Wednesday, November 09, 2016

ADUN BN tidak perlu “self-victimise” kerana usul ADUN penyokong kerajaan juga ditolak

Kenyataan Media ADUN DAP Kawasan Kampung Tunku, Selangor, Lau Weng San pada 9 November 2016 di Petaling Jaya:

Semalam beberapa orang ADUN pembangkang daripada BN Selangor mendakwa bahawa mereka kesal di mana dua usul yang dihantar mereka ditolak oleh Speaker Dewan Negeri Selangor, YB Hannah Yeoh Tseow Suan.

Usul pertama dihantar oleh ADUN Permatang, Datuk Sulaiman Abdul Razak berkaitan permerkasaan institusi Mahkamah Syariah di Selangor di bawah Peraturan Tetap 26(1). 

Usul kedua ialah usul tergempar di bawah Peraturan Tetap 17(1) yang dihantar oleh ADUN Sungai Burung Datuk Shamsudin Lias berkaitan dengan harga pengambilan Syarikat Pengeluar Air Selangor (Splash).

Menurut laporan Bernama, usul pertama ditolak atas beberapa sebab, iaitu institusi mahkamah syariah adalah di bawah sayap kehakiman dan tidak tertakluk di bawah bidang kuasa legislatif.

Untuk usul kedua oleh ADUN Sungai Burung, ianya merupakan usul tergempar yang perlu memenuhi ketiga-tiga syarat yang ditetapkan dalam Peraturan Tetap 17(1) iaitu perkara yang dibangkitkan mestilah perkara tertentu, berkenaan kepentingan orang ramai dan berkehendak disegerakan. 

Cara penghantaran usul tergempar juga diterangkan di bawah Peraturan Tetap 17(2). Antaranya ialah pemberitahu usul tersebut hendak dihantar kepada Speaker dalam masa tidak kurang daripada 24 jam (tidak termasuk hari kelepasan).

Selan itu, satu penerangan bertulis yang tidak melebihi 300 patah perkataan juga perlu disertakan untuk menerangkan  mengapa perkara itu ialah perkara tertentu, berkehendak disegerakan dan berkenaan kepentingan orang ramai.

Mengikut laporan Bernama, usul kedua ADUN Sungai Burung ditolak kerana pemberitahu usul dihantar kepada Setiausaha Dewan dan bukan Speaker seperti yang disyaratkan dalam Peraturan-Peraturan Tetap. 

Selain itu, perkara berkenaan dengan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Selangor masih dalam perbincangan dan Dato’ Menteri Besar telah memberi penerangan yang panjang dalam sesi perbahasan Belanjawan 2017. Perkara ini juga dibangkitkan dalam beberapa soalan-soalan lisan yang dikemukakan oleh ADUN-ADUN.

Usul saya tentang kematian di tapak pembinaan WCE di Meru juga ditolak

Sememangnya tiada alasan untuk kedua-dua orang ADUN BN ini mengadu kepada media seolah-olah mereka dimangsakan kerana Speaker telah bertindak adil dan saksama serta berlandaskan kepada peruntukan dalam Peraturan-Peraturan Tetap, memandangkan usul tergempar saya di bawah Peraturan Tetap 17(1) yang dihantar pada 7 Nov 2016 juga ditolak Speaker. (Sila rujuk Lampiran 1)


Tajuk usul ini berbunyi “Bahawa di bawah Peraturan Mesyuarat 17(1), Dewan ini memberi laluan kepada Yang Berhormat ADUN Kampung Tunku untuk membawa satu usul berkenaan perkara tertentu, berkepentingan orang ramai dan berkehendak disegerakan, iaitu: Kerajaan Perlu Mengamalkan Dasar Toleransi Sifar Terhadap Kematian Pekerjaan Di Tapak Pembinaan.”


Saya membangkitkan usul tergempar ini kerana kes kematian di tapak pembinaan yang semakin serious dan kerap. Pada pendapat saya memerlukan campur tangan dan tindakan serta dasar yang lebih drastik daripada kerajaan untuk mengatasi masalah ini.

Walaupun maklumbalas Puan Speaker tidak menafikan bahawa perkara ini memenuhi ketiga-tiga syarat yang diperlukan, tetapi usul ini ditolak di bawah Peraturan Tetap 66 yang memperjelaskan proses dan tempoh masa yang harus dipatuhi dalam pembahasan Rang Undang-undang Perbekalan di semua peringkat di mana usul tergempar saya dikhuatiri akan mengganggu tempoh perjalanan Aturan Urusan Mesyuarat yang memerlukan Belanjawan 2017 diluluskan dalam tempoh masa yang ditetapkan.

ADUN-ADUN BN tidak harus menggunakan penolakan usul untuk meminta sedekah belas kasihan

Saya akur kepada keputusan Speaker ini. Maka dengan itu, ADUN Pembangkang daripada BN tidak harus menggunakan penolakan kedua-dua usul ini sebagai pentas untuk menyedekah belas kasihan daripada orang ramai dan perhatian media, khususnya ADUN Permatang yang pada pendapat saya tidak ikhlas dan cuba menggunakan isu mahkamah syariah untuk mencari publisiti murahan.

Sememangnya institusi Mahkamah Syariah di Selangor berada pada landasan yang tepat kerana 

1. berasaskan jawapan yang diberi soalan ke-322 (oleh ADUN Sekinchan - Ng Suee Lim – DAP) pada sidang Dewan November 2015, statistik kes mal dan jenayah yang masih dalam perbicaraan pada tahun 2012 dan 2013 amat rendah, iaitu, 5.7% dan 7.2% masing-masing. (Sila rujuk Lampiran 2),
2. institusi perundangan dan organisasi Mahkamah Syariah telah diperkukuhkan, khususnya melalui pindaan terhadap Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor) yang telah diwartakan pada 13 Mei 2015.
3. Dari segi kekosongan kakitangan, sehingga ke masa soalan dijawab, hanya terdapa 11 kekosongan yang belum diisi dan ini bukan satu keadaan yang serious. (Sila rujuk Lampiran 2).

Sekiranya ADUN Pembangkang daripada BN, khususnya ADUN Permatang ikhlas memartabatkan institusi Mahkamah Syariah di Selangor, maka mengapakah beliau tidak mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam pada 7 April 2015?

Merujuk kepada minit mesyuarat sidang Dewan pada hari berkenaan, hanya dua orang ADUN sahaja yang mengambil bahagian dalam perbahasan RUU tersebut, iaitu YB Saari Sungib (ADUN Hulu Kelang) dan YB Khairuddin Othman (ADUN Paya Jeras). Di manakah ADUN Pembangkang daripada BN pada masa itu, jikalau mereka begitu prihatin dengan pemerkasaan institusi Mahkamah Syariah? Adakah benar Enakmen ini perlu dipinda lagi sedangkan pindaan terhadap Enakmen asal telah dibuat pada tahun lalu? Saya berharap agar ADUN Pembangkang daripada BN tidak memperalatkan institusi Mahkamah Syariah untuk kepentingan politik. (Sila rujuk Lampiran 3)

Seterusnya, jika ADUN Pembangkang daripada BN masih hendak membahas isu berkaitan institusi Mahkamah Syariah, mereka juga boleh mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan 2017 di bawah kepada “B27 Jabatan Kehakiam Syariah Negeri Selangor”. Adakah mereka telah berbuat demikian?

Selain itu, isu ini telah ditanya oleh ADUN BN dari Hulu Bernam, Datuk Rosni Sohar di mana beliau telah bertanya pada Mac 2016 berkenaan Bantuan Sokongan Keluarga. Saya yakin Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor telah membekalkan jawapan yang sewajarnya. 

Lebih-lebih lagi, ADUN BN dari Sungai Air Tawar, Kamarol Zaki Abdul Malik juga ada membangkitkan isu yang sama dalam soalan lisannya ke-285 dalam sidang Dewan ini. ADUN-ADUN BN boleh bertanya soalan tambahan sekiranya soalan ini sempat dijawab. Apapun sekali, saya yakin jawapan bertulis tetap akan diberi kepada ADUN Sungai Air Tawar. (Sila rujuk Lampiran 4)

Dengan itu, saya ingin menyeru ADUN pembangkang daripada BN untuk tidak menggunakan taktik “self-victimisation” atau pemangsaan sendiri untuk menarik perhatian media dan orang ramai.

Lau Weng San
ADUN Kampung Tunku

No comments: