Tuesday, March 27, 2012

Menggesa Kerajaan Persekutuan untuk berunding semula dengan syarikat konsesi Lebuhraya Pantai Barat

Ucapan ADUN DAP bagi kawasan Kampung Tunku Lau Weng San semasa membentang Usul No. 7 Tahun 2012 pada 27 Mac 2012 di Shah Alam:

Kampung Tunku dengan ini mencadang supaya usul yang berbunyi seperti di bawah dapat diluluskan dalam Dewan Yang Mulia ini:
“Bahawa Dewan yang mulia ini menggesa Kerajaan Persekutuan untuk berunding semula dengan syarikat konsesi Lebuhraya Pantai Barat agar hak dan kepentingan rakyat Selangor dipelihara.”
Baru-baru ini Kumpulan Europlus (KEuro) mengumumkan bahawa kos pembinaan Lebuhraya Pantai Barat meningkat 134% daripada RM3.015 bilion ke RM7.07 bilion sementara tempoh konsesi juga dinaikkan daripada 33 tahun ke 60 tahun.

Sebagai pemegang konsesi lebuhraya ini, Kumpulan Europlus (KEuro) telah melapor kepada Bursa Malaysia pada 25 Mei 2007 bahawa anak syarikat kepada KEuro, iaitu Konsortium LPB Sdn. Bhd. (KLPB) telah menandatangani perjanjian konsesi dengan Kerajaan Persekutuan untuk membina lebuhraya sepanjang 215.8 km dari Taiping ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur melalui Banting dengan kos pembinaan sebanyak RM3.015 bilion.

Walaupun perjanjian ini ditandatangani pada tahun 2007, pembinaan lebuhraya ini ditangguhkan selama lima tahun sehingga sekarang. Beberapa minggu yang lalu KEuro mengumumkan bahawa kos pembinaan telah meningkat ke RM7.07 bilion sementara tempoh konsesi juga telah dilanjutkan daripada 33 tahun ke 60 tahun, sekaligus menjadikan lebuhraya ini dengan tempoh konsesi yang terpanjang di Malaysia.

Apa yang lebih memeranjatkan ialah Kerajaan Persekutuan begitu murah hati dengan meluluskan soft loan sebanyak RM2.24 bilion dengan faedah hanya 4% setahun kepada KEuro. Selain itu, subsidi faedah sehingga ke 3% dberi terhadap pinjaman komersial KEuro untuk tempoh waktu selama 22 tahun. Selain daripada itu, kerajaan persekutuan akan menanggung kos pengambilalihan tanah yang dijangka berjumlah RM980 juta.

Dalam pengumuman terbaru ini, KEuro juga menerangkan bahawa kenaikan kos pembinaan ini adalah disebabkan oleh kepanjangan lebuhraya ini bertambah 100km lagi, yakni dari 216km hingga ke 316km, iaitu pertambahan sebanyak 46%.

Walaupun begitu, kerajaan persekutuan masih belum menjelaskan sebab-sebab kos pembinaan meningkat 134% sedangkan kepanjangan lebuhraya hanya meningkat 43% sahaja. Lebih-lebih lagi, jarak antara Banting dan Taiping tidak akan bertambah 100km dengan tiba-tiba.

Kerajaan persekutuan harus menjelaskan persoalan-persoalan yang dibangkitkan di atas memandangkan kerajaan akan menggunakan wang pembayar cukai untuk membiayai pembinaan lebuhraya ini dan rakyat Selangor yang akan membayar tol nanti apabila lebuhraya ini siap dibina.

Lebih-lebih lagi, kerajaan persekutuan mendukung cita-cita untuk mentransformasi pentadbiran kerajaan melalui beberapa siri pelan transformasi. Perdana Menteri juga melaungkan gagasan 1Malaysia dengan slogan “rakyat didahulu, pencapaian diutamakan”. Jika begitu, maka Perdana Menteri perlu menjelaskan mengapa kos pembinaan lebuhraya ini melonjak naik dengan begitu dahsyat. Adakah rakyat betul-betul didahulukan, ataupun kroni-kroni yang mendapat kebaikan daripada projek ini?

Pertama sekali, rakyat perlu menanggung perbelanjaan yang amat besar untuk lebuhraya ini kerana kerajaan persekutuan menggunakan wang rakyat untuk membiayai pembinaannya. Yang kedua, tempoh konsensinya juga akan dinaikkan ke 60 tahun. Barangkali cucu-cicit kita masih perlu membayar tol semasa mengguna lebuhraya ini 60 tahun kemudian.

Prestasi syarikat konsesi juga dipersoalkan di mana presiden dan ketua pengarah KEuro ialah Tan Sri Chan Ah Chye. Beliau memegang 27.58% saham dalam KEuro dan juga merupakan ahli lembaga pengarah kepada Talam Corporation Bhd, sebuah syarikat hartanah yang berkontroversi dan pernah dibelenggu dengan hutang menggunung tinggi pada masa silam.

KEuro hanya mendapat pendapatan dan untung sebanyak RM15 juta dan RM5 juta dalam sembilan bulan pertama tahun 2011 selepas mengalami kerugian RM24.1 juta ringgit pada tahun 2010 dengan pendapatannya sebanyak RM20.5 juta.

Bagaimana sebuah syarikat yang hanya untung RM5 juta diberi projek sebesar RM7.07 bilion untuk ditangani. Malahan, syarikat konsesi ini langsung tiada pengalaman untuk membina lebuhraya walaupun pemegang sahamnya yang satu lagi, iaitu IJM mempunyai kepakaran dalam bidang ini.

Kesemua ini menunjukkan terdapat sesuatu yang tidak kena dengan konsesi ini kerana ianya amat merugikan rakyat, khususnya rakyat Selangor yang sudah pasti akan dibebankan dengan satu lagi lebuhraya bertol, kali ini di kawasan persisiran pantai.

Saya meminta semua Ahli Dewan yang mulis ini untuk menyokong usul ini. Saya juga meminta semua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) khususnya mereka dari kawasan persisiran pantai seperti Sungai Air Tawar, Sabak, Sungai Panjang, Sungai Burung, Permatang, Jeram, Sementa dan Tanjung Sepat untuk berdiri menyokong usul ini dan mendesak Kerajaan Persekutuan untuk berunding semula dengan KEuro.

Lau Weng San
Post a Comment