Wednesday, March 21, 2012

Ke Arah Dewan Negeri Kelas Pertama

Ucapan ADUN DAP bagi kawasan Kampung Tunku Lau Weng San semasa membahas Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada 21 Mac 2012 di Shah Alam:

Ke Arah Dewan Negeri Kelas Pertama

Kampung Tunku ingin mengambil bahagian dalam perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan saya ingin merakamkan penghormatan setinggi-tingginya kepada Tuanku Sultan Selangor kerana titah ucapan Tuanku telah menyentuh pelbagai bidang pentadbiran kerajaan negeri Selangor yang perlu diberi perhatian serious oleh Eksekutif.

Daripada 20 muka surat titah ucapan Tuanku Sultan Selangor semalam, sekurang-kurangnya 20 peratus daripada isi kandungan Tuanku menyentuh tentang peranan Dewan Negeri Selangor sebagai medan terbaik untuk menyelesaikan pebagai perkara dan isu yang melibatkan rakyat Selangor.

Malahan Tuanku juga meningatkan semua Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian agar membahas segala isu yang mellibatkan rakyat Selangor dengan intelektual dan bukannya beremosi. Nasihat Tuanku ini adalah amat bernas dan tepat pada masanya dan ianya perlu disusuli dengan pemerkasaan Dewan Negeri Selangor sebagai satu institusi perundangan yang berwibawa.

Saya bersama-sama dengan Ahli Dewan Negeri Kajang telah dipilih untuk mewakilli Dewan Negeri Selangor untuk menghadiri Seminar Westminster Ke-61 berkaitan Praktis dan Prosidur Parlimen dari 5 hingga 9 Mac 2012. Kami berdua telah didedahkan kepada pelbagai pelbagai agenda reform dan pembaharuan yang sedang rancak berlangsung di Westminster. Antara isu-isu yang dibincang ialah cara Parlimen UK berfungsi, proses perundangan yang sedia ada di UK serta reform yang telah dilaksanakan, peranan yang dimainkan oleh Ahli Dewan, rang undang-undang persendirian Ahli Dewan, Ketua Pembangkang, Leaders of the House, wip parti masing-masing dan hubungan kerja sesama mereka, kebebasan Dewan daripada sebarang pengaruh Eksekutif, perjalanan Jawatankuasa Pilihan atau Select Committee, pentadbiran dan pengurusan kewangan Dewan, siaran langsung Dewan, tanggungjawab Menteri Besar atau Perdana Menteri terhadap Dewan melalui Prime Minister Question Time, peranan Speaker, peranan yang dimainkan oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan serta cara perjalanannya dan lain-lain. Selain daripada itu, Parlimen UK juga telah mengadakan satu ruangan e-petisyen di laman web rasminya untuk membolehkan orang ramai membangkitkan isu-isu yang mereka ingin sampaikan kepada Ahli-ahli Parlimen.

Perbincangan-perbincangan terhadap perkara-perkara ini telah membuka minda kami tentang peranan penting yang perlu dimainkan oleh Dewan. Ianya juga mengingatkan kami betapa pentingnya Dewan ini diuruskan dengan moden, profesional, sistematik, cekap dan bebas kerana hanya dengan adanya kualiti-kualiti ini, barulah sesebuah Dewan itu dapat memainkan peranannya sebagai medan terbaik bagi ahli-ahlinya menjalankan fungsinya sebagai wakil rakyat.

Satu prasyarat yang perlu dipatuhi sebelum Dewan Negeri Selangor dapat bertukar sepenuhnya kepada sebuah Dewan kelas pertama ialah wujudnya satu sistem perkhidmatan Dewan di bawah Speaker yang bukan sahaja bebas daripada pengaruh Eksekutif, malahan juga bebas daripada pengaruh politik.

Semasa seminar ini berjalan, saya terkagum dengan kenyataan Encik Robert Rogers, Setiausaha House of Commons Parlimen UK, bahawa beliau bangga bahawa seluruh perkhidmatan Parlimen tidak diletak di bawah Eksekutif dan mereka bukan sebahagian daripada perkhidmatan awam (we are not part of the civil service and we are proud of that).

Kenyataan ini mengingatkan saya terhadap satu fakta penting, iaitu kebebasan Dewan tidak dianggap sebagai telah dicapai melainkan Dewan mempunyai satu pasukan perkhidmatan yang bebas daripada pengaruh perkhidmatan awam. Ini adalah kerana setiap satu fungsi yang perlu dijalankan, dalam konteks Parlimen UK, perlu dilaksanakan oleh satu pasukan pentadbiran yang bebas dan profesional di bawah arahan Speaker dengan mengambil pandangan dan keperluan setiap Ahli Dewan. Parlimen UK yang bebas daripada apa-apa bentuk pengaruh membolehkan ia memantau dan menyemak pentadbiran dengan menyeluruh tanpa sebarang sekatan dan birokrasi yang melampau.

Dewan yang bebas dalam bentuk sebegini perlu disokong oleh sebuah perkhidmatan dewan yang bebas dan ini merupakan intipati RUU Perkhidmatan Dewan Negeri Selangor atau nama singkatannya “Selesa”. Bagi menyambut baik nasihat Tuanku bahawa Dewan Negeri Selangor perlu dijadikan sebagai medan terbaik untuk menyelesaikan isu dan perkara rakyat, maka Kampung Tunku mengesyorkan supaya Enakmen Selesa ini perlu diwujudkan dalam masa terdekat yang paling mungkin.

Pada tahun lepas, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, YB Dato’ Wan Junaidi juga menyokong usaha untuk memulihkan Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 yang telah dimansuhkan pada tahun 1992. Akta ini memperuntukkan satu sistem perkhidmatan Dewan yang bebas daripada pengaruh Eksekutif, iaitu Jabatan Perkhidmatan Awam di samping menentukan hak dan kuasa Dewan dalam urusan perjalanan kerja-kerja harian dan pengurusan kewangan Dewan.

Oleh itu, bagi mereka yang ingat bahawa undang-undang ini sebagai sesuatu yang baru, maka Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 ini pula membuktikan yang sebaliknya. Jika cadangan Dewan Negeri Selangor pada satu masa dahulu untuk mengadakan enakmen Selesa disokong oleh rakan-rakan sejawatan dari Parlimen Malaysia, maka Kampung Tunku tidak nampak apa-apa sebab untuk tidak menggubal Enakmen Selesa ini.

Pembangunan ekonomi dan kecekapan PBT dan jabatan-jabatan kerajaan

Titah Ucapan Tuanku juga menyentuh tentang pembangunan ekonomi di mana Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk negeri Selangor pada tahun 2011 ialah 5.9% dan angka ini dijangka akan merosot ke 5.3% sehaluan dengan persekitaran ekonomi dunia dan Malaysia yang sederhana.

Negeri Selangor terus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara Malaysia di mana Selangor menyumbang kepada 22% dengan jumlah pelaburan pada tahun 2011 mencatat RM 8.74 bilion dengan 263 projek dilaksanakan dan sebanyak 263 peluang pekerjaan dibekalkan.

Sememangnya angka-angka ini merupakan satu lonjakan berbanding tahun 2010 di mana jumlah pelaburan yang masuk ke Selangor pada tahun 2010 hanya setakat RM 6.53 bilion sahaja. Walaupun begitu, terdapat banyak kelemahan yang perlu diatasi oleh agensi-agensi kerajaan khususnya Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Baginda Sultan Selangor juga menggesa agar syarat dan prosidur harus dipermudah, proses dipercepat dan ketelusan diamalkan.

Kampung Tunku amat bersetuju dengan nasihat ini dan semua pihak yang terlibat harus bekerja keras untuk mengurangkan red tape dan birokrasi bagi menarik lebih ramai pelabur untuk melabur di Selangor.

Untuk itu, Kampung Tunku ingin menyentuh sedikit tentang prestasi Pusat Sehenti (atau One-Stop Centre, OSC) di PBT-PBT di Lembah Klang. Kampung Tunku berasa masih terdapat beberapa masalah yang perlu diatasi untuk mempertingkatkan prestasi OSC. Masalah ini tidak lain tidak bukan berkaitan dengan keberkesanan OSC dalam membantu pembangunan ekonomi.

Kampung Tunku mendapati bahawa masih terdapat aduan daripada pemohon-pemohon bahawa kertas permohonan mereka ditolak kerana dikatakan tidak memenuhi syarat-syarat yang diperlukan oleh PBT. Masalah ini berlaku kerana selalu dikatakan bahawa dokumen-dokumen dan pelan-pelan yang dikemukakan oleh pemohon tidak mematuhi keperluan PBT. Apa yang memeranjatkan ialah selalunya keperluan-keperluan teknikal ini selalunya tidak dinyatakan dengan jelas dalam senarai semakan PBT.

Ini adalah kerana keperluan-keperluan teknikal ini merangkumi aspek-aspek teknikal yang agak terperinci, maka seringkali permohonan-permohonan ini ditolak sedangkan ianya boleh diselaras dan dimaklumkan terlebih awal kepada juru perunding atau pemohon berkenaan.

Contohnya, dalam satu permohonan Kebenaran Merancang yang diuruskan oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Kampung Tunku telah mendapati Jabatan Bangunan PBT berkenaan menolak pelan bangunan permohonan itu atas alasan-alasan seperti berikut:
1. Adakan pili/paip air untuk setiap tandas.
2. Kemukakan pelan papantanda projek yang lengkap dengan moto, no. fail kelulusan bangunan dan moto Majlis.
3. Semak untuk saiz pelan yang digunakan. Tidak sesuai. Sila gunakan cat air untuk menampakkan pelan lebih kemas.
4. Sila gunakan cat air untuk menampakkan pelan lebih kemas.
5. Rekabentuk surau tidak sesuai. Sila berbincang.

Seperti pepatah Inggeris “the evils lie in the details”. Sepintas lalu, alasan-alasan yang digunakan untuk menolak permohonan seperti di atas adalah sangat kabur dan subjektif sehingga bahan yang digunakan untuk menghasilkan pelan juga dikawal. Sementara itu, syarat-syarat seperti “rekabentuk surau tidak sesuai” adalah amat susah ditakrif dan terlalu subjektif.

Selain daripada jabatan-jabatan dalaman PBT, prestasi dan respons jabatan-jabatan yang lain seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) dan sebagainya juga perlu dipertingkatkan walaupun kemungkinan besar jabatan-jabatan ini tidak di bawah kerajaan negeri.

Walaupun ahli EXCO pernah berhujah bahawa kelulusan jabatan-jabatan eksternal akan dikecualikan jika wakil jabatan-jabatan ini tidak hadir mesyuarat OSC tiga kali berturut-turut, tetapi lain pula ceritanya di peringkat akar umbi. Saya khuatir arahan ini masih belum disampaikan kepada pegawai-pegawai di PBT dan mereka masih meminta pemohon-pemohon untuk mendapatkan kelulusan daripada jabatan-jabatan luaran ini sebelum mengeluarkan kelulusan sepenuhnya terhadap projek mereka.

Ini juga berlaku kerana pegawai-pegawai PBT masih menetapkan supaya semua keperluan teknikal jabatan-jabatan eksternal ini dipatuhi sepenuhnya sebelum apa-apa perkara yang tidak diingini berlaku.

Masalah ini diperitkan lagi dengan peranan OSC yang masih belum berfungsi sebagai sebuah agensi yang betul-betul “sehenti”. Ini adalah kerana pemohon-pemohon masih perlu mengupah “runner” untuk menghantar dokumen-dokumen kepada jabatan-jabatan yang lain walaupun konsep asal OSC ini adalah untuk memproses semua dokumen pada satu tempat dan masa yang tetap demi menjimatkan masa dan mengurangkan red-tape.

Pelaburan asing perlu fokus kepada teknologi canggih dan hijau yang boleh menjana perdapatan yang lebih tinggi

Kampung Tunku juga tertarik dengan penjelasan kerajaan Selangor berkenaan dengan Selangor Automobile Belt. Sememangnya industri automobil merupakan satu industri yang mampu melonjak kedudukan negeri Selangor sebagai sebuah negeri yang lebih maju, berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain.

Pelaburan yang mempunyai nilai tambah yang tinggi harus diberi galakan dan perhatian serious oleh kerajaan. Contohnya, industri-industri hijau seperti industri berasaskan tenaga solar, industri pengitaran semula, penulenan air dan udara, rawatan air sisa, industri biodiesel, industri pemulihan alam sekitar, pengurusan sisa pepejal, penyimpanan tenaga, sumber-sumber tenaga alternatif seperti tenaga solar dan sebagainya.

Baru-baru ini, biodiesel telah dilancarkan di negeri Selangor dan Lembah Klang. Produk ini telah menjadi bahan api alternatif kepada bahan api fosil konvensyenal. Justeru itu, kerajaan Selangor harus menarik lebih banyak pelaburan untuk menjalankan kajian terhadap penghasilan biodiesel generasi kedua yang tidak perlu bergantung kepada minyak kelapa sawit.

Satu syarat yang penting untuk pelabur-pelabur berkualiti tinggi melabur di Selangor ialah wujudnya bakat-bakat (talent pools) berkualiti tinggi yang sedia ada untuk memberi perkhidmatan sokongan kepada industri-industri ini seperti pakar-pakar kejuruteraan, logistik, perkhidmatan dan penyelidikan.

Tanpa bakat-bakat dan tenaga manusia yang akhir ini, adalah amat susah Selangor dan Malaysia menarik pelaburan berkualiti tinggi kerana industri-industri yang mempunyai nilai tambah yang tinggi, seperti yang disenarai di atas, amat bergantung kepada pakar-pakar berkemahiran tinggi.

Kampung Tunku amat gembira dengan laporan media baru-baru ini bahawa syarikat Phison dari Taiwan, iaitu sebuah syarikat yang ditubuhkan oleh anak Selangor dari Sekinchan, Encik Pua Khein Seng pada tahun 2000, akan melabur RM3 juta di Malaysia. Apa yang tidak begitu menceriakan ialah destinasi pelaburan syarikat ini ialah di Pulau Pinang dan utara semenanjung dan bukannya di Selangor walaupun pengasasnya seorang anak Selangor.

Berita ini membuktikan satu fakta, bahawa Selangor juga perlu bersaing dengan negeri-negeri yang lain dalam menarik pelaburan berkualiti tinggi ke dalam negeri ini. Kerajaan Selangor tidak boleh memandang rendah pesaing-pesaing yang lain dan perlu sentiasa menyemak apakah kelemahan-kelemahan yang masih ada sehingga pelabur-pelabur yang berteknologi tinggi sanggup melaburkan wang berjuta-juta di negeri yang lain.

Sekiranya kelemahan-kelemahan di atas dapat diatasi, maka Kampung Tunku amat yakin Selangor masih sempat untuk menarik pelabur-pelabur berkualiti tinggi ini untuk melabur di Selangor. Malahan Selangor dapat melibatgandakan perangkaan ini.

Rombakan terhadap sistem perolehan kerajaan negeri untuk mengurangkan kos pentadbiran rentier class

Dalam sidang Dewan yang lepas, Kampung Tunku telah membangkitkan isu margin keuntungan kontraktor yang dibangkitkan oleh YAB Menteri Besar, di mana YAB Menteri Besar telah mengatakan bahawa margin ini perlu diturunkan daripada 30% ke sekitar 7% untuk mengurangkan kos pentadbiran kerajaan negeri.

Kampung Tunku ingin bertanya kepada kerajaan apakah langkah-langkah yang telah diambil untuk mencapai matlamat ini?

Adakah kerajaan Selangor akan menetapkan satu senarai jurang harga untuk projek-projek infrastuktur dan perolehan supaya tidak membayar harga yang terlampau tinggi kepada pembekal atau kontraktor ?

Adakah kerajaanjuga akan merombak semula sistem “cut-off” yang mula digunakan oleh jabatan-jabatan kerajaan pada tahun 2004 memandangkan penggunaan sistem “cut-off” ini memang ada pengecualiannya, iaitu apabila bilangan tender yang diterima dan boleh dikira setelah harga “freak” dikeluarkan kurang daripada sepuluh.

Harus diingatkan bahawa pentender-pentender yang menawarkan harga yang lebih rendah daripada harga “cut-off” juga boleh dipertimbangkan jikalau beliau mempunyai rekod prestasi yang cemerlang iaitu mempunyai pengalaman untuk melaksanakan kerja yang sama lebih awal daripada jadual yang telah ditetapkan, mempunyai faktor-faktor tertentu yang boleh menjamin pentender melakukan kerja dengan harga yang lebih rendah dan kualiti kerja terdahulu dan semasa sentiasa pada tahap yang memuaskan.

Geran “Selangorku” – wujudkan subsidi bas sekolah untuk pelajar-pelajar miskin di kampung-kampung tradisi

Kerajaan Selangor telah meluluskan geran “Selangorku” berjumlah RM 300 juta yang merangkumi 17 sektor yang perlu dipandang serious oleh kerajaan.

Geran yang begitu besar dari segi saiz akan diuruskan oleh Permerbadanan Menteri Besar atau Mentri Besar Incorporated (MBI), sekaligus membuktikan bahawa tahap kewangan anak-anak syarikat kerajaan Selangor adalah kukuh. Satu perkara yang baik ialah peruntukan RM 300 juta ini akan diturunkan kepada rakyat tanpa melalui proses birokrasi biasa.

Kampung Tunku amat mengalu-alukan dasar kerajaan Selangor ini dan Kampung Tunku menggesa kerajaan untuk memberi perhatian khusus terhadap pembangunan luar Bandar. Melalui geran Selangorku ini, sebanyak RM 10juta akan diperuntukan untuk program-program jangkaan kehidupan bandar dan disasarkan untuk penduduk-penduduk luar bandar.

Tidak lama yang lalu, rakyat Selangor miskin yang hidup di kawasan luar bandar menghadapi masalah pengangkutan apabila syarikat bas awam swasta CityLiner menghentikan perkhidmatan bas di beberapa kawasan kampong.

Salah satu kawasan yang terjejas ialah kawasan Teluk Gong di mana anak-anak kepada keluarga-keluarga nelayan dan petani yang miskin tidak dapat hadir ke sekolah kerana berhentinya perkhidmatan bas CityLiner. Saya difahamkan bahawa pelajar-pelajar sekolah ini amat memerlukan perkhidmatan bas untuk pergi dan balik dari sekolah mereka yang kebanyakkanya berada di kawasan Pandamaran Jaya.

Memandangkan rakyat di kawasan Teluk Gong menghadapi masalah ini dan pada masa yang sama, kerajaan Selangor melancarkan geran “Selangorku” yang memperuntukan RM 10juta untuk meningkatkan taraf kehidupan penduduk-penduduk luar bandar, maka Kampung Tunku bercadang kepada kerajaan untuk mewujudkan satu skim bas sekolah yang mirip kepada subsidi tampang bas anak-anak pekerja ladang.

Apa yang penting, janganlah kebajikan pelajar-pelajar miskin di kawasan kampung dilalaikan hanya kerana system pengurusan pengangkutan awam kerajaan pusat yang gagal. Skim bas sekolah ini wajar diadakan di kawasan-kawasan luar bandar yang lain di Selangor ini kerana Kampung Tunku percaya bahawa masalah yang sama juga berlaku di kampung-kampung tradisi yang lain.

Pemuliharaan alam sekitar - mempertahankan Bukit Gasing daripada pencerobohan syarikat kroni

Titah ucapan Tuanku juga menyentuh pemuliharaan alam sekitar. Kampung Tunku ingin membangkitkan satu isu alam sekitar yang penting, iaitu isu pembangunan lereng bukit di sebelah Bukit Gasing yang terletak di bawah pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Penduduk-penduduk di kawasan Bukit Gasing, Petaling Jaya telah mengadakan satu protes tidak lama dahulu membantah keputusan DBKL untuk meluluskan satu projek pembangunan di kawasan Bukit Gasing yang terletak di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Penduduk-penduduk membantah kerana walaupun bahagian Bukit Gasing yang terletak di sebelah negeri Selangor telah diwartakan sebagai kawasan hijau, pembangunan di sebelah satu lagi juga akan menjejaskan ekologi dan kestabilan tanah seluruh bukit tersebut.

Mending ADUN Bukit Gasing, YB Edward Lee merupakan tokoh yang banyak membantu penduduk-penduduk di kawasan Bukit Gasing untuk membantah projek pembangunan yang diluluskan oleh DBKL tetapi sehingga sekarang ianya masih menemui jalan buntu.

Apa yang menyesalkan penduduk-penduduk Bukit Gasing ialah sikap Datuk Bandar DBKL di bawah pentadbiran kerajaan BN pusat yang tidak ingin bertolak ansur dan hendak meneruskan projek ini tanpa menghirau bantahan mengunung tinggi daripada penduduk. Begitulah sikap Barisan Nasional yang kononnya ingin mendahulukan rakyat tetapi sebenarnya mereka lebih mendahulukan kepentingan kroni.

Sebagai warga Petaling Jaya, Kampung Tunku meminta campur tangan daripada Kerajaan Selangor untuk membantu rakyat Bukit Gasing untuk menyelesaikan masalah ini.

Kemelut penstrukturan semula industri air di Selangor

Dalam sidang Dewan yang lepas, banyak pihak telah melakukan spekulasi bahawa Selangor bakal menghadapi krisis air pada tahun 2014. Kenyataan ini juga disokong oleh Kementerian Tenaga, Air dan Teknologi Hijau setahun yang lalu. Lalu semasa sidang Dewan yang lepas, kenyataan ini digempar-gempuhkan dengan hujah bahawa semua loji rawatan air di Selangor telah beroperasi pada tahap maksimum untuk menghasilkan 4,326 juta liter air sehari bagi menampung keperluan sebanyak 4,197 juta liter air sehari, di mana margin simpanan air sebanyak 129 juta liter air sehari dikatakan sebagai tidak mencukupi untuk menghadapi sebarang krisis air.

Ini ialah ceritanya pada tahun lepas. Apa pula berlaku baru-baru ini? Kebelakangan ini, Syabas pula mengulangi cerita lapuknya bahawa tahun ini, iaitu tahun 2012, Selangor akan menghadapi krisis air. Selepas itu, Syabas pada beberapa minggu yang lalu mengumumkan bahawa bekalan air akan diputuskan selama 36 jam untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di beberapa loji rawatan air.

Syabas kepada Syabas kerana akhirnya mereka mengakui secara tidak langsung bahawa punca margin simpanan air yang rendah adalah disebabkan oleh kapasiti loji rawatan air Syabas yang tidak diselenggara dengan baik.

Biarpun begitu, sepanjang tempoh pemutusan bekalan air tersebut, banyak tempat di Lembah Klang masih mempunyai bekalan air yang mencukupi. Adakah ini bermakna krisis air yang diwar-warkan oleh pihak-pihak tertentu hanya cerita rekaan semata-mata untuk menakutkan rakyat Selangor?

Apapun begitu, Kampung Tunku berasa lega kerana akhirnya kerajaan Selangor di bawah YAB Menteri Besar teleh berjumpa dengan pakar-pakar pengurusan air dan pakar-pakar perundangan dari United Kingdoms (UK) bagi mencari jalan keluar bagi menyelesaikan kemelut industri air di Selangor.

Untuk kepentingan rakyat Selangor, saya meminta YAB Menteri Besar untuk menerangkan kepada Dewan yang Mulia ini apakah hasil-hasil penemuan dengan pakar-pakar dari UK ini supaya isu ini dapat diselesaikan dengan cepat.

Skim Pemilikan Tanah Kerajaan Untuk Bangunan Kediaman Persendirian dengan premium RM1000

Kerajaan Selangor mencatat sejarah di Malaysia dengan menawarkan Skim Pemilikan Tanah Kerajaan Untuk Bangunan Kediaman Persendirian kepada rakyat hanya dengan premium RM1000. Ini merupakan salah satu pembaharuan pentadbiran tanah yang boleh dibangga-banggakan oleh seluruh rakyat.

Barisan Nasional khususnya MCA cuba mengelirukan rakyat bahawa skim ini sedikitpun tidak menguntungkan rakyat. Alasan yang diberi ialah rakyat tidak memiliki tanah kerana premium masih tidak dibayar sepenuhnya menurut Seksyen 76(c) Kanun Tanah Negara.

Kampung Tunku mendapati alasan di atas adalah tidak benar. Seksyen 76(c) Kanun Tanah Negara langsung tidak menyentuh tentang pemberikan hakmilik penuh tanah. Sebenarnya, seksyen 76(c) berbunyi “Pemberimilikan tanah Kerajaan di bawah Akta ini hendaklah terdiri daripada pelupusannya oleh Pihak Berkuasa Negeri - (c) sebagai balasan pembayaran premium, melainkan Pihak Berkuasa Negeri fikirkan sesuai untuk melepaskan daripadanya dalam mana-mana kes tertentu;”

Oleh itu, adalah jelas bahawa Kanun Tanah Negara langsung tidak menyekat dasar kerajaan ini. Malahan Seksyen 76(c) Kanun Tanah Negara menyatakan bahawa kerajaan berhak untuk melepaskan daripadanya bayaran premium ini dalam kes-kes tertentu. Jelas MCA cuba memutarpelitkan fakta bagi tujuan politik.

Dasar ini adalah dasar yang baik dan Kampung Tunku ingin bertanya kepada kerajaan untuk meninjau sama ada mungkin dasar ini dilanjutkan kepada pemilik-pemilik tanah industri dan komersial di kawasan-kawasan kampung baru sebagai satu usaha berterusan untuk memutihkan kilang-kilang haram di kampung-kampung baru.

Kampung Tunku baru-baru ini telah melawat ke Kampung Baru Sungai Buluh. Terdapat rungutan daripada pemilik-pemilik tanah perkilangan bahawa mereka menghadapi kekangan kewangan untuk melanjutkan tempoh pajakan tanah mereka. Ini berlaku kerana mereka perlu membayar premium yang tinggi sebelum mereka dibenarkan untuk melanjutkan tempoh pajakan tanah mereka. Pada masa yang sama, mereka pula gagal mendapat pinjaman bank untuk membayar premium kerana tempoh pajakan kurang daripada 20 tahun.

Masalah ini mungkin boleh diselesaikan jika Skim Pemilikan Tanah Kerajaan Untuk Bangunan Kediaman Persendirian juga boleh digunakan untuk tanah-tanah perindustrian di mana kerajaan boleh mengenakan caj premium nominal sebanyak RM100,000 supaya mereka boleh memanjangkan tempoh pajakan mereka dan memohon pinjaman daripada bank untuk menbayar bakinya secara ansuran.

Fitnah terhadap KSSB

Semalam kita difahamkan bahawa hasil pasir semasa zaman Barisan Nasional adalah rendah kerana kerajaan negeri pada masa itu tidak melihat industri pasir ini satu sumber kekayaan yang penting bagi kerajaan negeri.

Kenyataan ini seolah-olah bermaksud kerajaan Barisan Nasional tidak pandai mengurus sumber kekayaan di Selangor sehingga industri yang lumayan ini hanya menyumbang royalti tidak lebih daripada RM 4juta setiap tahun kepada kerajaan Selangor. Kini dengan kerajaan Pakatan Rakyat yang bersih dan beramanah, royalti yang dibayar daripada industri pasir kini sudah mencecah RM 16juta setahun. Harus diingat bahawa keuntungan pasir ini masih belum berada pada tahap optimum. Ini bermakna bayaran royalti ini masih mempunyai ruang untuk dipertingkatkan lagi.

Kerajaan Selangor di bawah Pakatan Rakyat telah menubuhkan Kumpulan Semesta Sendirian Berhad (KSSB) untuk mengawal pengeluaran pasir daripada bumi Selangor dengan cara yang berhemah dan mesra alam sekitar.

KSSB menyumbang kepada kerajaan Selangor bukan setakat bayaran royalti sahaja. Sebagai sebuah anak syarikat kerajaan Selangor, KSSB perlu membayar dividen keuntungan kepada kerajaan Selangor. KSSB juga perlu menyumbang kepada program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) dan geran Selangorku. Pendek kata, keuntungan KSSB itu keuntungan kerajaan Selangor dan keuntungan kerajaan Selangor ialah keuntungan rakyat.

Kampung Tunku amat bersetuju dengan cadangan Yang Berhormat dari Seri Muda semalam agar Ahli-ahli Dewan Negeri dari Barisan Nasional dilantik menjadi ahli lembaga pengarah KSSB supaya mereka memahami cara beroperasi KSSB dan tidak membuat tuduhan liar terhadap KSSB. Sudah sampai masanya untuk pihak-pihak yang mempunyai motif politik untuk menghentikan fitnah mereka yang tidak berasas terhadap KSSB. Jika mereka mempunyai bukti, tepuk dada tanya selera, tampillah ke hadapan dan membuat tuduhan dengan buktinya.

Ahli Yang Berhormat dari Kuang menuduh pula kerajaan Selangor tidak membina apa-apa jalan sepanjang empat tahun memerintah Selangor. Kampung Tunku berpendapat hujah ini tidak benar dan memesong Dewan kerana jawapan bertulis dalam satu soalan yang saya bangkitkan pada tahun 2011 menunjukkan bahawa kerajaan membelanjakan RM 630juta untuk menjalankan projek-projek membina jalan baru, menaik taraf jalan lama, memperbaiki cerun-cerun bukit, membaik pulih jambatan-jambatan, melebarkan jalan-jalan utama dan kerja-kerja infrastruktur yang lain dari tahun 2008 hingga 2010.

Sekali lagi, Kampung Tunku ingin menarik perhatian Kuang terhadap titah ucapan Tuanku agar kita semua berbahas dengan intelektual dengan berpandukan fakta.

Semalam Dewan ini gempar kerana Ahli Dewan dari Seri Muda membangkitkan satu skandal yang berkaitan dengan Ketua Pembangkang kita dan saya memetik satu laporan akhbar yang berbunyi seperti berikut:

‘Sesi penggulungan Belanjawan Selangor 2012 gempar berikutan pendedahan Menteri Besar berhubung pelbagai salah guna kuasa Barisan Nasional Selangor membabitkan kehilangan jutaan ringgit yang turut melibatkan Ketua Pembangkang, Datuk Satim Diman.

Selain Satim, Abdul Khalid juga mendedahkan usaha pengambilan tanah oleh bekas menteri Besar Selangor, isteri Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani serta pemimpin politik setempat bagi mendapat beberapa lot tanah dikawasan elit.

Dalam sesi penggulungan itu, Khalid mendedahkan Ketua Pembangkang, Satim Diman telah membuat beberapa transaksi berhubung penjualan tanah di Science Park 2 semasa pentadbiran BN dulu.

Tanah tersebut merupakan tanah milik kerajaan negeri yang telah diberikan kepada Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) untuk tujuan pembangunan pendidikan sains.

Menurut Khalid (Menteri Besar), pemberian tanah tersebut bagaimanapun dijual oleh Satim dengan harga murah kepada Nikmat Inai Sdn Bhd, di mana Satim adalah salah seorang pemegang saham dan Ahli Lembaga Pengarah.

"Belum selesai syarikat Satim membayar belian kepada PKPS, atas kuasa politik yang beliau pegang, tanah itu dijual kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dengan harga berlipat kali ganda.

"Inilah berjayanya Satim Diman menjadi orang tengah untuk mengaut untung atas angin atas dasar Bumiputera,"jelas Khalid.’

Begitu cara Barisan Nasional membuang wang dan sumber semulajadi kerajaan Selangor. Bandingkan skandal ini dengan simpanan tunai kerajaan Selangor yang semakin bertambah sejak tahun 2008, sudah pasti perbezaannya amat ketara. Tidak salah kalau ada orang yang mengatakan bahawa Malaysia akan bankrap jikalau BN terus diberi mandat untuk mentadbir mana-mana kerajaan di Malaysia.

Sudah cukup rakyat hidup meranah di bawah pentadbiran Barisan Nasional. Pelbagai skandal, korupsi, kronisme, salah urus telah berlaku di bawah zaman Barisan Nasional. Sampai pilihanraya umum ke-13, Kampung Tunku yakin rakyat Selangor tidak akan tertipu dengan tipu helah BN dan dengan izin tuhan, sampainya PRU ke-13, riwayat hidup BN akan tamat pada masa itu juga.

Lau Weng San
Post a Comment