Saturday, March 10, 2012

Noh Omar dan Wong Koon Mun harus kemukakan bukti jikalau mereka benar-benar ingin menghentikan penyelewengan pasir di Selangor

Noh Omar dan Wong Koon Mun harus kemukakan bukti jikalau mereka benar-benar ingin menghentikan penyelewengan pasir di Selangor dan bukan sewenang-wenangnya membuat tuduhan liar bahawa pencurian pasir serious di Selangor.

Malahan Noh Omar juga pernah berkata bahawa mereka mempunyai bukti untuk membuktikan tuduhan mereka. Jikalau begitu, mengapa sehingga sekarang Noh Omar tidak mampu menunjukkan apa-apa bukti walau sehelai muka surat pun?

Kegagalan Noh Omar berbuat demikian amat menyangsikan kita semua sehingga tertimbul satu persoalan, iaitu adakah Noh Omar benar-benar mempunyai bukti yang kukuh ataupun ianya hanya tuduhan-tuduhan kosong untuk menjatuhkan Pakatan Rakyat di Selangor?

Ataupun ianya hanya sandiwara murahan rekaan Noh Omar yang bercita-cita untuk menjadi Menteri Besar? Kalau Noh Omar mempunyai bukti, maka beliau harus mengemukakan kepada Selcat ataupun membuat laporan kepada polis atau Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membendung gejala ini. Sebagai menteri, beliau harus sedar bahawa adalah menjadi satu kesalahan bagi mana-mana individu untuk tidak melaporkan satu perbuatan rasuah yang diketahuinya kepada SPRM untuk siasatan lanjutan.

Noh Omar juga mengkritik Selcat sebagai “mahkamah kangaroo” dan kenyataan ini disokong Wong Koon Mun, seorang lagi ADUN MCA untuk kawasan Kuala Kubu Baru.

Harus diingatkan bahawa Selcat memang bukan sebuah mahkamah kerana ianya merupakan sebuah Jawatankuasa Pilihan (Select Committee) yang ditubuhkan oleh Dewan Negeri Selangor bagi menyiasat sebarang tindakan salahlaku oleh pihak kerajaan. Dalam perkataan lain, peranan yang dimainkan oleh Selcat ialah untuk menyemak dan mengimbang (check and balance) pihak pentadbiran.

Sebagai sebuah jawatankuasa pilihan, Selcat tidak ada kuasa untuk menghukum mana-mana individu tetapi mempunyai kuasa untuk memanggil mana-mana saksi bagi memberi keterangan secara terbuka melalui pendengaran awam bagi mana-mana isu yang berkepentingan awam.

Pemberian keterangan secara terbuka ini membantu dalam mempertingkatkan tahap ketelusan dalam pentadbiran awam kerana saksi-saksi yang dipanggil akan terletak di bawah pemantauan awam (public scrutiny). Konsep jawatankuasa pilihan ini merupakan satu pembaharuan dalam menjalankan fungsi-fungsi parlimen di kebanyakan Negara Komanwel dan ianya dipelopori oleh Parlimen Britain sehingga Perdana Menteri Britain pun boleh dipanggil untuk memberi keterangan di hadapan jawatankuasa pilihan (sila rujuk http://news.bbc.co.uk/democracylive/hi/house_of_commons/newsid_9702000/9702537.stm)

Justeru itu, kenyataan Noh Omar dan Wong Koon Mun ini sebenarnya satu kenyataan yang menghina Dewan dan kedua-duanya boleh didakwa dan dihukum di bawah Enakmen Penghinaan Dewan Negeri Selangor. Malahan kenyataan ini amat memalukan Malaysia di persada antarabangsa kerana terdapat menteri cabinet di Malaysia yang berani mencabar keutuhan Dewan.

Saya menggesa Noh Omar dan Wong Koon Mun untuk segera menarik balik semua tuduhan yang tidak berasas dan memohon maaf kepada Dewan secara terbuka. Pada masa yang sama, eloklah untuk mereka menyerah sebarang bukti dalam pegangan mereka kepada Selcat jikalau mereka benar-benar ikhlas.

Berani kerana benar!

No comments: