Tuesday, November 25, 2014

Ucapan Perbahasan Belanjawan 2015 Di Peringkat Bacaan Kedua Peringkat Dasar oleh ADUN Kampung Tunku Lau Weng San pada 25 November 2014 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam


1. Ucapan belanjawan tahun 2015 yang dibentangkan oleh Menteri Besar semalam menepati satu dasar yang pernah dicadangkan oleh Dr Sun Yat-Sen 120 tahun yang lalu: “人盡其才,地盡其利,物盡其用,貨暢其流” (ren jin qi cai, di jin qi li, wu jin qi yong, huo cang qi liu) yang bermaksud “mencungkil bakat dan modal insan, mengoptimumkan kegunaan tanah, memaksimumkan kegunaan sumber semula jadi dan melicinkan perdagangan”

2. Dewan Negeri Selangor perlu menjadi dewan perundangan bertaraf dunia. Untuk ini berlaku, Dewan Negeri Selangor perlu diberi autonomi kewangan terlebih dahulu supaya ianya bebas daripada pengaruh Eksekutif sepenuhnya. Autonomi kewangan tidak bermaksud Dewan Negeri Selangor tidak tertakluk kepada mana-mana pemantauan. Jawatankuasa Pengurusan Dewan yang ditubuhkan pada tahun 2013 boleh memantau semua perbelanjaan Dewan Negeri dan memastikan setiap satu sen dibelanja dengan berhemah.

3. Hal ini sedemikian kerana birokrasi yang berlebihan akan membantut usaha Dewan Negeri Selangor dan semua Jawatankuasa Pilihan di bawahnya daripada memainkan peranan yang lebih penting dalam pemantauan perjalanan kerajaan. Contohnya, Jawatankuasa Pilihan memerlukan peruntukan untuk menjalankan kursus dan lawatan. Kedua-duanya adalah penting dalam untuk membantu mempertingkatan pengetahuan dan kemahiran ahli jawatankuasa-jawatankuasa pilihan dalam memantau Eksekutif .

4. Kedua, pentadbiran Dewan Negeri Selangor perlu dirombak di mana ianya mesti dipisahkan daripada pentadbiran Kerajaan sejajar dengan prinsip pengasingan kuasa. Perkara ini telah banyak kali disebut dalam sidang Dewan yang lepas melalui satu cadangan untuk membentangkan satu rang undang-undang yang bernama Rang Undang-undang Enakmen Perkhidmatan Dewan Negeri Selangor atau Selangor State Legislative Assembly Service Enactment Bill (SELESA). Biarpun begitu, ianya mash belum berlaku sehingga sekarang. Oleh itu, adalah amat penting untuk pihak Kerajaan memaklumkan kepada Dewan tentang kedudukan terkini semasa menggulung nanti.

5. Ketiga, saya memohon kepada Menteri Besar, bahawa memandangkan perjalanan dan urusan Dewan kita semakin rancak dan aktif, maka ada keperluan untuk diwujudkan seorang lagi Timbalan Speaker untuk meringankan tugas Speaker dan Timbalan Speaker yang sedia ada.

6. Saya setuju dengan dasar Kerajaan untuk memberi peruntukan kawasan kepada wakil rakyat pembangkang. Saya berharap mereka akan menggunakan peruntukan ini sebaik-baiknya untuk rakyat di kawasan masing-masing. Walaupun begitu, kami difahamkan bahawa para ADUN BN tidak berminat, maka saya cadang kerajaan tetap memperuntukkan wang ini kepada Pejabat Tanah dan Daerah di kawasan mereka dan sekiranya ianya tidak digunakan, maka ianya dikumpulkan dan digunakan untuk rakyat.

7. Dasar Kerajaan untuk sedia bekerjasama dengan Badan Bukan Kerajaan atau NGO mesti diterjemah kepada tindakan konkrit. Saya mencadangkan agar badan-badan NGO diberi peluang untuk menyewa premis pejabat milik anak-anak syarikat kerajaan yang lama kosong dengan sewa yang rendah bergantung kepada kemampuan masing-masing.

8. Kali terakhir Kerajaan mewajibkan pengiystiharan aset EXCO adalah pada tahun 2010. Maka sekarang sudah tiba masanya untuk perkara ini dilakukan sekali. Maka saya mencadang agar kali ini perkara ini turut melibuti semua ADUN. Juga Saya mencadangkan agar ianya diinstitusikan melalui peruntukan undang-undang dan dilakukan setiap tahun di bawah satu prosidur audit yang standard.

9. Tanah ialah aset terpenting untuk sesebuah kerajaan negeri. Sun Yat-Sen pernah berkata “地盡其利”, iaitu tanah harus digunakan sebaik mungkin untuk kebaikan rakyat dan negara. Kebiasaannya, sesebuah pemaju perlu menyerah balik mana-mana tanah rizab kepada kerajaan selepas siapnya sesuatu projek pemajuan. Walaupun begitu, terdapat pemaju yang gagal berbuat demikian dan kerajaan juga bersambil lewa pada zaman silam. Kini tanah-tanah berhakmilik ini masih berada di tangan pemaju, pemilik asal atau telah bertukar tangan dan keadaan tanah-tanah ini pada sekarang kebanyakannya masih terbiar. Maka saya menggesa Kerajaan untuk bertindak proaktif mengenalpasti tanah-tanah sedemikian di semua DUN, supaya Kerajaan boleh membuat perancangan bagaimana tanah-tanah ini boleh diambil balik untuk kebaikan rakyat.

10. Saya juga dimaklumkan bahawa sebuah tabung amanah untuk tanah perkuburan telah diwujudkan oleh kerajaan negeri. Sejak beberapa tahun yang lalu, kerajaan telah menetapkan agar semua permohonan lanjutan tempoh hakmilik dan pemberimilikan tanah telah dikenakan caruman perkuburan yang akan disalurkan ke dalam tabung amanah ini. Maka saya menggesa Kerajaan untuk memaklumkan kepada Dewan Yang Mulia ini berapa banyak caruman yang telah diterima oleh tabung amanah ini? Bagaimana tabung amanah ini telah digunakan untuk tujuan pemeliharaan tanah perkuburan dan apakah status terkini pembangunan tanah-tanah perkuburan bersepadu di Selangor?

11. Dalam perbahasan sidang DUN setahun yang lalu, satu usul telah diluluskan di Dewan Negeri Selangor yang menetapkan bahawa Kerajaan akan “sentiasa memberi maklumat terkini tentang semua projek infrastruktur Kerajaan Persekutuan dengan sepenuhnya kepada rakyat dan Dewan Yang Mulia ini.” Saya menyanjung tinggi pendirian yang diambil oleh Kerajaan dalam menangani isu KIDEX. Walaupun begitu, Kerajaan harus mengambil maklum bahawa terdapat bantahan juga untuk pembinaan beberapa lebuhraya di Selangor dan ianya memerlukan perhatian dan pendekatan yang sama daripada Kerajaan. Antaranya ialah Lebuhraya Damansara-Shah Alam (yang akan melintasi kawasan perumahan padat), Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi – Ulu Kelang (SUKE) dan Kuala Lumpur Outer Ring Road (KLORR) (Templer Park – Sungai Long) yang dikatakan akan melalui kawasan sensitif alam sekitar. Maka saya menggesa agar Kerajaan memberi makluman di Dewan Yang Mulia ini tentang pembinaan lebuhraya-lebuhraya ini. Apakah perkembangan dan status terkini?

12. Selangor menyumbang 23% kepada KDNK Malaysia dan atas semangat Persekutuan, kami selalu menyeru Kerajaan Persekutuan untuk menurunkan lebih banyak kuasa kepada Selangor. Atas semangat yang sama juga, saya berpendapat bahawa kini sudah sampai masanya untuk pihak Kerajaan menyediakan satu peruntukan khas untuk Program Malaysiaku bagi membantu rakyat-rakyat termiskin di negeri Sabah, Sarawak dan negeri-negeri yang lain di Semenanjung Malaysia melalui program dan projek kecil-kecilan. Peruntukan ini, tertakluk kepada kemampunan Kerajaan, juga boleh digunakan untuk membantu rakyat Sabah dan Sarawak miskin dan yang bergelandangan di Selangor dan Kuala Lumpur

13. Dewan Negeri Selangor digempurkan dengan siasatan Selcat beberapa tahun yang lalu tentang pembelian 12 unit apartment Al-Marwa Tower di Mekah, Arab Saudi yang melibatkan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dan mantan Menteri Besar, Dr Khir Toyo. Daripada 12 unit apartmen ini, lima masih berada di tangan PNSB. Saya ingin bertanya kepada Kerajaan apa akan dilakukan kepada kelima-lima unit apartment yang masih ada? Sekiranya PNSB masih tidak dapat menjana apa-apa pulangan daripada kelima-lima unit ini, maka saya bercadang agar kelima-limanya dijual di pasaran terbuka melalui lelong awam.

14. Saya juga ingin menyentuh tentang susunan portfolio di Kerajaan di mana beberapa portfolio yang bertindih harus diringkaskan dan digabung di bawah seorang EXCO sahaja untuk melicinkan pentadbiran. Contohnya: Portfolio Pembangunan Usahawan harus bergabung dengan Portfolio Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Portfolio Kebajikan harus bergabung dengan Portfolio Kerajaan Prihatin. Sementara itu, Kerajaan harus memikirkan sama ada Portfolio Pekerja Ladang harus ditukar nama kerana majoriti pekerja-pekerja ladang dan estet di Selangor ialah pekerja asing dan bukan lagi rakyat Malaysia berketurunan India. Ini menjadikan portfolio yang diwujudkan sejak zaman kerajaan Barisan Nasional lagi tidak sesuai dengan keperluan semasa. Maka dengan itu, ada baiknya bagi kerajaan Pakatan Rakyat yang bersikap reformis untuk melihat kembali penyusunan semula portfolio ini atas sebab-sebab yang dikemukakan di atas.

No comments: