Wednesday, November 02, 2016

Ucapan perbahasan oleh ADUN Kampung Tunku Lau Weng San tentang Rang Undang-undang Enakmen Perbekalan 2017 pada 1 November 2016 di Shah Alam

Ucapan perbahasan oleh ADUN Kampung Tunku Lau Weng San tentang Rang Undang-undang Enakmen Perbekalan 2017 pada 1 November 2016 di Shah Alam:


1. Sama seperti ucapan Menteri Kewangan beberapa minggu yang lalu, ucapan Dato’ Menteri Besar semalam menggunakan masa lebih kurang dua jam untuk disampaikan. Walaupun begitu, Belanjawan Selangor pada keseluruhannya jauh lebih ke depan berbanding Belanjawan Persekutuan. Pendekatan yang diambil oleh Kerajaan Pakatan Harapan Selangor lebih menyeluruh, bersifat konstruktif dan mendekati realiti, bahkan peruntukan pembangunan sehingga mencecah 52 peratus barangkali pertama dalam sejarah. 

2. Mengungkap kata-kata Pericles dalam drama “Pericles, Prince of Tyre” oleh William Shakespeare: “Tis time to fear when tyrants seem to kiss”. Ucapan belanjawan Menteri Kewangan dengan nada dan intonasi yang berfoya-foya bukan petanda baik. Selain daripada “nasi lemak anak dara” dan “uber”, apa lagi yang kita boleh ingat ucapan Menteri Kewangan masa itu? 

3. Semalam, para ADUN pembangkang membawa playcard bahawa mereka tidak keluar Dewan kerana menghormati mandat rakyat. Memang tiada alasan untuk mereka keluar kerana belanjawan ini dibentangkan oleh sebuah kerajaan yang menghormati lunas-lunas demokrasi. Lain pula ceritanya di Dewan Rakyat kerana ia datang daripada sebuah kerajaan autokrat yang dipimpin kleptokrat.

4. Kalau dahulu Allahyarham Tunku Abdul Rahman dinobatkan sebagai Bapa Kemerdekaan, Allahyarham Tun Abdul Razak sebagai Bapa Pembangunan Malaysia, Allahyarham Tun Hussein Onn sebagai Bapa Perpaduan Malaysia, Tun Dr Mahathir sebagai Bapa Permodenan Malaysia, Tun Abdullah Badawi sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan Malaysia, maka sesuai juga kalau sejarahwan mengingati Datuk Seri Najib Razak sebagai Bapa “Kleptokrasi” Malaysia sebagai mengingati jasa-jasanya membangunkan ekonomi British Virgin Island, Seychelles dan sebagainya.

5. Kamus Dewan seawal edisi ketiga cetakan tahun 1994 sudah memasukkan perkataan “kleptomania” ke dalamnya yang bermaksud “tabiat suka mencuri”. Tan Sri Musa Hitam dalam bukunya “Frankly Speaking” menulis “currently, I see the country [is] heading in the direction of the failed state scenario” (rujuk mukasurat 362). Mantan Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Lin See-Yan pernah berkata secara terbuka dalam satu forum anjuran Rehda pada Ogos 2016 bahawa masalah rasuah politik ialah punca sebenar Ringgit Malaysia menyusut nilai. Apakah maksud percakapan tokoh-tokoh ini? 

6. Tuan Speaker, saya sedih dan kesal atas pemergian Allahyarham Mohd Shukri Saad, seorang peniaga kedai runcit berumur 38 tahun dari Pulau Pinang. Allahyarham memilih untuk menamatkan hayatnya kerana tidak dapat menanggung tekanan mental dan ekonomi serta pandangan serong masyarakat terhadap banduan penjara kerana menjual rokok seludup. 

7. Confucious pernah berkata: “Tyranny is fiercer than tigers”. Ini ialah apa yang sedang berlaku di Malaysia. Di samping saya menyeru kerajaan menyediakan bantuan untuk kesihatan mental rakyat yang semakin tertekan, saya amat berharap agar Belanjawan ini memberi harapan kepada rakyat Malaysia yang sekarang hidup dalam kegelapan agar tidak berputus asa dan terus menyokong Pakatan Harapan.

8. Tahniah diucapkan kepada Ahli Parlimen Sungai Besar yang berada di Dewan tetapi soalan saya, tidakkah kamu berasa kurang selesa apabila bergambar bersama-sama kleptokrat terbesar negara semasa meraikan kemenangan? Sanggupkah kita melihat negara kita ditadbir oleh kleptokrat dan seterusnya menjunam menjadi sebuah negara gagal yang sarat dengan kleptomania? Tepuk dada tanya selera. Jawapannya tidak!

9. Belanjawan Selangor 2017 harus kita raikan kerana ianya bertujuan untuk menangani isu kesenjangan pendapatan, sebagaimana yang dibawa oleh Thomas Piketty melalui bukunya “Capital In The 21st Century”. Belanjawan Selangor juga menepati filasuf John Rawls dalam bukunya “The Theory of Justice” yang meletakkan “distributive justice” sebagai tuntutan keadilan. Lebih penting lagi, Belanjawan ini meletakkan kerajaan Selangor selangkah ke depan untuk merealisasikan hampir kesemua janji manifesto PRU yang lepas.

10. Pada tahun 2008, hasil negeri hanya sekadar RM1,516.34juta, tetapi angka ini naik sehingga ke RM2,527.69juta pada tahun 2015. Rizab kerajaan pada tahun 2008 hanya sekadar RM1,424.67juta. pada tahun 2015, angka ini sudah meningkat ke RM3,258.61juta. Pada tahun 2008, wang tunai kerajaan ialah sebanyak RM733.63juta tetapi angka ini telah merosot ke RM234.95juta pada tahun 2015. Walaupun sebahagian wang tunai ini telah dilaburkan, tetapi saya menggesa Eksekutif untuk memastikan simpanan wang tunai sentiasa mencukupi untuk perbelanjaan luar jangka.

11. Bagaimana dengan belanjawan Persekutuan? Kerajaan Persekutuan pula membentangkan belanjawan defisit buat 20 tahun berturut-turut. Hutang negara berada pada tahap 53.2% daripada KDNK negara, iaitu RM655.7bilion. Ini belum ditambah lagi dengan hutang GLC dan jaminan bon. Wawasan 2020 nampaknya semakin mencabar. Pada waktu 1990-an, kerajaan menjangka pertumbuhan ekonomi perlu dikekalkan pada tahap 8% setahun tetapi ianya sekadar 4~5% sejak kebelakangan ini. 

12. Pada awal Oktober, Bank Dunia buat kali kedua untuk tahun yang sama, menurunkan jangkaan pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi tahun 2016, 2017 dan 2018 sebanyak 0.2%! Alasannya ialah beberapa kelemahan ekonomi Malaysia yang fundamental, antaranya 
a. kebergantungan ekonomi Malaysia yang terlalu banyak terhadap komoditi, 
b. domestic consumption yang rendah akibat pelaksanaan GST, 
c. persepsi negatif para pelabur terhadap skandal 1MDB dan simpanan tunai dalam akaun peribadi Perdana Menteri. 
d. Ini ditambah perit lagi dengan kenaikan harga bahan api dan penarikan subsidi minyak masak sekaligus melemahkan ekonomi Malaysia yang perlu bergantung kepada domestic consumption.

13. Malaysia dan Selangor berpisah tiada. Sementara kita meraikan Belanjawan Selangor yang menyinar di akhir terowong, kita harus beringat bahawa kejayaan Selangor bergantung kepada survival Malaysia. Kejayaan Malaysia pula memerlukan sumbangan daripada setiap satu negeri, khususnya negeri Selangor sebagai negeri yang memberi sumbangan tertinggi kepada KDNK kebangsaan. Selangor tiada mata wang sendiri. Kita mengguna Ringgit Malaysia. Sekiranya Ringgit lemah, maka Selangor tidak akan baik ke mana. 

14. Belanjawan ini dirai kerana ia memberi perlindungan yang lebih menyeluruh, bukan sahaja kepada golongan B40 tetapi golongan M40. Sekiranya tidak, kelas pertengahan (middle-class) akan semakin mengecil sehingga berlaku kesenjangan pendapatan di kalangan masyarakat. Mobiliti masyarakat akan berkurang dan wujudnya sebuah masyarakat yang berbentuk “M” atau “M-shaped society”, seperti apa yang dicadang oleh pakar ekonomi Jepun Kenichi Ohmae.

15. Oleh begitu, adalah penting untuk memastikan Belanjawan Selangor 2017 menepati objektifnya. Berjaya atau gagal sesuatu belanjawan amat bergantung kepada jentera pelaksanaan, yakni kakitangan kerajaan. Dalam ucapan tahun lepas, Eksekutif menyebut tentang “Ex ante accountability”, “concurrent accountability” dan “ex post accountability”, Tiada makna kalau sesuatu projek itu gagal disiapkan pada waktu yang ditetapkan walaupun kerajaan telah menaikkan perbelanjaan pembangunan tahun ini. 

16. Saya bercadang supaya semua Ketua Jabatan, PBT dan Agensi Kerajaan yang terlibat dalam projek-projek infrastruktur untuk menyeranaikan semua projek yang lewat atau behind schedule dalam mesyuarat MMKN yang akan datang. Begitu juga tambahan kos dan masa yang diperlukan untuk menyiapkan projek berkenaan. Saya tidak akan terkejut sekiranya masih ada projek yang tertunggak sampai berbulan-bulan malahan bertahun-tahun. Ini pasti akan menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap kerajaan. Sememangnya, rancangan awal yang rapi, proses pemilihan kontraktor yang telus, pemantauan yang berterusan serta penguatkuasaan yang efektif adalah kunci kepada kejayaan.

17. Justeru itu, saya memohon kepada Dato Menteri Besar untuk menghapuskan mitos penjawat awam ini seperti yang disebut pada 19 September yang lepas dengan mengambil tindakan disiplin terhadap mereka yang gagal menjalankan tugas mereka. Ini ibarat konsep carrot and stick, di mana kerajaan mesti memberi ganjaran yang cukup bagus untuk mereka yang efektif tetapi pada masa yang sama mengambil tindakan disiplin terhadap mereka yang lalai. 

18. Penstrukturan semula industri air perlu dipercepatkan tanpa menggadaikan kepentingan rakyat. Saya sedia maklum bahawa rundingan dengan SPLASH masih diteruskan di mana isu utama masih berkisar kepada harga pengambilan yang paling munasabah. Berita terbaru ialah perkara ini akan diserah kepada pihak jurunilai untuk menentukan harga yang munasabah. Apapun sekali, saya menggesa supaya kerajaan tidak lagi terjerat dengan mitos neo-liberalisme yang terlalu memuja penswastaan.

19. Mengikut buku “The Water Business - Corporations versus People” tulisan Ann-Christin Sjölander Holland, penswastaan dan pengkorporatan selalunya akan mengakitbatkan industri perkhidmatan air bertukar menjadi satu perniagaan yang berasaskan keuntungan, di mana perkhidmatan di kawasan orang miskin akan dilalaikan kerana tidak ada keuntungan besar. Sekiranya syarikat menghadapi masalah, mereka masih memerlukan campur tangan. Air akan dianggap sebagai satu komoditi dan akhirnya, janji bahawa syarikat-syarikat swasta akan “melabur” – selalunya tidak berlaku. Syarikat swasta tidak mengguna dana sendiri tetapi lebih berminat untuk meminjam daripada bank dengan jaminan kerajaan dan faedah yang rendah. Inilah apa yang berlaku apabila syarikat swasta terdahulu di Selangor kurang melabur, menyebabkan aset dan infrastruktur yang diperlukan tidak memadai untuk menangani sebarang krisis air.

20. Kita di Selangor harus mengambil ikhtibar daripada pengajaran terdahulu dan meletakkan Air Selangor pada landasan yang betul. Rakyat Selangor pada muktamadnya perlu menjadi pemilik terbesar syarikat ini. Justeru itu, saya menggesa agar kerajaan menetapkan, sesudah siapnya rundingan dengan SPLASH nanti, janji manifesto untuk memberi saham air kepada rakyat Selangor dalam apa jua bentuk, mesti dilaksanakan.

21. Industri perkhidmatan air juga berkaitan rapat dengan iklim pelaburan di Malaysia. Terkini, syarikat Top Glove yang berpangkalan di Selangor sudah menyatakan hasrat untuk beralih ke Thailand. Salah satu sebabnya ialah bekalan air yang tidak menentu. Ini belum dikira dengan iklim pelaburan sedunia yang semakin mencabar, kemerosotan ekonomi China, susut nilai mata wang Ringgit dan kesan-kesan sampingan Brexit terhadap pelabur UK di Malaysia.

22. Saya mengesyorkan agar kerajaan menubuhkan sebuah pasukan khas untuk mengkaji secara teliti keadaan sebenar pasca Brexit. Ini telah dilakukan oleh banyak negara seperti Kanada dan Australia untuk meneropong sebarang peluang perniagaan pasca-Brexit. Sebagai contoh, banyak bank yang berpusat di London dipercayai akan beralih New York dan Brexit nampaknya memberi hikmat kepada New York. Adakah Brexit akan mengukuhkan kedudukan Malaysia dengan UK sebagai rakan perdagangan dalam dunia Komanwel? Mampukah Malaysia khususnya Selangor menarik lebih banyak pelaburan dari UK? Inilah soalan-soalan yang perlu dijawab oleh pasukan khas ini.

23. Saya pasti kesemua ini akan mempertingkatkan keupayaan Selangor untuk menjana pelaburan semula syarikat-syarikat yang telahpun melabur di Selangor ini. Pelaburan semula bermakna para pelabur mempunyai keyakinan terhadap kerajaan Pakatan Harapan yang berteraskan prinsip tatakelola yang baik, ketelusan dan bertanggungjawab. Untuk itu, saya memohon kepada Eksekutif untuk membentangkan statistik pelaburan terkini.

24. Dato’ Menteri Besar dalam ucapan tahun lepas ada menyebut tentang konsep the Internet of Things (IoT). Untuk tahun ini, disebut juga frasa “Big Data Analytics” dalam membantu mempermudahkan urusan Kerajaan Negeri. Adakah kerajaan bercadang untuk menerap IoT dalam pengurusan tanah dan perlindungan sumber air di Selangor. Saya memohon jawapan. Untuk makluman Dewan, IoT tidak hanya terkongkong dengan pembangunan mobile apps sahaja, ianya lebih luas daripada itu. CEO General Electrics Jeffrey Immelt pernah berkata: “Sekiranya anda bekerja dengan sebuah kilang semalam, maka hari ini kilang itu akan bertukar menjadi sebuah syarikat perisian dan penganalisa data.”

25. “IoT” juga merangkumi Industry 4.0, di mana penghasilan dan penganalisaan data diterap dalam sektor perkilangan untuk menghasilkan produk bagi memenuhi keperluan pasaran yang semakin berubah dewasa ini. Jika Selangor dapat menggunakan hubungan rapatnya dengan pelabur-pelabur daripada Amerika Syarikat, Jepun, UK, Jerman mahupun Taiwan, sumbangan sektor pembuatan terhadap KDNK Selangor akan berkembang. 

26. Laporan Ketua Audit Negara pernah menegur kerajaan Selangor dividen anak syarikat tidak diterima oleh kerajaan negeri. Sebahagian daripada anak-anak syarikat kerajaan Selangor menyumbang kepada kerajaan negeri dengan menaja terus program-program kerajaan prihatin dan bukannya melalui pembayaran dividen kepada kerajaan negeri. Maka dengan teguran ini, saya ingin mencadangkan untuk masa akan datang, kerajaan Selangor meneliti semula kaedah pembayaran dividen dan sumbangan oleh anak-anak kerajaan negeri. Saya bercadang agar semua dividen dibayar terus ke dalam Akaun Hasil Disatukan dan kemudian diagihkan kepada MBI atau agensi-agensi tertentu melalui program-program MES dan sebagainya. Maka dengan ini, kesemua perbelanjaan yang bayar oleh Akaun Hasil Disatukan dapat diaudit dan diteliti oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam.

27. Saban hari, kita disuapkan dengan berita kemalangan di tapak pembinaan. Rentetan daripada peristiwa di Jalan Raja Chulan itu, kerajaan Pulau Pinang telah menyenarai-hitamkan kontraktor yang terlibat. Sebagai sebuah kerajaan smart peduli, Selangor perlu membela mereka yang teraniaya oleh kontraktor-kontraktor yang cuai. Statistik menunjukkan sektor pembinaan menyumbang angka kematian pekerjaan tertinggi berbanding dengan sektor-sektor yang lain.

28. Maka saya memohon kepada kerajaan dan PBT agar menetapkan dasar toleransi sifar terhadap kemalangan maut di sektor pembinaan dan menyenarai-hitamkan Syarikat Beijing Urban Construction Group (BUCG) serta anak-anak syarikat dan konsortium-konsortiumnya daripada mengambil bahagian dalam mana-mana projek pembinaan di negeri Selangor. This government must send a very clear and unequivocal message to the industry players: Ignore occupational, safety and health rules at your own perils!

29. Saya terkilan dengan maklumat yang dibekalkan kepada saya oleh kesemua Pejabat Tanah dan Daerah terhadap tunggakan hasil tanah yang masih belum dikutip setakat Jun 2016 di mana angka ini mencecah RM388juta dengan tempoh tunggakan sehingga berpuluh-puluh tahun! Saya juga diberi senarai sepuluh penunggak tegar juga dan saya berasa kesal apabila terdapat beberapa anak-anak syarikat yang tersenarai.

30. Saya amat memohon supaya kerajaan mengambil tindakan cepat untuk membersihkan tunggakan ini. Sekiranya penunggak-penunggak ini masih degil, maka rampaslah tanah mereka. Jika tidak, apakah ini adil bagi mereka yang bayar cukai tepat pada masanya tetapi syarikat-syarikat besar dibiarkan berhutang, bukan untuk setahun dua tetapi berpuluh-puluh tahun?

31. Terbaru, terdapat kenyataan daripada Menteri yang mendakwa harga rumah mahal di Selangor kerana premium tanah yang mahal serta caj pembangunan yang tinggi. Soalannya mudah, berapa banyak rumah PR1MA yang siap dibina di Selangor? Tak pasti tetapi melalui laman web PRIMA, masih banyak projek masih dalam status cabutan undi. Berapa pula rumah Selangorku yang siap dibina? Lebih 15,000 unit hanya pada tahun 2015 termasuk projek syarikat swasta.

32. Banyak usaha mempromosi pelancongan dijalankan atas inisiatif swasta seolah-olah Tourism Selangor tidak begitu ke dapan. Keadaan ini perlu diubah. Tourism Selangor harus bertindak agresif. Baru-baru, Ipoh telah disenarai sebagai destinasi pelancongan Asia sepuluh teratas oleh Lonely Planet. Walapun saya dan ADUN Bukit Lanjan Ipoh Mali dan sudah pasti kami bangga dengan pencapaian kampung halaman kami, tetapi Selangor sebagai “the heart of Malaysia” mempunyai kelebihannya yang tersendiri kerana kedudukan geografi yang dekat dengan ibukota.

33. Perhatian khusus harus diberi kepada konsep “assessible tourism” khususnya pelancongan di kawasan bandar di mana PBT mesti membina lebih banyak kemudahan bebas tangga atau step-free facilities. Harus diingat bahawa accessible tourism bukan sahaja khusus untuk golongan OKU tetapi penting untuk keluarga yang melancong bersama kanak-kanak kecil. 

34. Kampung Tunku juga tertarik dengan kejayaan Bas Percuma Smart Selangorku dan Bas Percuma Petaling Jaya, begitu juga dengan penambahan laluan baru. Walaupun begitu, pembinaan dan penambahbaikan perhentian-perhentian bas juga tidak kurang penting. Saya memohon kerajaan memberi penerangan tentang perkara ini. 

35. Selain itu, saya difahamkan bahawa kerajaan bercadang menwujudkan perkhidmatan perkongsian basikal di Selangor. Konsep ini memang lama dilaksanakan di beberapa bandar besar seperti di London dan Taipei. Maka saya memohon penerangan pihak Eksekutif berkaitan dengan pelaksanaannya di Selangor. 

36. Saya juga tertarik dengan cadangan pembinaan Kuala Lumpur-Singapore High Speed Rail (HSR) tetapi malangnya projek ini tiada steysen di Selangor sedangkan hampir 10% daripada trek adalah di negeri Selangor. Maka saya memohon kerajaan Selangor untuk bertegas dengan kerajaan Persekutuan dalam hal ini.

37. Untuk tahun 2017, kerajaan Selangor masih akan menerima Terimaan Daripada Kerajaan Persekutuan di bawah Kepala 82383 dan 82386 untuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, berjumlah RM25.8 juta. 

38. Di sini saya tidak jemur untuk membangkitkan sekali lagi supaya kerajaan Selangor berunding dengan Persekutuan untuk merasionalisasikan kedua-dua perjanjian penyerahan yang ditandatangani pada tahun 1974 dan 1999. Seboleh-bolehnya Kuala Lumpur dipulangkan kepada Selangor. 

39. Akhirnya untuk program “Peduli Siswa”, umum diketahui bahawa Universiti Malaya. masih di hadapan UIAM, UKM, UPM dan UiTM. Maka saya memohon agar dimasukkan UM dalam program ini. Sebagai alumni UM, saya sedikit kecewa sekiranya anak-anak Selangor di UM tidak dapat menyertai “Peduli Siswa” hanya kerana UM terletak di Kuala Lumpur. Selangor dan Kuala Lumpur berpisah tiada, maka Selangor dan UM pun berpisah tiada. Maka saya memohon mencadang. Sekian, terima kasih.

Lau Weng San
ADUN Kampung Tunku

No comments: