Monday, December 02, 2013

Ucapan ADUN Kampung Tunku Lau Weng San semasa membawa satu usul di bawah Peraturan Tetap 76(5) di Dewan Negeri Selangor pada 2 Disember 2013

“Bahawasanya mengikut Perenggan (5) dalam Peraturan Tetap 76 bagi Dewan Negeri Selangor, Dewan yang bersidang pada hari ini membuat ketetapan supaya Penyata Jawatankuasa Pilihan Mengenai Pejabat Daerah Dan Tanah (JP-PADAT) yang dibentangkan sebagai Kertas Mesyuarat Bil. 27 Tahun 2013 diterima.”
1. Jawatankuasa Pilihan Mengenai Pejabat Daerah Dan Tanah (JP-PADAT) telah mengadakan tiga kali mesyuarat pada 26 Ogos 2013, 30 September 2013 dan 7 Oktober 2013.

2. Dalam mesyuarat pertama bertarikh 26 Ogos 2013, Kertas Panduan Kerja untuk Jawatankuasa Pilihan Pejabat Daerah dan Tanah (JP-PADAT) Dewan Negeri Selangor Sesi 2013 – 2018 telah dibentang dan diterima oleh JP-PADAT di mana kuasa penubuhan, objektif, skop kerja, peranan, modus operandi dan hasil kerja untuk JP-PADAT dalam masa lima tahun yang akan datang telah digariskan.

3. JP-PADAT seterusnya telah menjalankan beberapa siri pendengaran tertutup dengan wakil daripada Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) berkenaan dengan perkara-perkara berikut:
i. Laporan Ketua Audit Negara (Negeri Selangor) 2011 – Pengurusan Tukar Syarat Tanah bagi kilang haram, tapak perkuburan dan rumah burung walit.
ii. Pengurusan Sumber Manusia di Pejabat Daerah dan Tanah - Kekurangan Pegawai Berpengalaman;
iii. Kelewatan Dalam Permohonan Tukar Syarat Tanah / Pemberimilikan Tanah;
iv. Pencerobohan ke atas tanah berstatus Lesen Pendudukan Sementara (TOL);
v. Penangguhan ke atas consent yang dimohon serta polisi pemberian consent terkini;
vi. Sistem Pungutan Hasil Tanah (SPHT) dan Sistem Pendaftaran Tanah Berkomputer (SPTB);
vii. Status terkini perwartaan (gazzette) tanah rizab perkampungan Orang Asal di Selangor;
viii. Susulan ke atas Laporan Akhir Kajian Terhadap Pengurusan dan Pentadbiran Tanah Negeri Selangor yang disediakan Task Force Tanah Selangor Tahun 2008.

4. JP-PADAT juga menjalankan pendengaran tertutup dengan wakil-wakil daripada kesemua sembilan buah Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) terhadap perkara-perkara di bawah:
i. Inventori balai raya, gelanggang sukan dan kemudahan awam di bawah seliaan setiap Pejabat Daerah dan Tanah; dan
ii. Dasar ketelusan oleh Pejabat Daerah dan Tanah dalam pemberian tender / sebut harga.

5. Dalam proses pemutihan kilang-kilang haram, JP-PADAT mendapati hampir separuh daripada 2118 lot tanah kilang haram yang masih belum diputihkan sepenuhnya dan ini menyebabkan kerugian sebanyak RM78 juta setahun dari segi pendapatan cukai tanah dan premium kepada kerajaan.

6. PTGS dan kesembilan PTD perlu meningkatkan usaha untuk memutihkan kilang-kilang haram ini. Pihak penguatkuasaan juga perlu dipertingkatkan untuk mengelak penambahan kilang-kilang haram.

7. Tentang tanah perkuburan, JP-PADAT mengesyorkan kerajaan untuk mempercepatkan kerja-kerja pewartaan berkenaan dengan Tanah Perkuburan Wilayah Bersepadu.

8. Dalam hal penggunaan tanah untuk perusahaan burung walit, JP-PADAT berpuas hati dengan kerajaan kerana telah menetapkan satu garis panduan yang lengkap untuk mengawalselia industri ini.

9. Dalam hal pengurusan sumber manusia di pejabat tanah, JP-PADAT menyarankan supaya kerajaan menubuhkan sebuah institut latihan pegawai-pegawai tanah untuk melatih pegawai-pegawai yang mahir dalam hal ehwal pengurusan tanah tanpa terlalu bergantung kepada pegawai-pegawai yang dilantik oleh BPSM. JP-PADAT juga menyaran agar kerajaan segera mengisi semua kekosongan jawatan di setiap PTD dan PTGS. Jikalau kekosongan tersebut tidak dapat diisi pleh SPA Malaysia, maka SPANS perlu mengisi kekosongan tersebut melalu perlantikan secara kontrak.

10. Dalam hal tanah yang berstatus Lesen Pendudukan Sementara atau TOL, JP-PADAT telah dimaklumkan bahawa MMKN telah menurunkan kuasa kepada Pejabat Tanah dan Daerah untuk meluluskan permohonan TOL untuk tujuan kediaman. Walaupun begitu, pemantauan dan semakan di peringkat Daerah harus diadakan memandangkan kuasa untuk meluluskan permohonan TOL bagi tujuan kediaman telah diturunkan kepada kepada PTD.

11. Berkenan dengan pemberian consent atau kebenaran untuk melepaskan hartanah milik Bumiputera kepada bukan Bumiputera, JP-PADAT mencadangkan supaya kerajaan harus melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menjadikan tanah-tanah pertanian yang dipegang oleh kaum Bumiputera digunakan sebaik-baiknya dalam sektor pertanian untuk menjana hasil daripada ianya dijadikan sebagai alat untuk mencari keuntungan cepat.

12. Satu berita baik yang ingin dibangkitkan di sini ialah PTGS atas usaha sendiri telah cuba dan berjaya berusaha untuk mengintegrasikan kedua-dua sistem pentadbiran tanah dengan bantuan Bahagian Teknologi Maklumat (BTM), SUK Selangor iaitu Sistem Pengutan Hasil Tanah (SPHT) dan Sistem Pendaftaran Tanah Berkomputer (SPTB). Harus diingatkan bahawa Ketua Audit Negara pernah memberi teguran kerana didapati kedua-dua sistem ini tidak dapat diintegrasikan.

13. PTGS juga mendapat kerjasama daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan nombor kad pengenalan dan alamat pemilik tanah. Pada masa yang sama, PTGS melalui BTM sedang berusaha untuk membangunkan Jaringan Selangor dan Selangor Land Information System (SELIS). Jawatankuasa juga puas hati kerana PTGS akan melaksanakan sistem e-Strata Selangor mulai tahun 2014 dan ianya dijangka akan menjadi rujukan negeri-negeri yang lain.

14. Walaupun begitu, JP-PADAT mendapati penggunaan sistem-sistem ini adalah bersifat intranet sahaja, di mana ianya hanya boleh diguna secara dalaman dan masih tidak dibuka kepada orang ramai. Maka, JP-PADAT mencadangkan kerajaan untuk menaiktaraf sistem ini dan mempertingkatkan tahap keselamatan sistem ini supaya ianya boleh dibuka untuk kegunaan orang ramai.

15. JP-PADAT juga mendapati bahawa sehingga kini masih terdapat lebih kurang 2000 hektar tanah Orang Asal yang belum lagi diwartakan disebabkan Pelan Pra-Perhitungan (PA) belum lagi diselesaikan di mana ianya perlu dilaksanakan oleh seorang juruukur berlesen yang dilantik Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM). JP-PADAT menyarankan agar kerajaan mempercepatkan proses pewartaan dengan menggunakan perkhidmatan juruukur tanah bertauliah bagi menyediakan Pelan Pra-Perhitungan (PA) secepat mungkin.

16. Dalam isu penyelenggaraan dewan orang ramai dan balai raya yang dikawalselia oleh Pejabat Tanah dan Daeerah, JP-PADAT juga menjalankan sesi pendengaran tertutup dan menyarankan agar pewartaan disegerakan dan satu peruntukan tetap tahunan disalurkan kepada setiap Pejabat Daerah dan Tanah (PTD) untuk memperbaiki kerosakan-kerosakan ini memandangkan ianya merupakan aset kerajaan negeri dan selama ini tidak diperuntukkan wang untuk menyelenggara aset-aset ini dengan baik.

17. JP-PADAT juga menyarankan agar kerajaan Selangor menetapkan satu dasar terhadap kemudahan-kemudahan yang dibina oleh kerajaan negeri yang terdahulu di atas tanah persendirian dan tanah rizab jalan, iaitu sama ada tanah tersebut diambil alih ataupun cukai tanah dan cukai pintu yang dikenakan diselaraskan dengan sewajarnya.

18. JP-PADAT juga memantau proses pemberian tender dan sebutharga oleh PTD. Saranan daripada JP-PADAT tempoh sebut harga / tender selama tujuh hari minimum adalah singkat kerana mungkin terdapat kontraktor-kontraktor baru tidak dapat menyediakan dokumen sebut harga / tender dengan menyeluruh.

19. Sebagai penambahbaikan kepada proses yang sedia ada, JP-PADAT menyarankan agar tempoh sebut harga / tender minimum dipanjangkan ke empat belas hari walaupun Pekeliling mencadangkan tujuh hari minima.

20. JP-PADAT mencadangkan agar kerajaan menetapkan satu dasar ketelusan yang lebih menyeluruh dengan melantik tiga orang anggota ke dalam setiap satu jawatankuasa yang dimaksudkan dalam Pekeliling, di mana individu-individu ini yang dilantik oleh dan hanya bertanggungjawab kepada Majllis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sahaja.

21. Untuk mempertingkatkan tahap ketelusan, JP-PADAT juga mencadangkan agar kerajaan menjemput Ahli Dewan Negeri (ADN) dan Ahli Parlimen setempat di daerah itu untuk dilantik oleh MMKN sebagai pemerhati untuk menyaksi seluruh proses pemilihan kontraktor atau pembekal untuk sesuatu sebut harga atau tender sehingga selesai sesuatu kerja pembekalan atau kerja pembangunan fizikal itu.

22. JP-PADAT juga menjalankan pendengaran tertutup berkenaan beberapa kes spesifik seperti yang berikut: i. Rayuan untuk mendapatkan semula tujuh permohonan pemberimilikan tanah untuk tujuan bangunan kediaman di Bukit Angkat, Mukim Kajang, Daerah Hulu Langat, Selangor. ii. Aduan terhadap pengambilan tanah di bawah Seksyen 3(1)(A) Akta Pengambilan Tanah 1960 (Pindaan 2000) ke atas Lot 92, GM 515, Bandar Selayang, Daerah Gombak dan bayaran pampasan tanahs Tetuan Ng Keing Wai Sdn. Bhd.

23. JP-PADAT mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat dan Gombak kerana telah menjalankan tugas dengan profesional dan cekap dalam kedua-dua aduan ini.

24. Untuk aduan pertama, PTD Hulu Langat telah memaklumkan bahawa empat daripada tujuh aduan tersebut telah diselesaikan dan tiga yang lain tidak dapat diproses kerana bangunan kediaman belum dibina semasa permohonan dikemukakan.

25. Untuk aduan kedua, PTD Gombak telah memaklumkan bahawa kes ini telah diputuskan di mahkamah. Tambahan lagi, aduan lebih menjurus kepada Majlis Perbandaran Selayang dan terletak di luar skop pemantau JP-PADAT, maka JP-PADAT tidak membuat apa-apa saranan kepada PTD Gombak.

26. JP-PADAT ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pegawai yang tampil memberi keterangan. JP-PADAT ingin mengingatkan kepada pegawai-pegawai kerajaan bahawa JP-PADAT ialah sebuah jawatankuasa pilihan yang menjalankan tugas-tugas pemantauan oleh pihak perundangan terhadap pihak Eksekutif. Ini bermakna JP-PADAT tidak boleh mengambil alih peranan MMKN dan memberi arahan kepada pegawai.

27. Akhir sekali, JP-PADAT akan terus memantau isu-isu yang yang dibangkitkan dalam Penyata ini pada masa depan.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,

YB Lau Weng San
ADUN Kampung Tunku

No comments: