Monday, December 02, 2013

Ucapan ADUN Kampung Tunku Lau Weng San semasa membawa satu usul di bawah Peraturan Tetap 26(2) di Dewan Negeri Selangor pada 2 Disember 2013

“Bahawa Dewan Yang Mulia ini sejajar dengan prinsip ketelusan, meminta Kerajaan Selangor supaya sentiasa memberi maklumat terkini tentang semua projek infrastruktur Kerajaan Persekutuan dengan sepenuhnya kepada rakyat dan Dewan Yang Mulia ini.”
1. Prinsip ketelusan merupakan dasar yang amat penting dalam pentadbiran kerajaan Selangor di mana demi mencapai matlamat ini, Enakmen Kebebasan Maklumat telahpun digubalkan pada tahun 2011.

2. Prinsip ketelusan juga merupakan salah satu sebab pelaburan terus subur di Selangor. Tiada pelabur yang sudi melabur wang mereka di sebuah pasaran yang mereka tidak kenali. Apabila pelabur sudi melabur di Selangor, ini menunjukkan mereka mempunyai tahap keyakinan yang tinggi terhadap kerajaannya.

3. Kerajaan Persekutuan juga tidak boleh meminggirkan negeri Selangor dari segi pelaburan dan pembangunan ekonomi di mana beberapa projek mega yang memakan belanja ribuan juta ringgit akan dan sudah bermula kerja di Selangor.

4. Antara beberapa projek infrastruktur yang sempat saya kumpulkan di sini adalah seperti berikut:
  • Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi – Ulu Kelang (SUKE)
  • Lebuhraya Bertingkat Damansara – Shah Alam (DASH)
  • Lebuhraya Kinrara – Damansara (KIDEX)
  • Lebuhraya Pantai Barat (Taiping – Banting)
  • Kuala Lumpur Outer Ring Road (KLORR) (Templer Park – Sungai Long)
  • Lebuhraya KL Arah Serendah (KLAS) (Kuala Lumpur – Serendah)
  • Lebuhraya Paroi – Senawang – KLIA (PSKE)
  • Lebuhraya Serdang – Kinrara – Putrajaya (SKIP)
  • Lebuhraya Port Dickson – Banting (PDBE)
  • Metropolis Kesihatan Universiti Malaya
  • Projek MRT Kedua Lembah Klang (KV-MRT2)
  • Projek MRT Ketiga Lembah Klang (KV-MRT3)
  • Projek Langat 2.

5. Sama seperti projek-projek yang lain, projek-projek mega ini juga perlu mengemukakan permohonan kepada Pihak Berkuasa Negeri (PBN) seperti Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor untuk kelulusan dasar. Kemudiannya pemilik-pemilik projek perlu mendapat kelulusan daripada Pusat Sehenti (OSC) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mendapat Kebenaran Merancang (KM) dan kelulusan-kelulusan teknikal yang lain.

6. Projek-projek ini khususnya projek pembinaan lebuhraya selalunya akan melibatkan pengambilan tanah-tanah persendirian untuk memudahkan pembinaan. Sekiranya ini berlaku, maka kerja-kerja pengambilan tanah perlu dijalankan oleh Pejabat Tanah dan Daerah masing-masing.

7. Rakyat Selangor rata-ratanya tidak menghalang mana-mana projek pembangunan ini. Cuma apa yang membimbangkan mereka selalunya ialah kekurangan maklumat terhadap projek-projek ini.

8. Kerajaan Selangor yang dipilih rakyat perlu berfungsi sebagai pemantau. MTES dan MMKN dalam mempertimbangkan apa-apa permohonan, perlu menetap garis piawaian yang lebih tinggi. Permohonan yang tidak lengkap serta tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan tidak boleh dipertimbangkan.

9. Laporan-laporan seperti TIA dan EIA perlu dijalankan oleh pihak-pihak bertauliah. Baru-baru ini, cadangan untuk melantik konsultan bebas yang mempunyai kepakaran dalam penyediaan laporan TIA dan EIA telah dibangkitkan untuk memastikan laporan-laporan TIA dan EIA yang dikemukakan dijalankan dengan cara yang betul.

10. Selain itu, terdapat beberapa projek mega yang memerlukan kerajaan negeri mengambil tanah-tanah persendirian. Apabila maklumat bahawa tanah-tanah persendirian di sesuatu tempat akan diambil untuk sesuatu projek pembangunan, akan tertimbul perasaan serba-salah di kalangan penduduk.

11. Seribu satu tanda tanya akan timbul, sama ada rumah dan tanah penduduk akan diambil? Adakah pampasan yang secukupnya akan dibayar? Ke mana mereka hendak berpindah selepas ini? Bagi tanah dan rumah yang tidak akan diambil, mereka akan tertanya-tanya apakah kesan buruknya jikalau mereka terpaksa hidup berjiran dengan projek ini?

12. Justeru itu, kerajaan negeri harus meletakkan syarat yang ketat terhadap projek-projek pembangunan ini tertakluk kepada undang-undang. Semua dokumen yang diperlukan untuk mendapat kelulusan mesti disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan di mana dokumen-dokumen tersebut mesti mempunyai maklumat yang diperlukan.

13. Selepas itu, maklumat-maklumat ini perlu disahkan sekali lagi oleh pihak ketiga agar ianya memang sah benar dan tepat. Kemudian, maklumat-maklumat ini harus dikongsi bersama-sama dengan PBT, Ahli-ahli Majlis, wakil-wakil rakyat dan penduduk-penduduk sejajar dengan prinsip ketelusan.

14. Bagi projek pembinaan lebuhraya, saya meminta kerajaan negeri juga mengambil langkah-langkah proaktif untuk diberi segala dokumen berkaitan dengan konsesi tol lebuhraya, termasuk perjanjian konsesi dan perjanjian-perjanjian pinjam bank sekali supaya kerajaan boleh menilai kesesuaian projek serta impaknya terhadap rakyat.

15. Sebagai contoh, mengikut laporan media, kerajaan persekutuan baru menandatangani dua perjanjian konsesi berjumlah RM 11.5 bilion dengan Syarikat Prolintas, iaitu sebuah anak syarikat di bawah Permodalan Nasional Berhad (PNB) untuk membina Lebuhraya Bertingkat Damansara – Shah Alam (DASH) sebanyak RM 5.06 bilion dan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi – Ulu Kelang (SUKE) bernilai RM 5.44 bilion.

16. Di bawah perjanjian konsesi ini, kedua-dua lebuhraya ini akan dibina mengikut konsep Build-Operate-Transfer (BOT) sekaligus menjadikan Prolintas sebagai pemegang konsesi lebuhraya bertol kedua terbesar di Malaysia.

17. Walaunpun kerja-kerja pengambilan tanah tengah berjalan, Prolintas perlu memenuhi dua prasyarat yang penting sebelum kerja-kerja pembinaan boleh bermula, iaitu sama ada syarikat Prolintas mempunyai kekuatan teknikal dan kewangan yang mencukupi untuk melaksanakan projek ini dan kedua Prolintas perlu menyiapkan laporan perbincangan dengan orang awam berkenaan dengan kedua-dua projek ini. Kementerian Kerja Raya akan menubuhkan sebuah jawatankuasa penilaian untuk menilai sama ada Prolintas memenuhi kedua-dua syarat di atas.

18. Rakyat ingin bertanya, mengapakah kerajaan persekutuan menandatangani perjanjian konsesi lebuhraya dengan Prolintas sekiranya penilaian terhadap kekuatan teknikal dan kewangan Prolintas masih belum dinilai sepenuhnya?

19. Telah dilaporkan dalam media bahawa kerja-kerja pengambilan tanah telah berjalan. Bagaimanakah Prolintas boleh menjalankan proses pengambilan tanah tanpa melalui kerajaan negeri? Apakah peranan yang boleh dimainkan oleh kerajaan negeri dalam perkara ini?

20. Telah disebut bahawa sebuah jawatankuasa penilaian akan ditubuhkan oleh Kementerian Kerja Raya. Adakah kerajaan negeri diwakili dalam jawatankuasa ini? Bagaimanakah jawatankuasa ini berfungsi? Sekiranya tiada maklumat terhadap dengan soalan-soalan ini, maka ini bermakna dasar kerajaan persekutuan adalah tidak telus dan kerajaan negeri harus menegur.

21. Kampung Tunku amat bimbang dengan budaya kerja yang tidak telus ini, lebih-lebih banyak projek-projek infrastruktur ini akan berlaku di bumi Selangor dan memberi kesan yang langsung terhadap kehidupan rakyat Selangor. Maka Kampung Tunku mohon perhatian kerajaan negeri dalam isu ini dan saya mohon mengusul.

YB Lau Weng San
ADUN Kampung Tunku

No comments: