Tuesday, August 08, 2017

Isteri Perdana Menteri memang “berjalan-jalan” di London tanpa diiringi mana-mana menteri kabinet antara 4 hingga 7 Mei 2017?

Kenyataan Media ADUN DAP Kawasan Kampung Tunku, Selangor, Lau Weng San pada 7 Ogos 2017 di Petaling Jaya:

Saya merujuk kepada kenyataan Datin Seri Rosman Mansor semalam semasa menghadiri program Bual Santai: Kenali Anak Pintar Anda di Pusat PERMATA Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bahawa tujuan beliau ke London bukan berjalan-jalan tetapi untuk memastikan anak-anak di bawah program PERMATA mendapat peluang memasuki Universiti Oxford.

Saya juga merujuk kepada jawapan bertulis yang diberi kepada Ahli Parlimen Kulai Sdri Teo Nie Ching yang bertanya di Dewan Rakyat pada 25 Julai yang lepas tentang kos dan itineri perjalanan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor ke London antara 4 hingga 10 Mei, di mana jawapan yang diberikan memang tidak menjawab soalan yang ditanya.

Saya menggesa Pejabat Perdana Menteri untuk memberi penjelasan tentang kos dan itineri perjalanan isteri Perdana Menteri pada masa itu, lebih-lebih apabila kami ada sebab-sebab yang munasabah untuk mempercayai bahawa tugas rasmi isteri Perdana Menteri hanya bermula selepas 7 Mei 2017 tetapi beliau sudah berada di London lebih awal tanpa ditemani oleh mana-mana menteri kabinet.

Ini kerana dua orang Menteri Kabinet iaitu Datuk Seri Azalina Othman dan Menteri Pembangunan Wanita Datuk Seri Rohani Abdul Karim, yang sepatutnya mengiringi beliau dalam lawatan ke London ini, disahkan TIDAK bersama dengan beliau antara 4 hingga 7 Mei 2017.

Selain itu, media Malaysia dan United Kingdom nampaknya kurang melaporkan aktiviti-aktiviti beliau selama seminggu di London. Maka ada keperluan untuk pihak Perdana Menteri untuk memberi penjelasan yang lebih lanjut terhadap kos perjalanan tersebut.

Carian di internet hanya melaporkan kenyataan Kementerian Luar Negara yang dikeluarkan sehari sebelum beliau bertolak ke London, bahawa beliau sebagai penaung program Permata akan melawat ke London bermula 4hb hingga 10hb Mei untuk mengembangkan program berkenaan.

Carian di Internet antara 4hb hingga 10hb Mei hanya memberi satu atau dua hasil carian daripada portal Bernama, sementara itu, laman web The Royal Society of London serta carian di beberapa akhbar dan media UK tidak memberi apa-apa hasil carian.

Meskipun lawatan isteri Perdana Menteri ini kurang diberi liputan media, sudah pastinya dua orang Menteri Kabinet yang mengiringinya akan melaporkan kegiatan harian masing-masing dari London.

Maka saya telah membuat carian di laman Facebook untuk kedua-dua menteri berkenaan dan mendapati gambar aktiviti untuk ketiga-tiga program di atas hanya dimuatnaik dalam Facebook antara 7hb hingga 10hb Mei.

Malahan melalui lama Facebook kedua-dua menteri, Datuk Seri Rohani Karim barangkali masih belum bertolak ke London sebelum 7hb Mei kerana masih ada program di Malaysia pada 6hb Mei. Bagi Datuk Seri Azalina Othman pula, beliau berada di India untuk lawatan tentang jenayah seks kanak-kanak sekitar 4hb hingga 6hb Mei.

Soalan keramat sekarang ialah, apakah program dan itineri perjalanan Datin Seri Rosmah Mansor antara 4hb Mei hingga 7hb Mei? Berapa banyak wang rakyat yang telah dibelanja untuk membiayai perjalaanan isteri Perdana Menteri, khususnya dalam tempoh empat hari pertama lawatannya beliau ke London?

Saya kira rakyat Malaysia tidak membantah sekiranya lawatan isteri Perdana Menteri ke London atas wang kerajaan adalah atas urusan rasmi yang sudah pasti akan memberi manfaat kepada rakyat dan negara tetapi sekiranya terdapat lawatan tidak berkaitan dengan tugas rasmi tersebut, maka sebaik-baiknya ianya ditanggung oleh isteri Perdana Menteri sendiri.

No comments: