Friday, June 06, 2014

Adakah negara ini ditubuhkan atas asas Raja Perlembagaan atau Raja Mutlak?

Saya terkejut dan prihatin dengan berita bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor akan membawa satu Rang Undang-undang yang akan memberi kuasa Eksekutif kepada DYMM Sultan Johor untuk bacaan pertama di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada hari Isnin depan.

Rang Undang-undang yang bernama Rang Undang-undang Enakmen Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor 2014 ini akan memberi kuasa kepada Baginda untuk membentuk satu lembaga perumahan dan hartanah yang memberi kuasa kepada Sultan untuk melantik ahli lembaga, menetapkan ganjaran atau elaun ahli lembaga, menyelia akaun dan juga untuk membubar lembaga tersebut.

Soalan yang perlu dijawab ialah: Adakah negara kita mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan (Constitutional Monarch) atau sistem Raja Mutlak (Absolute Monarch)?

Tertakluk kepada Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri atau Perlembagaan Neger Johor, soalan ini akan menyentuh Doktrin Struktur Asas dalam Perlembagaan Johor. Ini adalah kerana Malaysia mengamalkan system Raja Berperlembagaan bukan sahaja di peringkat Persekutuan tetapi di peringkat negeri.

Walaupun kuasa eksekutif, kehakiman dan perundangan perlu diasingkan antara satu sama lain di bawah doktrin pengasingan kuasa dan walaupun Raja-raja merupakan sumber kuasa kepada ketiga-tiga kuasa ini, tetapi Raja-raja tidak menjalankan fungsi kuasa ini. Sebaliknya, Raja-raja hanya melantik mereka yang berkelayakan mengikut takrifan Perlembagaan untuk mengisi jawatan dalam ketiga-tiga kuasa.

Contohnya, Raja memilih calon yang pada pendapatnya meraih sokongan majority Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri masing-masing untuk dilantik sebagai Perdana Menteri di peringkat Persekutuan atau Menteri Besar/Ketua Menteri di peringkat Negeri. Raja melantik Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi atas nasihat Perdana Menteri dan Ketua Hakim Negara. Rakyat memilih wakil rakyat ke dalam Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri yang seterusnya melantik seorang Speaker untuk menjalankan kuasa perundangan bagi pihak Raja.

Inilah beberapa illustrasi ringkas menunjukkan biarpun kuasa ada pada Raja tetapi ianya hanya boleh dijalankan oleh orang berkelayakan yang akan dilantik baginda. Demikianlah cara Sistem Raja Berperlembagaan berjalan.

Ia berlainan dengan Sistem Raja Mutlak, yang tidak susah difahami di mana Raja akan memegang dan melaksanakan semua kuasa, seperti pada masa silam.

Bagi saya, kesesuaian Sistem Raja Mutlak ialah sistem yang tidak seiringan dengan peredaran zaman kini. Cadangan memberi kuasa kepada Raja untuk terlibat dalam urusan pentadbiran kerajaan pastinya akan menjejaskan kerangka Struktur Asas Perlembagaan kita dan akan mengubah sama sekali ciri-ciri Raja Berperlembagaan yang telah diamalkan sejak kemerdekaan lagi.

Saya berharap Kerajaan Negeri Johor akan mempertimbangkan pembentangan RUU Enakmen ini semasak-masaknya.

Lau Weng San刘永山

No comments: