan sisa pepejal dan lampirkan Salinan contoh kontrak berkenaan.
Berapa ramai kontraktor yang telah diberhentikan dan tidak disambung sejak 2010?

No comments: