Thursday, July 12, 2018

Masalah perkhidmatan bas awam Cityliner dan masalah wabak HFMD di Banting


Kenyataan Media ADUN DAP Kawasan Banting, Selangor, Lau Weng San pada 12 Julai 2018 di Banting, Kuala Langat: 

Saya berpeluang bertemu wakil Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan wakil Syarikat Kenderaan Klang Banting Berhad (KKBB) pagi tadi di ibu pejabat Majlis Daerah Kuala Luangat (MDKL) berkenaan dengan notis pemberitahuan penamatan perkhidmatan beberapa enam laluan bas seperti yang berikut:

1. 734, Banting - Pasar Seni KL
2. 730, Banting - Klang
3. T730, Banting - Sri Cheeding
4. 732, Banting - KLIA
5. 731, Banting - Putrajaya
6. 733, Banting - Tanjung Sepat

Mesyuarat ini berikutan aduan daripada orang awam dan laporan media semalam tentang berita tergempar ini. Selaku ADUN Banting, saya telah memaklumkan perkara ini juga kepada Menteri Pengangkutan.

Wakil KKBB telah memaklumkan bahawa mereka telah menghadapi kesulitan kewangan sejak tahun 2017 berikutan bayaran subsidi yang tidak menentu masa dan seterusnya ketiadaan pembyaaran langsung selepas pembayaran diambil alih oleh Kementerian Kewangan. 

Maka punca kepada keputusan ini adalah disebabkan pengurusan kewangan Kerajaan Persekutuan yang tidak stabil sehingga para penumpang bas awam di Banting menhadapi kesukaran.


Pihak SPAD telah memaklumkan bahawa mereka telah mempelawa pengusaha-pengusaha pengangkutan awam yang lain di Selangor untuk mengambil alih dan diharap aka nada jawapan pada hari esok dan pengambilalihan perkhidmatan ini diharap boleh diteruskan selepas penamatan perkhidmatan bas Cityliner.

Pihak SPAD juga memaklumkan bahawa operator baru barangkali akan menghadapi masalah penggunaan terminal bas memandangkan terminal bas Banting yang sediada merupakan tanah persendirian yang dimiliki MARACorp. MDKL masih dalam rundingan dengan semua pihak untuk mencari jalan penyelesaian yang sewajarnya.

Saya telah berpesan kepada SPAD dan KKBB bahawa MDKL sewajarnya dimaklumkan lebih awal walaupun keputusan menamatkan perkhidmatan bas adalah budi bicara KKBB kerana MDKL, Ahli-ahli Majlisnya dan wakil rakyat perlu menjawab kepada aduan dan pertanyaan orang awam, khususnya para penumpang yang terjejas.

Wabak HFMD di Kuala Langat serious

Saya juga sempat dimaklumkan bahawa mengikut statistik yang dibekalkan kepada saya melalui Ahli Majlis MDKL oleh Jabatan Kesihatan Daerah Kuala Langat, jangkitan HFMD di daerah Kuala Langat telah mencecah 535 untuk bulan Januari hingga Jun 2018.

Saya juga dimaklumkan bahawa terdapat sebuah tadika diarah tutup selama sepuluh hari secara mandatori untuk mengawal jangkitan penyakit berkenaan di kalangan kanak. Memandangkan wabak kes HFMD yang melonjak naik, saya menyeru agar ibubapa berwaspada dan sentiasa menjaga kebersihan tubuh badan kanak-kanak masing-masing untuk mengelakkan wabak HFMD daripada merebak.

Lau Weng San
ADUN Banting

No comments: