Thursday, December 26, 2013

Penyelarasan Saraan Ahli Dewan Negeri Selangor – Patut Atau Tidak?

Ramai telah menyuarakan pendapat mereka tentang penyelarasan saran Ahli Dewan Negeri, Timbalan Speaker, Speaker, Ahli EXCO dan Menteri Besar Selangor sejak ianya dibentang dan diluluskan di Dewan Negeri Selangor pada 27 November 2013.

Mengikut pindaan yang dijalankan terhadap Enakmen Anggota Pentadbiran dan Anggota Dewan Negeri (Saraan) (Pindaan) 2013, saraan Menteri Besar berjumlah RM14,175.15 bakal meningkat kepada RM29.250 iaitu pada kadar 106.4 peratus, Speaker Dewan (RM6.109.29 meningkat 268 peratus kepada RM22,500) dan Timbalan Speaker (RM3,327.50 kepada RM15,570).

Bagi saraan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN atau EXCO) pula, saraan bulanan sebanyak RM6,109.29 bakal meningkat kepada RM20,250, iaitu peningkatan sebanyak 231 peratus. Saraan bagi setiap ADUN mengikut Seksyen 3 juga dipinda, daripada RM6,000 kepada RM11,250 atau kenaikan sebanyak 87.5 peratus.

Perkara ini telah menjadi buah mulut orang ramai pada awal bulan Disember 2013, yakni sama ada penyelarasan saraan dengan peratusan kuantum yang begitu besar ini patut dilakukan atau tidak, lebih-lebih apabila kehidupan rakyat jelata semakin dihimpit oleh kos kehidupan yang semakin meningkat.

Reaksi orang ramai

Reaksi orang ramai terhadap penyelarasan saraan ini boleh dibahagi kepada tiga golongan. Golongan pertama ialah mereka yang langsung tidak bersetuju dengan kenaikan ini. Golongan kedua ialah mereka yang bersetuju dengan kenaikan ini tetapi tidak bersetuju dengan kuantum kenaikan, Golongan yang ketiga ialah mereka yang bersetuju sepenuhnya dengan cadangan ini.

Golongan pertama memberi sebab bahawa wakil rakyat harus “berjiwa rakyat” dan berkongsi beban kesusahan rakyat jelata seperti pak pepatah berbunyi, berat sama dijunjung, ringan sama dijinjing.

Golongan kedua mempertikaikan kuantum kenaikan saraan yang terlalu tinggi, khususnya untuk Speaker dan Timbalan Speaker. Walaupun begitu dalam hal kenaikan saraan ADUN sebanyak 87%, terdapat juga perbezaan pendapat di kalangan golongan kedua ini.

Ada yang berpendapat ianya terlalu tinggi memandangkan rakyat biasa pun tidak menikmati kenaikan saraan yang begitu tinggi. Ada yang berpendapat ianya sepadan dengan tugas wakil rakyat di Selangor memandangkan kos kehidupan di Selangor semakin meningkat.

Golongan ketiga merupakan golongan minoriti. Kebetulan saya ialah salah seorang daripada golongan ini.

Rencana ini cuba menerangkan pendirian saya dengan lebih teperinci selain daripada apa yang telah saya berucap di DUN Selangor semasa membahas Rang Undang-undang berkenaan. Saya juga tidak akan mengulangi apa yang telah disebut oleh mereka yang menyokong kenaikan saraan ini termasuk kuantumnya.

Saya ingin bermula dengan kenaikan saraan untuk Speaker dan Timbalan Speaker kerana secara spontan, masih ramai yang tidak bersetuju dengan kenaikan saraan Speaker dan Timbalan Speaker, khususnya saraan Speaker yang dikatakan melebihi saraan bulanan EXCO dan YAB Perdana Menteri.

Institusi Speaker dan Timbalan Speaker

Pertama sekali, Speaker dan timbalannya merupakan satu institusi yang harus diberi penghormatan dan layanan yang lebih tinggi daripada EXCO. Jawatan ini ialah sebahagian daripada tradisi Demokrasi Berparlimen ala Westminster yang diwarisi daripada British.

Prinsip pengasingan kuasa yang menuntut agar kuasa sesebuah kerajaan dibahagi kepada tiga cabang, iaitu cabang Eksekutif, Perundangan dan Kehakiman. Ketiga-tiga cabang ini mempunyai peranan dan kuasa masing-masing yang tidak boleh dicampur tangan oleh cabang-cabang yang lain.

Contohnya Perundangan adalah untuk menetapkan undang-undang yang hendak diterima pakai di sesebuah negeri (negara) itu. Eksekutif tiada hak untuk menggubal undang-undang tetapi boleh melaksanakan undang-undang itu. Malahan Kehakiman berkuasa untuk menetapkan sama-ada pelaksanaan undang-undang oleh pihak Eksekutif mengikuti peruntukan undang-undang yang diluluskan oleh Perundangan.

Ini ialah satu penjelasan yang amat ringkas tetapi cukup untuk menunjukkan kepada pembaca bahawa sepatutnya ketiga-tiga cabang ini adalah setara dan seimbang. Malang sekali, lunas-lunas yang diwarisi daripada British ini telah banyak bertukar wajar selepas pemerintahan lebih setengah abad oleh Barisan Nasional di Malaysia.

Eksekutif telah menjadi jauh lebih berkuasa daripada kedua-dua cabang yang lain. Segala undang-undang, peraturan-peraturan dan lunas-lunas politik yang terkandung sebelum merdeka telah diubah hanya untuk menyesuaikan keperluan, citarasa dan kepentingan politik Barisan Nasional.

Begitu serious fenomena ini sehingga Speaker yang merupakan ketua Perundangan dilihat sebagai seorang yang tidak berkuasa. Jawatan ini dilihat sebagai sebuah jawatan rubber stamp sahaja. Malahan Speaker sendiri tidak berkuasa untuk menguruskan hal ehwal DUN kerana pengurusan Dewan di Parlimen dan semua DUN di Malaysia adalah terletak di bawah pentadbiran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), iaitu sebuah jabatan di bawah Eksekutif.

Ini ialah sebab mengapa orang ramai menganggap Speaker dan timbalannya memang tidak mempunyai kerja khusus selain “duduk diam-diam” di dalam setiap persidangan DUN. Di bawah pentadbiran BN, memang ini ialah gambaran yang diberi kepada orang ramai tentang jawatan Speaker dan timbalannya.

Ramai yang mungkin tidak tahu bahawa sebenarnya mengikut protokol kerajaan, kedudukan Speaker sebenarnya terletak lebih tinggi daripada anggota pentadbiran. Di Selangor, Speaker merupakan orang yang menduduki aturan protokol di belakang YAB Menteri Besar.

Mungkin ada lagi mereka yang kurang yakin dan akan bertanya “Ya, memang betul Speaker ini ialah institusi yang sangat penting, tetapi apakah tugasnya sehingga ianya perlu dibayar dengan saraan yang begitu tinggi?”

Memantau Eksekutif Melalui Cabang Perundangan

Jawapan kepada soalan ini juga berkaitan dengan penerangan tadi – iaitu Speaker yang mengetuai sesebuah Dewan Undangan itu harus menyemak dan memantau Eksekutif. Peranan ini sama penting dengan tugas dan peranan Eksekutif sendiri.

Malangnya Barisan Nasional telah menjadikan badan perundangan sebagai satu rubber stamp sahaja, sekaligus melemahkan institusi-institusi lain di bawah badan perundangan seperti institusi Ketua Pembangkang, Pengerusi PAC, Jawatankuasa Pilihan dan lain-lain.

Sehingga sekarang, Parlimen Malaysia masih belum mempunyai satu sistem Jawatankuasa Pilihan (JP) atau Select Committee yang menyeluruh seperti apa yang berlaku di Negara-negara Komanwel yang lain untuk memantau Eksekutif.

Untuk itu, Selangor telah mengorak langkah pertama pada tahun 2008 apabila DUN Selangor menubuhkan tiga buah JP Khas yakni:
1. Jawatankuasa Pilihan Khas tentang Agensi Kerajaan, Badan Berkanun dan Anak-anak Syarikat (JPK-ABAS),
2. Jawatankuasa Pilihan Khas tentang Pihak Berkuasa Tempatan (JPK-PBT), dan
3. Jawatankuasa Pilihan Khas tentang Pejabat Tanah dan Daerah (JPK-PADAT).

Kemudian Peraturan-Peraturan Tetap (PPT) DUN Selangor telah dipinda pada tahun 2012 untuk menjadikan ketiga-tiga JPK ini Jawatankuasa Pilihan (JP) tetap yang perlu ditubuhkan pada permulaan setiap sidang DUN.

Apabila Pakatan Rakyat kembali berkuasa untuk penggal kedua di Selangor, ketiga-tiga buah JP ini ditubuhkan dan saya juga telah dipilih untuk mengetuai salah satu daripada JP ini, iaitu JP-PADAT.

SELCAT dan pendengaran awam

Orang ramai barangkali masih ingat bagaimana Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan atau SELCAT menyoal pegawai-pegawai kerajaan, Ahli Dewan Negeri Selangor malahan EXCO dalam beberapa perkara berkaitan dengan kepentingan awam.

SELCAT merupakan satu-satunya JP yang boleh menjalankan pendengaran terbuka di mana liputan secara langsung diadakan melalui webcast oleh TV Selangor. Melalui ini, orang ramai dapat menyaksikan secara telus bagaimana soal-siasat dijalankan tentang isu-isu yang menyentuh kepentingan awam.

DUN Selangor juga menjalankan saringan terhadap penggubalan undang-undang baru. Satu contoh yang bagus ialah penggubalan Enakmen Kebebasan Maklumat di mana enakmen ini ialah enakmen yang pertama digubal di Malaysia.

Walaupun Rang Undang-undang (RUU) ini mempunyai kebaikan untuk seluruh rakyat Selangor, tetapi DUN Selangor tidak tergesa-gesa untuk meluluskannya. Sebaliknya, satu Jawatankuasa Pilihan Khas ditubuhkan untuk meneliti setiap satu fasal rang undang-undang tersebut.

Pendengaran awam dijalankan terhadapnya. Orang ramai dijemput untuk memberi pandangan mereka terhadap RUU ini. Pandangan-pandangan ini dikumpul dan diteliti oleh ahli-ahli JPK. Cadangan-cadangan pindaan diserah kepada pihak Eksekutif untuk pertimbangan seterusnya. Pihak Eksekutif akan mempersembahkan RUU ini kepada DUN untuk bacaaan kedua. Pihak ADUN akan mempunyai peluang yang lebih banyak untuk membahasnya sekali lagi sebelum ianya dibaca untuk kali ketiga dan seterusnya menjadi undang-undang.

Melalui sistem JP yang saya sebutkan tadi, pegawai-pegawai kerajaan perlu menjadi lebih berhati-hati dalam menjalankan tugas harian mereka. Zaman silam di mana mereka boleh menjalankan tugas secara tutup sebelah mata atau sambil lewa telah berlalu dan tidak dibenarkan sama sekali di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat.

Bukan sahaja pihak Eksekutif perlu memantau kualiti kerja kakitangan di bawah mereka, malahan sekiranya sesuatu buruk berlaku dalam bidang yang diuruskan mereka, maka mereka juga perlu menjawab kepada JP yang berkenaan nanti.

Semua kerja ini dilakukan oleh para ADN yang tidak memegang jawatan di kerajaan. Kerja-kerja ini diselaras oleh Speaker dan beliau dibantu oleh Timbalannya. Kerja-kerja ini tidak semudah yang disangkakan tetapi malangnya ramai yang tidak mengetahui kepentingan tugas-tugas yang dijalankan oleh Speaker dan Timbalan Speaker di sebalik tabir.

Perbandingan Saraan Wakil Rakyat ADN Selangor Berbanding KDNK Per Kapita Rakyat Selangor

Saya juga diingatkan oleh rakan seperjuangan untuk membuat perbandingan di antara saraan wakil rakyat ADN Selangor berbanding dengan KDNK per kapita rakyat.

Maklumat yang diperolehi daripada The Economist menunjukkan bahawa kebanyakkan negara Komanwel membayar antara 2 hingga 4 kali ganda daripada KDNK per kapita rakyatnya kepada Ahli Parlimen mereka.

Bagi Malaysia, Ahli Parlimen di Dewan Rakyat menerima saraan sedikit melebihi dua kali ganda daripada KDNK per kapita. KDNK per kapita rakyat dikira dengan membahagikan KDNK sesebuah negara dengan populasinya.

Mengikut statistic daripada Unit Perancang Ekonomi (EPU), KDNK Malaysia pada tahun 2013 ialah RM1001.b bilion. Mengandaikan Selangor menyumbang lebih 22% kepada KDNK ini dan dengan populasi Selangor seramai 5 juta orang. Maka KDNK per kapita Selangor ialah lebih kurang RM44,080 setahun, bersamaan RM3,673 sebulan. Bandingkan nilai ini dengan saraan pokok ADUN sebanyak RM11,250 sebulan dan nisbahnya ialah 3.1.

Nisbah 3.1 ini terletak di dalam lingkungan 2.0 – 4.0 seperti apa yang saya sebutkan di atas. Maka daripada aspek ini, penyelarasan saraan ADN Selangor ke paras RM11,250 tidak sepatutnya menjadi satu persoalan.

Rasional dan garis panduan untuk menetapkan saraan penggubal undang-undang

Saya juga ingin membawa satu penyelidikan yang dijalankan oleh Majlis Perundangan Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (The Legislative Council of Hong Kong Special Administrative Region) terhadap saran ahli-ahli Parlimen dan yang lain di negara-negara utama Komanwel. (Sila rujuk sini)

Muka surat enam dan sebelas dalam dokumen tersebut menyebut tentang rasional dan garis panduan yang diterima pakai oleh negara-negara ini dalam menentukan saraan ahli-ahli perundangan mereka. Hampir kesemua telah menyebut bahawa saraan yang diterima oleh penggubal undang-undang harus setimpal dengan bebas kerja dan kedudukan mereka sebagai penggubal undang-undang.

Selain itu, saraan bagi Speaker dan Timbalan Speaker tidak harus terlalu jauh berbeza dengan ahli yang memegang jawatan eksekutif di dalam kerajaan. Begitu juga dengan saraan mereka tidak harus lebih rendah daripada kakitangan kanan kerajaan.

Penambahbaikan yang boleh dijalankan

Ramai yang mengutarakan pandangan bahawa kuantum penyelarasan saraan ADN kali ini adalah terlalu besar dan mereka bercadang supaya ianya dijalankan secara beransur-ansur mengikut best practice dari luar negara.

Saya secara peribadi bersetuju dengan bahagian yang kedua di mana memang penyelarasan kali ini dilakukan tanpa perbincangan yang terperinci. Saya bercadang kerajaan negeri pada masa hadapan boleh menubuhkan sebuah jawatankuasa pilihan yang ditubuhkan khusus untuk mensaraan bukan sahaja saraan ADN tetapi juga segala perbelanjaan, tuntutan dan elaun yang bakal diterima oleh setiap ADN mengikut peredaran masa.

Pendengaran awam dan siasatan boleh dijalankan oleh Jawatankuasa Pilihan ini dari semasa ke semasa untuk mempertimbangan sebarang cadangan untuk meminda Enakmen Anggota Pentadbiran dan Anggota Dewan Negeri Selangor ini.

Diharap tulisan ini dapat memberi pengetahuan yang lebih banyak kepada orang ramai terhadap fungsi dan peranan, ADN, Speaker dan Timbalan Speaker dan sekaligus member justifikasi terhadap penyelarasan gaji yang bakal diterima oleh mereka bermula 1 Januari 2014 nanti.

Lau Weng San

Post a Comment