Friday, November 04, 2016

Mustahil ADUN BN Selangor tidak tahu tentang peruntukan kawasan RM200,000 kepada mereka dan peruntukan ini boleh diguna untuk kebajikan dan kebaikan rakyat

Kenyataan Media ADUN DAP Kawasan Kampung Tunku, Selangor, Lau Weng San pada 4 November 2016 di Petaling Jaya:

Dalam penggulungan Dato’ Menteri Besar Selangor semasa perbahasan Belanjawan Selangor 2017 di peringkat dasar lewat petang semalam, isu peruntukan ADUN Pembangkang (BN) telah dibangkitkan di mana ADUN BN ditegur agar menggunakan peruntukan mereka sepenuhnya untuk kebaikan rakyat.

Para ADUN BN telah didapati mengguna peruntukan sebanyak RM6,000 sebulan untuk perbelanjaan pejabat masing-masing tetapi tidak untuk kebajikan rakyat. Mengikut makluman Datuk Menteri Besar, hampir kesemua ADUN BN telah menggunakan peruntukan RM6,000 sebulan itu untuk tujuh hingga lapan bulan tahun ini.

Para ADUN BN membalas semalam di dalam sidang DUN bahawa ini adalah bersesuaian dengan pekeliling kerajaan. Untuk makluman umum, peruntukan RM6,000 ini ialah sebahagian daripada peruntukan tahunan RM200,000 yang diperuntukkan untuk ADUN pembangkang sejak tahun 2015. Para ADUN BN juga mendakwa bahawa mereka tidak tahu tentang peruntukan RM200,000 setahun ini. 

Untuk pengetahuan umum, cadangan untuk membekalkan peruntukan kawasan sebanyak RM200,000 setahun kepada ADUN BN dimulakan pada tahun 2015 semasa perbahasan belanjawannya pada akhir tahun 2014. Pada masa itu, para ADUN BN secara terbuka telah menolak tawaran ini atas alasan ketidakadilan kerana ADUN kerajaan dibekalkan RM700,000 setahun.




Yang pasti, tuduhan bahawa mereka tidak tahu tentang peruntukan tahunan sebanyak RM200,000 ini adalah tidak benar. Sebenarnya, angka ini hanya merupakan satu permulaan. Sekiranya ADUN BN jujur menggunakan peruntukan untuk rakyat, kerajaan mungkin akan bersetuju menaikkan peruntukan pada tahun-tahun yang akan datang.

Pada Mac 2016 di mana kerajaan telah membenarkan agar ADUN, termasuk ADUN BN untuk menggunakan sebahagian (RM6,000 sebulan) daripada peruntukan kawasan untuk menampung perbelanjaan pejabat masing-masing melalui pekeliling PWN.Sel(A)294Jld.6(32). Perenggan 2.1 dalam pekeliling sekali lagi menyebut ADUN pembangkang diperuntukkan peruntukan sebanyak RM200,000 setahun. 

Bagaimana ADUN BN boleh terlepas pandang dan seterusnya mendakwa bahawa mereka tidak tahu tentang peruntukan sebanyak RM200,000 ini? Mengapakah ADUN BN menolak tawaran ini dua tahun yang lalu tetapi dengan senyap-senyap menggunakan sebahagian daripada peruntukan ini tahun ini? 

Saya menasihat Para ADUN BN agar melapangkan dada dan membuangkan perasaan hasad dengki terhadap dasar menawarkan peruntukan kawasan kepada pembangkang malahan jawatan Ketua Pembangkang sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC).

Lau Weng San
ADUN Kampung Tunku

No comments: