Thursday, March 30, 2017

Fiat Justitia Ruat Caelum

Ucapan Membahas Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan DYMM Tuanku Sultan Selangor oleh ADUN Kampung Tunku Lau Weng San pada 29 Mac 2017 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam:

Janganlah saya dibenci walau berbeza politik,
Namun bencilah saya jika saya mengambil rasuah,
Fiat Justitia Ruat Caelum
 (Hendaklah keadilan ditegakkan, walaupun langit akan runtuh)


1. Terima kasih kepada Puan Speaker kerana memberi peluang kepada Kampung Tunku untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Tuanku Sultan Selangor.

2. Puan Speaker, Usul Menjunjung Kasih ini barangkali yang terakhir sebelum kita memasuki gelanggang PRU14 nanti. Mengimbas kembali ucapan-ucapan saya di Dewan Yang Mulia ini sejak sembilan tahun lalu, satu-satunya isu yang seringkali dibangkitkan ialah isu integriti dan prestasi penjawat awam.

3. Rakyat dan kerajaan Selangor dikejutkan dengan kes rasuah yang melibatkan Mantan KSU Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Mohd Arif Abdul Rahman. 

4. Tidak lama dahulu, beliau ditahan dan didakwa di Mahkamah Sesyen di bawah S.16(a)(B) Akta SPRM 2009 kerana menerima wang suapan sebanyak S$200,000 Dolar Singapura. SPRM telah menemui aset yang tidak sepadan dengan pendapatannya, contohnya jongkong emas, wang tunai, beg tangan berjenama dan puluhan jam tangan mewah berjumlah RM 3 juta. 

5. Ini membawa saya kepada pembongkaran oleh mantan EXCO dan mantan ADUN Gombak Setia pada tahun 2012 terhadap si tertuduh. Antaranya si tertuduh terlampau kerap melawat ke luar negeri, enggan menjelaskan jumlah gaji, bonus dan elaun yang diterima dalam mesyuarat MMKN serta tuntutan perjalanannya bidiayai GLC Selangor.

6. Bak pepatah berkata, “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada guna”. Saya kesal kerana isu ini tidak ditangani pada masa itu tetapi saya kira masih tidak terlewat jika kita mengambil ikhtibar daripada kes ini. 

7. Sudah sampai masanya pihak Eksekutif menjadikan pengiystiharan aset oleh pegawai atasan kerajaan dan para ADUN sebagai kehendak mandatori undang-undang. Kita boleh mengambil prosidur-prosidur yang telah ditetapkan oleh OECD dengan pemantauan daripada pihak yang bebas daripada pengaruh Eksekutif seperti Selcat dan SPRM. Kesemua data terhadap pengiystiharan aset ini perlu dibuka untuk pemantauan umum selepas dibenarkan oleh SELCAT, SPRM, Jabatan Audit Negara dan sebagainya.

8. Puan Speaker, masalah rasuah bukan calang-calang isu. Persepsi rasuah yang serious amat menjejaskan imej dan iklim pelaburan negara. Akibat pentadbiran kewangan yang lemah disiplin dan sarat dengan penyelewengan dan korupsi seperti dalam skandal 1MDB, Malaysia terkenal seantero dunia sebagai negara kleptokrat. Hatta, nilai Ringgit Malaysia meleset dengan kadar yang jauh lebih gawat berbanding dengan matawang-matawang negara-negara ASEAN yang lain.

9. Ada Tok Lebai (Malang) di Dewan ini berkata isu 1MDB sudah lapuk. Mungkin orang kampung tidak faham isunya tetapi mereka faham apabila ubat, makanan, barang harian, minyak semakin mahal mencecah langit sehingga di luar kemampuan mereka.

10. Tok Lebai (Malang) di Putrajaya berkata bahawa ini berlaku kerana harga minyak mentah merosot dan nilai Dolar Amerika Syarikat naik. Kalau ini benar, mengapa Ringgit tidak naik apabila harga minyak naik? Mengapa 1 Dolar AS bersamaan RM4.40 sekarang dan bukannya RM2.50 semasa Tun Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada tahun 1990-an?

11. Mengapakah adanya negara yang juga mengeluar minyak tetapi susut nilai mata wangnya tidak seteruk Ringgit Malaysia? Pastinya terdapat sesuatu yang tidak kena dengan Ringgit Malaysia, iaitu asas ekonomi atau economic fundamentals kita yang lemah! 

12. Ada juga Tok Lebai (Malang) berkata Ringgit Malaysia yang murah akan membantu eksport negara kita. Hakikatnya ialah eksport keseluruhan Malaysia pada tahun 2016 hanya berkembang sebanyak 1% berbanding tahun 2015 sekaligus menunjukkan bahawa Ringgit Malaysia yang lemah tidak semestinya menjadikan barangan Malaysia lebih kompetitif di pasaran dunia.

13. Kalau Tok Lebai (Malang) masih tidak percaya, maka tengoklah kadar pengangguran di Malaysia pada tahun 2016, iaitu 3.5%, tahap tertinggi sejak tahun 2010. Kadar pengangguran belia lagi membimbangkan, iaitu 10.7%. Kadar pengangguran di kalangan graduan jauh lebih dahsyat, iaitu 24%. 

14. Maka di sini kita dapat merasakan signifikan Kolej INPENS dalam melengkapkan belia kita dengan kemahiran vokasional agar mereka dapat bersaing di pasaran dunia. Yang menjadi kekurangan ialah belia yang terus bekerja selepas Tingkatan Lima tanpa apa-apa latihan formal di mana INPENS tiada apa-apa program latihan pasca kerjaya kepada mereka.

15. Puan Speaker, takkan kita menyuruh mereka menjadi pemandu Uber atau sahaja? Kita perlu melakukan sesuatu untuk belia kita, agar mereka tidak akan mewarisi sebuah negara Malaysia yang kleptokrat.

16. Apakah kaitan kesemua ini dengan Titah Ucapan Tuanku? Maka jawapannya membawa kita ke titah ucapan Tuanku, iaitu ekonomi duniawi tidak harus tertumpu kepada persoalan angka-angka ekonomi tetapi merangkumi integriti, ketelusan, urus tadbir yang baik serta institusi yang berwibawa.

17. Baru-baru ini, terdapat perbincangan di kalangan pakar ekonomi tentang naratif pembangunan berasaskan kebahagiaan atau "happiness" seperti "Gross National Happiness" yang dipelopori oleh negara Bhutan dan "Wellbeing Index" yang dikelola OECD. Malahan, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu juga telah menerbitkan satu laporan berkaitan dengan Global Happiness Index yang merangkumi aspek-aspek berikut: 
i. kekayaan mengikut GDP;
ii. tahap sokongan sosial sediada;
iii. kejangkauan umur dan kesihatan;
iv. kebebasan membuat keputusan dalam kehidupan;
v. kemampuan seseorang bersedekah serta; 
vi. persepsi rasuah.

18. Calon Presiden Peranchis dari Parti Sosialis, Benoit Hamon juga mencadangkan bahawa selain daripada mengekalkan kadar pertumbuhan GDP yang sediada, pemerintah juga mesti menyusun semula kekayaan negara supaya bidang pendidikan dan perubatan diberi subsidi yang lebih banyak agar kebajikan orang miskin dapat dilindungi dan potensi setiap individu dapat diperkembangkan dengan adil dan saksama.

19. Maka untuk memberi makna kepada ucapan Tuanku itu, saya menggesa UPEN, Perbendaharaan dan Pegawai Kewangan Negeri (PWN) untuk mengkaji laporan-laporan ini dan mengemukakan bagaimana Selangor boleh mempunyai Gross National Happiness Index-nya yang tersendiri yang boleh dibentangkan bersekalian dalam perbahasan Belanjawan setiap tahun.

20. Puan Speaker, sumbangan kaum wanita terhadap pembinaan masyarajat dan pertumbuhan ekonomi sangat penting. Mengikut kajian True Vox Asia, hampir 70% daripada wanita di Malaysia yang terpaksa berhenti bekerja kerana penjagaan kanak-kanak. Hampir separuh daripada suri rumahtangga ini amat berharap supaya mereka diberi gaji, peluang naik pangkat yang adil serta waktu bekerja yang fleksibel.

21. Kerajaan Selangor harus dipuji kerana mencatat sejarah apabila julung kalinya dua orang hakim wanita telah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah di Malaysia. Namun ramai lagi kaum hawa yang berharap Kerajaan Selangor boleh melakukan lebih banyak untuk memperkasakan kaum wanita. Sudah sampai waktunya di mana dasar kerajaan tentang penyediaan bilik menyusu, kemudahan taska dan tadika di tempat kerja dijadikan sebagai syarat-syarat mandatori dari segi undang-undang yang perlu dipatuhi pihak majikan dan pemaju. 

22. Kerajaan Selangor juga harus mengambil langkah tegas untuk mambantu bekas isteri mendapat bayaran alimoni mereka tepat pada waktunya oleh bekas suami. Tindakan undang-undang mesti diambil terhadap bekas suami yang gagal. Kerajaan tidak boleh menolak tanggungjawabnya dalam hal ini kerana hal ehwal wanita merupakan sebahagian daripada Senarai Bersama Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

23. Puan Speaker, Inisiatif-inisiatif Peduli Rakyat yang dilancarkan pada tahun ini memang tepat waktu kerana mampu mengatasi beberapa kekurangan kepada beberapa Program Merakyatkan Ekonomi Selangor yang dilancarkan sejak tahun 2008.

24. Kini Selangor sudah ada Skim Peduli Sihat, Skim Peduli Siswa, Program Dialysis Rakyat, Hijrah, Skim Smart Sewa dan Bas Percuma Smart Selangor, kesemuanya bertujuan untuk membina Selangor yang bersih, indah, aman, makmur dan sejahtera.

25. Namun begitu, banyak lagi kekurangan yang perlu diatasi. Contohnya aduan lubang jalan melalui Aplikasi Waze. Walaupun cara membuat aduan sudah dipermudahkan tetapi penyelesaian masalah masih bergantung kepada kecekapan dan prestasi penjawat awam.

26. Seterusnya rumah mampu milik – apa salahnya kalau Kerajaan Selangor melalui PKNS dan DEIG menjalankan reverse privatisation dengan pemaju swasta yang mempunyai landbank yang banyak untuk membina lebih banyak rumah mampu milik di Petaling Jaya. Saya pernah membangkitkan cadangan ini tetapi masih belum menerima apa-apa maklum balas.

27. Tunggakan cukai tanah dan premium Lembaga Pelabuhan Klang sebanyak RM 32 juta yang belum dibayar. Laporan Tahunan PKA 2015 mengatakan bahawa bayaran akan dibuat setelah mengambilkira peruntukan di dalam Perkara 85(2) Perlembagaan Persekutuan. Difahamkan daripada Laporan Tahunan PKA 2015 bahawa rundingan masih berjalan. Bilakah rundingan ini akan dimuktamadkan dan bilakah bayaran akan dibuat? Apa boleh dilakukan Kerajaan Selangor sekiranya rundingan gagal?

28. Isu perancangan bandar di Selangor, Pertama KL-Singapore HSR, adakah benar bahawa permintaan Kerajaan Selangor untuk membina perhentian di Selangor ditolak kerajaan Persekutuan? Kedua, berkenaan dengan East Cost Rail Link (ECRL), apakah penglibatan kerajaan Selangor sehingga kini dalam mega projek ini? Ketiga, adakah tidak mungkin untuk kerajaan merizabkan tanah untuk membina hospital kerajaan di SS 10, Petaling Jaya?

29. Seperti perbahasan Sekinchan yang tidak lengkap tanpa menyentuh isu pertanian dan pelancongan, perbahasan Kampung Tunku tidak lengkap kalau tidak menyentuh institusi Dewan Negeri Selangor yang juga disentuh dalam titah ucapan Sultan Selangor, iaitu institusi Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen

30. Puan Speaker, Dewan Negeri Selangor bukan “rubber stamp”, justeru itu ADUN harus diberi peluang secukup-cukupnya untuk membahas sesuatu Rang Undang-undang tanpa paksaan. Saya difahamkan masih ada sesetengah GLC yang masih belum dapat dipanggil untuk memberi keterangan di JP-ABAS sedangkan GLC-GLC ini ditubuhkan melalu Enakmen yang diluluskan Dewan, mendapat suntikan dana daripada kerajaan serta pernah diaudit oleh Jabatan Audit Negara. Selain itu, harus diingatkan bahawa Eksekutif mesti menjawab semua soalan bertulis dan lisan oleh ADUN walaupun sesuatu isu yang ditanya dalam sesuatu soalan itu mungkin telah dijawab dalam bentuk yang lain sepanjang sesi Dewan.

31. Saya juga mencadangkan agar Eksekutif membentangkan Mid-Term Review Belanjawan dalam sidang mesyuarat kedua yang biasanya diadakan pada pertengahan tahun memandangkan sidang kedua akan menjadi pendek jika tidak ada RUU Belanjawan Tambahan.

32. Maka dengan itu, Kampung Tunku bercadang menyokong usul ini. Sekian, terima kasih.

LAU Weng San
ADUN Kampung Tunku

No comments: