Wednesday, June 04, 2014

JAIS Perlu Memberi Penjelasan Dan Maklumat Sepenuhnya Terhadap Serbuannya Majlis Perkahwinan Pada Ahad Lalu Di Kampung Tunku

Saya telah menulis kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk mendapat penjelasan berkenaan dengan serbuan yang dijalankan oleh JAIS terhadap sebuah majlis perkahwinan agama Hindu dan penahanan seorang pengantin perempuan Hindu yang dipercayai beragama Islam.

Peristiwa yang berlaku pada hari Ahad merupakan satu peristiwa yang berlaku di kawasan DUN Kampung Tunku. Saya difahamkan oleh media bahawa pengantin lelaki merupakan penduduk di rumah pangsa kos rendah Taman Sri Aman.

Beberapa fakta daripada laporan akhbar tersebut perlu dihuraikan semula di sini, iaitu pengantin wanita yang dimaksudkan itu bernama Zarinah binti Abdul Majid yang berusia 32 tahun. Zarinah merupakan anak perempuan kepada bapa yang telah bercerai dengan emaknya sejak 25 tahun yang lalu. Status agama ibunya ialah Hindu dan Zarinah hidup bersama-sama dengan ibu dan adik-beradiknya mengikut corak kehidupan agama Hindu.

Zarinah mengenalpasti masalah identitinya dan pernah ke Jabatan Pendaftaran Negara untuk menukar status agama di MyKad pada 2007 lalu, namun tidak dibenarkan kerana tidak ada tandatangan bapa. Wanita itu dipercayai membuat permohonan kali kedua April lalu. Beliau difahamkan telah menghabiskan beberapa ribu ringgit sebagai bayaran guaman untuk menyelesaikan masalah ini tetapi tidak berjaya.

Zarinah juga dilaporkan komited terhadap agama Hindu dan masih tidak berputus asa dan ingin mencuba memperbetulkan status agamanya dalam kad pengenalannya. Untuk kebahagiaannya, beliau telah memutuskan untuk menjalankan majlis perkahwinan dengan bakal suaminya demi mendirikan rumah tangga mereka.

Terdapat beberapa permohonan keluar agama Islam yang telah diputuskan oleh mahkamah syariah dan mahkamah sivil kebelakangan ini di mana mahkamah membenarkan permohonan pemohon yang memang tiada niat untuk memeluk agama Islam atau tidak mengikuti prosidur pemelukan agama Islam yang betul, seperti tidak menyebut doa kalimah syahadah (lafaz untuk memeluk Islam) dan sebagainya.

Mahkamah Rayuan Syariah Pulau Pinang pada tahun 2009 telah mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang dan menolak rayuan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang yang mengisytiharkan Siti Fatimah Tan Abdullah @ Tan Ean Huang, 39, sebagai bukan lagi seorang Islam pada Mei 2008.

Mahkamah Tinggi Ipoh baru-baru ini telah membuat keputusan yang bersifat landmark terhadap status agama anak-anak M. Indira Gandhi yang telah ditukar daripada agama Hindu kepada agama Islam oleh bapanya yang telah memeluk agama Islam secara unilateral.

Hakim Mahkamah Tinggi YA Lee Swee Seng memutuskan bahawa anak-anak Indira tidak pernah ditukar kerana ‘doa kalimah syahadah (lafaz untuk memeluk Islam) tidak dilakukan ke atas mereka dan oleh itu, tindakan sedemikian tidak mengikut perlembagaan.

Saya juga prihatin dengan kelewatan Jabatan Pendaftaran Negara untuk membantu Zarinah untuk menyelesaikan masalah ini sehingga tujuh tahun. Saya akan melawat ke rumah Zarinah pada petang ini untuk memahami keadaan sebenar.

Lau Weng San刘永山
Post a Comment