Tuesday, March 27, 2012

BN harus berfikiran terbuka dan melantik Ketua Pembangkang sebagai pengerusi PAC

Ucapan ADUN DAP bagi kawasan Kampung Tunku Lau Weng San semasa membahas Usul No. 1 Tahun 2012 berkaitan dengan keahlian Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam pada 26 Mac 2012 di Shah Alam:

Usul ini akan melantik Ahli Yang Berhormat dari Kajang sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC), di mana beliau pernah memegang jawatan ini bermula tahun 2008 hingga Julai 2010.

Sementara itu, Ahli Yang Berhormat dari Sungai Burung dikekalkan sebagai Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam, ialah wakil Pembangkang pertama di dalam sejarah Dewan Negeri Selangor yang dilantik sebagai Pengerusi PAC bermula Julai 2010 hingga sekarang.

Sementara itu, Kampung Tunku ingin mengucapkan tahniah kepada Ahli Yang Berhormat dari Sijangkang kerana telah dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor dan kekosongan beliau diganti oleh Ahli Yang Berhormat dari Meru.

PAC mempunyai sejarah tersendirinya sebagai sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan buat kali yang pertama di Parlimen UK pada tahun 1861 atas ilham Menteri Kewangan UK pada masa itu, iaitu William Ewart Gladstone. Tujuan penubuhan PAC pada masa itu bertujuan untuk mempertingkatkan pemantauan dan penyemakan kira-kira wang awam selain daripada sesi persidangan Parlimen kerana Parlimen UK melihatkan ada keperluan untuk mengadakan satu jawatankuasa Parlimen yang diberi tugas khusus untuk memantau dan menyemak cara penggunaan wang kerajaan.

Tugas dan fungsi PAC adalah berkaitan rapat dengan Jabatan Audit Negara. Di UK, hubungan yang rapat ini terlihat apabila Ibu Pejabat Ketua Audit UK berada berdekatan dengan bangunan Parlimen agar pihak Audit dapat memberi khidmat nasihat yang cekap kepada Parlimen, khususnya kepada jawatankuasa-jawatankuasa Parlimen.

PAC di UK juga mempunyai tiga fungsi utama, iaitu sebagai satu satu pihak yang perlu menurunkan tandatangan untuk meluluskan pemindahan wang daripada Kumpulan Wang Yang Disatukan untuk kegunaan kerajaan. Tanpa tandatangan pegawai Ketua Audit Negara, wang ini tidak akan dipindahkan. Ini barangkali tidak berlaku di Malaysia.

Kedua, Ketua Audit bertugas untuk menyemak dan memantau semua akaun jabatan kerajaan, badan-badan berkanun dan anak-anak syarikat kerajaan dan ketiga, menyemak kecekapan penggunaan wang kerajaan. Walaupun Ketua Audit Negara di UK sentiasa bekerjasama dengan PAC, tetapi mereka tidak mengambil arahan daripada PAC dan House of Commons.

Dalam konteks Dewan Negeri Selangor, peranan Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam atau Kerajaan telahpun diperuntukkan di bawah Peraturan-peraturan Tetap 68 di mana jawatankuasa ini ditubuhkan untuk memeriksa:
(a) kira-kira Kerajaan Negeri Selangor dan peruntukkan wang yang dibenarkan oleh Dewan kerana menepati perbelanjaan Negeri;
(b) apa-apa kira-kira badan-badan pentadbiran raya dan pertubuhan-pertubuhan lain yang menguruskan wang negeri yang dibentangkan dalam Dewan;
(c) penyata-penyata Juru Audit Negara dibentangkan dalam Dewan menurut Perkara 107 (2) dalam Perlembagaan Persekutuan;
(d) apa-apa perkara lain yang difikirkan oleh Jawatankuasa itu patut diperiksa, atau apa-apa perkara yang diserahkan oleh Dewan kepada Jawatankuasa itu.

Dari sini kita dapat melihat bahawa PAC mempunyai peranan dan tanggungjawab yang amat berat untuk memastikan setiap perbelanjaan kerajaan dibelanjakan dengan berhemah, bertanggungjawab dan menepati matlamat asal yang ditetapkan. Malangnya selama 50 tahun Barisan Nasional menjadi kerajaan, Dewan Negeri Selangor dilihat sebagai rubber-stamp untuk Eksekutif dan peranan yang sepatutnya dimainkan oleh Dewan dan Jawatankuasa PAC telah diabaikan.

Apabila Pakatan Rakyat mula mengambil kerajaan negeri Selangor, pembangkang tidak dilantik menjadi Pengerusi PAC kerana jika ini berlaku akan berlakunya percanggahan kepentingan atau conflict of interest, di mana Pengerusi PAC dari Barisan Nasional mungkin tidak akan menyiasat perkara-perkara melibatkan kerajaan negeri yang lalu. Justeru itu, Pengerusi PAC yang dilantik pada masa itu ialah ADN Kajang. Apabila kerajan PR masuk ke tahun pentadbiran yang kedua iaitu tahun 2009, barulah Dewan memutuskan untuk melantik wakil daripada pembangkang untuk menjadi Pengerusi PAC.

Kampung Tunku masih ingat terdapat beberapa orang Ahli Yang Berhormat dari BN yang mengatakan bahawa perlantikan wakil pembangkang sebagai Pengerusi PAC tiada gunanya kerana beliau akan menjadi seorang pengerusi yang tempang kerana majoriti anggota-anggota dalam PAC masih daripada PR.

Kenyataan ini jelas menunjukkan kebuntuan fikiran Ahli-ahli Yang Berhormat berkenaan kerana setiap anggota dalam mana-mana jawatankuasa Dewan harus berfungsi dengan bebas dan tidak diganggu oleh agenda politik kepartian. Selain itu, keanggotaan dalam PAC perlu mencerminkan nisbah kerajaan:pembangkang dalam Dewan.

Biarpun begitu, pengerusi PAC bukan satu jawatan boneka. Beliau mempunyai kuasanya sendiri untuk memulakan apa-apa siasatan terhadap mana-mana badan kerajaan. Pengerusi PAC, seperti pengerusi jawatankuasa-jawatankuasa Dewan yang lain, perlu merancang lawatan, memanggil pendengaran saksi, menentukan soala-soalan terhadap saksi, memberi cadangan-cadangan penyelesaian dan menyediakan penyata untuk dibentangkan ke dalam Dewan Yang Mulia ini.

Kampung Tunku tidak mengetahui sebab Yang Berhormat Sungai Burung meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PAC sedangkan ini merupakan tradisi di semua Parlimen Negara-negara Komanwel. Walaupun begitu, jika keputusan ini dilakukan semata-mata budaya politik sempit BN, Kampung Tunku berasa kecewa kerana minda BN masih belum berkembang dan terbuka untuk menerima idea-idea baru seperti perlantikan Ketua Pembangkang menjadi Pengerusi PAC.

Kalau Barisan Nasional (BN) mempunyai cita-cita besar untuk menawan semula Selangor daripada Pakatan Rakyat (PR) dan sekiranya BN betul-betul hendak “menyelamatkan” Selangor daripada “kezaliman” PR, maka wakil daripada BN (Pembangkang) harus memegang jawatan ini dan menjalankan tugas ini dengan tulus ikhlas untuk memantau dan menyemak pengurusan kewangan kerajaan negeri.

Dengan melepaskan jawatan ini kepada PR, adakah ini bermakna laungan BN untuk menawan Selangor daripada PR, hanya hangat-hangat tahi ayam sahaja?

Apapun sekali, Ahli Yang Berhormat Sungai Burung sudah meletakkan jawatannya sebagai Pengerusi PAC dan Dewan perlu memilih seorang pengerusi yang baru. Sementara itu, dengan perlantikan Ahli Yang Berhormat Sijangkang sebagai anggota MMKN, kekosongan yang ditinggalkan beliau juga perlu diisi dengan segera supaya tidak mengganggu perjalanan tugas PAC.

Kampung Tunku juga mengucapkan Selamat Bertugas kepada Yang Berhormat Meru. Sememangnya tugas yang ada pada Meru adalah berat dan Kampung Tunku percaya Meru dapat menjalankan tugas ini dengan sempurna.

Oleh itu, Kampung Tunku menyokong usul ini. Sekian, terima kasih.

Lau Weng San
Post a Comment