Tuesday, March 10, 2015

Solidariti Bersama YB Nik Nazmi

Kenyataan media Kelab Penyokong Kerajaan Selangor (Selangor Back-Benchers Club) pada 10 Mac 2015 di Petaling Jaya:

Kelab Penyokong Kerajaan Selangor (Selangor Back-Benchers Club) atau nama singkatannya BBC hari ini mengecam tindakan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang menahan YB Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia dalam siasatan perhimpunan aman #KitaLawan yang diadakan pada 7 Mac 2015.

BBC juga membidas layanan PDRM terhadap beliau semasa beliau ditahan di lokap Balai Polis Jinjang. Terdapat gambar foto yang disiarkan di dalam laman sosial yang kemudiannya telah disahkan kesahihannya oleh beliau sendiri,

Gambar ini menunjukkan beliau digari dan terpaksa berkaki ayam. Layanan ini bukan sahaja mengejutkan kami malahan ianya juga sangat memalukan Malaysia kerana ianya tidak mengikut piawai masyarakat antarabangsa terhadap hak asasi manusia. Lebih-lebih lagi, YB Nik Nazmi selama ini bersedia untuk bekerjasama dengan PDRM. Justeru itu, beliau tidak harus dilayan lebih teruk daripada penjenayah-penjenayah sehingga terpaksa berkaki ayam seperti yang terpapar dalam gambar foto berkenaan.

BBC Selangor ingin menyaran kepada PDRM dan Kamar Peguam Negara (AGC) bahawa wakil rakyat daripada Pakatan Rakyat tidak akan melarikan diri daripada tanggungjawab kami sebagai wakil rakyat, malahan kami akan sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa walaupun kami terpaksa menghadapi pelbagai pandakwaan-pendakwaan yang bermotif politik.

PDRM dan AGC perlu bertindak dengan professional dan jangan sekalipun PDRM dan AGC diperalat oleh pihak UMNO untuk cuba menganiaya dan mematahkan semangat perjuangan kami dengan taktik-taktik kotor ini.

Di sini kami akan melafazkan solidariti dan sokongan kami bersama YB Nik Nazmi dan kami akan menyambut beliau nanti semasa beliau dibebaskan daripada tahanan lokap PDRM. Orang ramai boleh mengikuti perkembangan terkini melalui laman Facebook atau Twitter YB Nik Nazmi dan dijemput hadir untuk memberi sokongan.

Lau Weng San
Setiausaha BBC Selangor.


Post a Comment