Thursday, June 07, 2018

Apa yang ditulis A. Kadir Jasin?

Penulis terjulung Sdr A. Kadir Jasin dalam blognya mengundang kita untuk meneliti apa yang ditulisnya di sini.

Ini ialah apa yang ditulisnya:

"Dalam proses penyiasatan dua kes rasuah terbesar dalam sejarah negara itu, peranan raja-raja menarik minat ramai. Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, mendakwa ‘SPRM hampa’ dalam usaha mendapatkan campur tangan Majlis Raja-raja. Beliau membuat dakwaan itu dalam sidang akhbar 22 Mei.

“Sejak itu, Majlis Raja-raja telah mengeluarkan kenyataan menyangkal dakwaan berkenaan. Saya tidak berani mengatakan sejauh mana percubaan meminta bantuan raja-raja itu telah dibuat. Yang saya masih ingat ialah pada 5 Oktober 2015 Raja-raja telah mengeluarkan kenyataan meminta kerajaan mempercepatkan siasatan kes 1MDB dan mengambil tindakan wajar ke atas pihak-pihak yang terbabit.

“Saya tidak tahu sejauh mana titah itu dipedulikan. Yang kita tahu ialah tidak sampai empat bulan kemudian, Peguam Negara baharu ketika itu, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengisytiharkan tidak ada kes jenayah melibatkan 1MDB. Mohd Shukri mendakwa SPRM menemui Majlis Raja-raja dua kali untuk memaklumkan mengenai siasatan 1MDB/SRC yang melibatkan Mohd Najib.

“Dalam konteks yang lebih luas, mungkin baik kita menilai semula tindak balas raja-raja terhadap aduan berkenaan 1MDB, khususnya dan hal-hal lain yang melibatkan institusi raja kerana negara kini ditadbir oleh kerajaan baharu.

“Kerajaan Harapan mungkin dituduh gagal dalam tugasnya menyelamatkan negara dan menyejahterakan rakyat jelata kalau institusi raja tidak dikaji dan difahami. Ini adalah kerana raja berperlembagaan adalah antara institusi utama negara.

“Dalam kempennya, Harapan mendakwa kerajaan pimpinan Mohd Najib telah menodai dan merosakkan banyak institusi utama negara lantas berjanji melakukan reformasi institusi (institutional reforms). Maka wajarlah institusi raja dikaji dan, jika perlu, direformasi.

“Hal ini sangat relevan kerana majoriti yang mengundi Harapan adalah generasi muda dan ramai daripada mereka tidak begitu memahami institusi raja. Kata pepatah, tidak kenal maka tidak cinta.

“Raja-raja kita adalah raja-raja berperlembagaan. Kuasa dan kegiatan mereka tertakluk kepada perlembagaan. Lebih daripada itu, sumpah jawatan mereka dibuat dengan nama ALLAH. Mereka adalah ketua agama Islam.

“Mereka dibayar gaji oleh rakyat jelata dan segala keperluan rasmi mereka ditanggung oleh kerajaan. Dalam keadaan di mana hidup rakyat susah dan kewangan negara sempit, kerajaan tidak boleh sekali-kali membazirkan wang untuk sesiapa pun. Biarlah saya kata macam ini: Istana-istana yang ada itu sudah mewah.

“Raja-raja juga tidak kekal. Yang di-Pertuan Agong misalnya boleh disingkirkan oleh Majlis Raja-raja dengan lima daripada sembilan Raja-raja Melayu menyokong ketetapan berkaitan dengannya.

“Dalam usaha kerajaan baharu mempertahankan hak rakyat jelata dan melindungi institusi negara daripada sebarang bentuk pencabulan maka adalah penting diambil tahu pembabitan raja atau istana dalam kegiatan-kegiatan tidak rasmi seperti perniagaan dan sosial.

“Kalau perlu kita kaji semula perlembagaan dan kontrak sosial bagi mengambil kira suasana dan realiti yang ada pada hari ini bagi mengharmonikan perjanjian antara raja dan rakyat jelata.

“Wallahuaklam.

“*Penulis ialah Tokoh Wartawan Negara dan kandungan kolum ini adalah pendapat peribadi beliau semata-mata”

No comments: