Friday, June 27, 2014

LLM harus bekerjasama dengan Kerajaan Selangor dan PBT di Lembah Klang untuk menjalankan kajian yang lebih menyeluruh tentang keperluan lebuhraya-lebuhraya baru di Lembah Klang

Saya mengalu-alukan keputusan kerajaan Selangor untuk mengumumkan kertas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 8 Februari 2012 tentang cadangan membina Lebuhraya Kinrara – Damansara oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia dan Konsortium Zabima – Emrail kepada orang ramai tentang keputusan dan pendirian kerajaan Selangor yang dibuat pada masa itu.

Sememangnya ini adalah berlandaskan kepada sebuah usul yang dibawa saya ke DUN Selangor pada 2 Disember 2013 yang lalu di mana usul ini juga diterima oleh DUN Selangor. Usul ini adalah berbunyi seperti berikut:
“Bahawa Dewan Yang Mulia ini sejajar dengan prinsip ketelusan, meminta Kerajaan Selangor supaya sentiasa memberi maklumat terkini tentang semua projek infrastruktur Kerajaan Persekutuan dengan sepenuhnya kepada rakyat dan Dewan Yang Mulia ini.”
Maklumat yang sempat saya mengumpulkan daripada media menunjukkan kerajaan persekutuan bercadang untuk membina sekurang-kurangnya sepuluh buah lagi projek yang melibatkan pengangkutan dalam masa lima tahun yang akan dating. Sebahagian besar daripada projek ini ialah projek pembinaan lebuhraya dan selebihnya ialah projek pembinaan MRT dan LRT di Lembah Klang. Senarainya adalah seperti berikut:

1. Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi – Ulu Kelang (SUKE)
2. Lebuhraya Bertingkat Damansara – Shah Alam (DASH)
3. Lebuhraya Kinrara – Damansara (KIDEX)
4. Lebuhraya Pantai Barat (Taiping – Banting)
5. Kuala Lumpur Outer Ring Road (KLORR) (Templer Park – Sungai Long)
6. Lebuhraya KL Arah Serendah (KLAS) (Kuala Lumpur – Serendah)
7. Lebuhraya Paroi – Senawang – KLIA (PSKE)
8. Lebuhraya Serdang – Kinrara – Putrajaya (SKIP)
9. Lebuhraya Port Dickson – Banting (PDBE)
10. Projek MRT Kedua Lembah Klang (KV-MRT2)
11. Projek MRT Ketiga Lembah Klang (KV-MRT3)

Semalam, kerajaan Selangor telah dimaklumkan oleh LLM bahawa Lebuhraya Kidex bukan sebuah lebuhraya tersendiri sahaja tetapi akan dihubungi dengan beberapa buah lebuhraya-lebuhraya baru yang akan dibina kemudiaan. Antara lebuhraya baru yang disebut ialah lebuhraya SKIP, iaitu Lebuhraya Sedang – Kinrara – Putrajaya.

LLM juga memaklumkan bahawa berdasarkan analisa mereka Koridor Lebuhraya Lingkaran Tengah (MRRII) memerlukan 10 lebuhraya baru, Koridor Utara memerlukan 5 lebuhraya baru sementara Koridor Selatan memerlukan 4 lebuhraya baru pada 2020. Analisa ini mengambil kira sistem pengangkutan awam sedia ada dan dalam perancangan.

LLM juga mengatakan bahawa pengangkutan awam, jalan raya dan lebuh raya perlu dirancang bersama untuk melengkapi antara sama lain bagi menyokong keperluan pembangunan baru di Negeri Selangor.

Soalan yang tertimbul ialah:

1. Adakah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telah/akan menjalankan kajian yang lebih menyeluruh untuk menjustifikasikan keperluan membina lebih banyak lebuhraya di Lembah Klang? Jika ya, bagaimanakah kajian ini telah/akan dijalankan? Bagaimanakah kerajaan Selangor dan PBT di Selangor boleh melibatkan diri dalam kajian ini?

2. Adakah kajian yang sama akan juga melibatkan Jabatan Kerja Raya, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Syarikat Prasarana Negara Berhad (SPNB) supaya jabatan-jabatan ini boleh member input dalam aspek pengangkutan awam? Memandangkan bahawa cadangan pembinaan lebuhraya-lebuhraya ini telahpun mengambil kira aspek pengangkutan awam, bolehkah laporan-laporan berkenaan dibentangkan juga kepada orang ramai?

3. Siapakan juru perunding trafik yang membantu LLM menyediakan laporan-laporan ini? Bagaimanakah juru perunding trafik ini dilantik? Apakah “jadual waktu” LLM dalam membina kesemua lebuhraya-lebuhraya yang dicadangkan di atas?

Rakyat negeri Selangor, khususnya rakyat Petaling Jaya perlu diyakinkan bahawa kesemua maklumat di atas adalah lengkap sebelum mereka mengubah pendirian mereka.

Pada masa yang sama, saya difahamkan bahawa Syarikat Konsesi Lebuhraya EKVE tidak menghadiri mesyuarat dengan rakyat semalam walaupun telah dijemput. Saya berasa kesal dengan ketidakhadiran syarikat berkenaan kerana rakyat yang membantah pembinaan lebuhraya berkenaan tidak berpeluang untuk mendapat maklumat terkini dan terperinci daripada syarikat konsesi.

Sekiranya ini ialah sikap syarikat konsesi yang dipilih LLM untuk membina projek ini, maka saya meminta agar Kerajaan Selangor mempertimbangkan semula keputusan awalnya.

Hakikatnya ialah, biarpun benar lebuhraya-lebuhraya baru perlu dibina untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di Lembah Klang, elemen pengangkutan awam seperti MRT, LRT, BRT dan lain-lain perlu diberi fokus yang lebih berat kerana pembinaan lebuhraya yang lebih banyak secara tidak langsung akan mendorong orang ramai untuk terus bergantung kepada kenderaan peribadi dalam kehidupan harian mereka.

Lau Weng San刘永山
lauwengsan@gmail.com
Post a Comment