Thursday, June 14, 2018

Masalah kerakyatan kanak-kanak kecil dan warga emas perlu diatasi segera



Kenyataan Media ADUN DAP Kawasan Banting, Selangor, Lau Weng San pada 14 Jun 2018 di Banting, Kuala Langat: 

Saya telah emel pihak Kementerian Dalam Negeri pada pagi ini untuk memohon supaya diadakan satu perbincangan mengenai perkara di atas dan agar masalah ini diberi perhatian segera oleh Kerajaan Persekutuan.

Dalam pilihanraya umum ke-14 yang lepas, Pakatan Harapan dalam manifesto di mana Janji 45 adalah bertajuk "Membela nasib penduduk luar bandar dan kawasan pedalaman", di mana saya memetik perenggan kedua yang berbunyi seperti berikut:

"Kerajaan Pakatan Harapan akan mempermudah dan mengurangkan birokrasi dalam proses pendaftaran anak dan individu warga Malaysia yang sehingga kini masih tiada kerakyatan sah. Kami juga akan menyelesaikan masalah kesilapan nama, alamat dan butiran peribadi lain yang begitu berleluasa."


Isu ini sedemikian kerana kualiti kehidupan rakyat di luar bandar, bukan sahaja mereka yang berada di Sabah dan Sarawak malahan mereka yang menetap di Semenanjung, masih rendah dan memerlukan bantuan untuk memastikan hidup mereka terbela. 

Malahan, kesempitan hidup juga turut menyebabkan sebahagian daripada mereka tidak sempat mendaftarkan kelahiran anak, sehingga ada yang menjadi anak tanpa kerakyatan. 

Di kawasan saya pula, ramai kanak-kanak yang sedang membesar, yang dilahirkan di Malaysia dan dijadikan anak angkat kepada ibu bapa warganegara Malaysia, tidak dapat diberi hak kerakyatan sebagai warganegara Malaysia.

Perkara ini telah menjejaskan masa depan anak-anak kecil ini di mana mereka tidak dapat menikmati hak sebagai rakyat Malaysia dari segi persekolahan, biasiswa, peluang pekerjaan, perkhidmatan kesihatan. Rentetan daripada itu, ianya telah memberi kesan negative terhadap pembangunan psikologi seseorang anak kecil dan memang tidak boleh dinafikan bahawa ini merupakan satu bentuk pencabulan hak asasi manusia yang tidak boleh terus berlaku dan mesti diberhentikan.

Sebagai wakil rakyat di kawasan Banting dan Kuala Langat, saya berasa terkejut dan kesal dengan jumlah aduan yang diterima kerana pada permulaannya saya hanya beringat masalah ini lebih banyak berlaku di kalangan warga tua yang tidak sempat mendaftarkan diri sebagai warganegara Malaysia pada tahun 1940-an dan 1950-an akibat zaman darurat dan kekurangan dokumen sokongan.

Selepas lebih sebulan selepas PRU14, masalah kini mula timbul di mana ramai lagi di kalangan mereka yang masih kecil dan muda yang tidak dapat diiktiraf sebagai warganegara Malaysia atas masalah-masalah teknikal yang tidak disebabkan oleh anak-anak itu sendiri tetapi mereka pula yang terpaksa menerima kesan dan terhukum secara tidak adil.

Terdapat juga kes di mana anak-anak angkat kini telah membesar dan akibat keadaan mereka yang bukan warganegara, mereka tidak dapat meneruskan persekolahan dan terpaksa keluar dari sekolah pada usia yang amat awal. Sekiranya tiada bimbingan yang betul daripada ibubapa angkat, pastinya anak-anak seperti ini akan menjadi sebahagian daripada masalah sosial.

Daripada sudut undang-undang antarabangsan, Malaysia telah meratifikasi “The Convention on the Rights of the Child” (CRC) pada tahun 1995, tetapi Malaysia tidak meratifikasikan Perkara 7 dalam Konvensyen tersebut, iaitu berkaitan dengan nama dan kerakyatan.

Memandangkan pertukaran rejim pada PRU14 yang lepas sesuatu yang amat memberangsangkan seluruh rakyat Malaysia, saya amat berharap pihak Kementerian Dalam Negeri, khususnya Jabatan Pendaftaran Negara boleh memudahkan segala urusan permohonan kewarganegara di bawah Perkara 15 dan 15A Perlembagaan Persekutuan dan sekaligus meratifikasikan Perkara 7 CRC.

Lau Weng San
ADUN Kampung Tunku

No comments: