Tuesday, March 19, 2019

Ucapan Perbahasan Menjunjung Kasih Titah Ucapan Tuanku Sultan Selangor oleh Lau Weng San


Yang sejati perlu diraikan,
Yang abadi perlu dikekalkan;
Yang biasa perlu dibetulkan,
Yang betul perlu dibiasakan.

Tuan Speaker, begitulah tajuk ucapan saya untuk menyokong usul yang dibawa oleh Bukit Lanjan. 

Politik rasuah politik toksik, Siapa Selamat Kalau Malaysia Binasa?

Semua pemimpin Malaysia perlu membanteras rasuah habis-habisan dan agenda seterusnya memperjuangkan nasib orang Malaysia agar tidak ada lagi keluarga yang hidup miskin tanpa papa kedana. 

Begitulah jiwa kami di Pakatan Harapan. Pakatan Harapan membina, politik toksik di sebelah sana membinasa.

Berjuanglah untuk menjadikan negara kita ini makmur dan hidup aman damai dan pastikan semua rakyat menikmati dengan sama rata kekayaan negara. 

Mana-mana pemimpin yang cuba memecahkan perpaduan rakyat dengan politik toksik perlu ditolak. Bulat air kerana pembentang, bulat manusia kerana muafakat. 

Muafakat antara kaum yang ditonjolkan oleh Pakatan Harapan inilah yang mampu melonjak Malaysia ke persada dunia kerana berbanding dengan naratif sempit yang berlandaskan politik toksik.

Politik toksik yang di sebelah sana dimeterai selepas PRU tetapi Pakatan Harapan ditubuhkan dua tahun sebelum PRU dan berdasarkan Buku Harapan yang merupakan tunjang dan tonggak kepada naratif nasional Malaysia. 

Sejarah membuktikan politik toksik yang berlandaskan satu-satu kaum dan agama tidak akan berkekalan. Malahan PAS tidak pernah menang di Sabah dan Sarawak. UMNO tidak pernah bertapak di Sarawak. UMNO Sabah pun sudah berterus-terang tidak akan bekerjasama dengan PAS. Sekiranya politik toksik ini sah ditolak rakyat daripada Sabah dan Sarawak, nescaya mereka boleh pegang kerajaan Persekutuan.

Muafakat antara Kerajaan Persekutuan dan Selangor akhirnya membantu rakyat Selangor. Contohnya, kemelut penstrukturan semula industri air di Selangor akhirnya berjaya diselesaikan selepas lebih sedekad ianya membelenggu kita semua. 

Tiga minggu yang lepas, kita disajikan berita baik bahawa konsesi lebuhraya bertol akan ditamatkan secara berperingkat dan ianya akan bermula dengan lebuhraya yang dimiliki oleh gergasi infrastruktur seperti Gamuda. Sedikit demi sedikit, akhirnya jadi bukit. Begitulah cara kita hendak melaksanakan manifesto kita.


Di peringkat Selangor, kita menerusi tradisi kecemerlangan kita dengan menyantuni rakyat melalui pelbagai program kebajikan sehingga dicemburui rakyat di luar Selangor. Saya setuju jikalau ada cadangan untuk merancakkan lagi program-program kebajikan yang sedia ada, dengan syarat ianya tidak bertindih dengan apa-apa program kebajikan yang telah dan bakal disajikan oleh Kerajaan Persekutuan.

Sekiranya hasrat kita adalah pada pengukuhan B40, janganlah kita lalai membela kelas pertengahan yang sedia ada, iaitu golongan M40 melalui dasar-dasar ekonomi dan pelaburan yang mampan yang perlu menjana peluang pekerjaan dengan gaji yang tinggi.

Saya mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Selangor kerana mampu menonjolkan prestasi kewangan dan pelaburan yang memberangsangkan berbanding negeri-negeri lain walaupun dalam zaman ekonomi dan iklim pelaburan global yang semakin mencabar.

Memang tidak dapat menafikan bahawa kutipan hasil tanah seperti cukai dan premium berkurang tetapi ini adalah fenomena penyelarasan yang bersifat jangka pendek. 

Pernah dibangkitkan oleh pembangkang bahawa kerajaan tidak hanya boleh bergantung kepada kutipan premium tanah semata-mata kerana tanah kerajaan akhirnya akan habis diberi hakmilik.

Ini adalah tidak benar kerana kerajaan boleh mengutip premium apabila pemilik tanah hendak menyambung tempoh pajakan, menukar syaratnyata guna tanah atau menjalankan transaksi jual-beli tanah.

Sememangnya negeri-negeri seperti Pahang, Sarawak, Sabah dan Selangor membentangkan belanjawan mencecah bilion ringgit setiap tahun tetapi Selangor berbeza kerana tidak bergantung semata-matanya kepada sumber bumi.

Isu kerakyatan pelajar-pelajar undocumented children merupakan sesuatu yang perlu diberi perhatian oleh EXCO Pendidikan kerana saya menerima aduan daripada ibubapa bahawa anak-anak mereka menghadapi masalah mendaftarkan diri sebagai calon peperiksaan kerajaan. 

Masalah ini berbangkit akibat dasar diskriminasi yang diamalkan oleh kerajaan BN sehingga anak-anak yang tidak berdosa ini tidak diterima sebagai anak watan Malaysia yang sah. Ada di kalangan mereka amat menonjol dalam bidang akademik mahupun aktiviti sukan dan ko-kurikulum. Namun disebabkan identiti mereka sebagai bukan warga negara, mereka tidak dapat bertanding di pentas dunia sebagai atlit Malaysia. Saya amat berharap EXCO Pendidikan yang kebetulannya ialah YAB Dato’ Menteri Besar boleh memanjang isu ini kepada perhatian Menteri Dalam Negeri agar ianya dapat diatasi segera. 

(Barangkali Yang Berhormat Selat Klang boleh turut membantu dan Banting sentiasa bersedia untuk membantu Kerajaan untuk mengatasi masalah ini.)

Janganlah kita membinasakan masa depan anak-anak yang tidak berdosa ini. Sekiranya dasar kerajaan toksik yang terdahulu yang perlu dipinda, maka pindalah dengan segera supaya anak-anak ini mempunyai masa depan yang cerah di bumi Malaysia.


Majlis Perbandaran Kuala Langat

Tidak lama lagi Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) akan dinaik taraf menjadi sebuah Majlis Perbandaran. Sememangnya, ianya perlu diiringi dengan anjakan paradigma seluruh kakitangan MDKL kerana cabaran yang diiringi akan semakin mencabar. 

Sebagai contoh, harapan penduduk terhadap Majlis sudah pasti akan mengunung tinggi sehingga apa yang dianggap sebagai memuaskan sebelum itu akan dilihat sebagai tidak mencukupi. Maklumlah kerana naiktaraf ini juga bermaksud hasil dan pendapatan serta gaji dan elaun pegawai juga akan dinaikkan.

Pastinya peningkatan bilangan penduduk dan aktiviti perniagaan dan perindustrian akan membebankan infrastruktur MDKL yang sedia ada. MDKL juga perlu bersiap sedia dengan peruntukan lebih besar dan kualiti perkhidmatan lebih cekap untuk memenuhi citarasa pembayar cukai. 

Dengan itu, saya ingin menggesa MDKL agar sentiasa memastikan wang Majlis digunakan dengan tepat. Laporan Audit Negara terhadap akaun Majlis pada tahun 2017 mendapati bahawa MDKL mempunyai simpanan tetap dan wang tunai dalam bank yang besar, iaitu RM94juta berbanding dengan RM77juta pada tahun 2016. Saya pasti angka ini akan terus meningkat mencecah paras RM100juta untuk tahun 2018. Untuk perkara ini, saya memohon agar Kerajaan membekalkan angka yang terkini.

Apapun sekali, adalah tidak keterlaluan sekiranya MDKL boleh menggunakan sebahagian daripada rizab ini untuk pembangunan infrastruktur di seluruh kawasan pentadbiran, khususnya untuk menaiktaraf Dewan Orang Ramai, kelengkapan-kelengkapan taman permainan, tandas dan pasar awam, parit serta longkang awam dan sebagainya. 

Saya percaya wakil rakyat dan pegawai di MDKL dan PTDKL telahpun mengemukakan senarainya kepada pertimbangan MMKN. Harapan saya ialah agar Kuala Langat diberi perhatian yang sewajarnya kerana ianya merupakan antara Majlis Daerah yang paling berpotensi di Selangor malahan di seluruh Malaysia.

Pada pertengahan tahun kedua untuk tahun 2018, MDKL terpaksa mengharungi cabaran yang getir berikutan masalah pencemaran oleh kilang-kilang pemprosesan sisa plastik yang tidak berlesen.

Kita tidak pernah leka dan MDKL harus diberi pujian kerana bekerjasama rapat dengan penduduk dan wakil rakyat untuk mengatasi masalah pencemaran ini yang seketika dahulu mendapat liputan luas oleh media asing. 

Walaupun isu ini sedikit sebanyak mendedahkan kekurangan kita dari segi pemantauan, pengetahuan teknikal dan undang-undang untuk mengekang kemasukan sisa pepejal plastik yang tidak terkawal sekian ketika dahulu.

MDKL perlu bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan Persekutuan termasuknya Jabatan Alam Sekitar dalam hal ini untuk memastikan segala kerja penguatkuasaan dan perundangan dijalankan dengan lancar dan licin. Perkara ini juga sama dengan isu-isu yang melibatkan kerajaan persekutuan seperti perancangan pengangkutan awam dan sebagainya memandangkan kerajaan negeri dan persekutuan kini kembali di bawah satu bumbung. Perkara ini disebut kerana telah disahkan bahawa Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) tidak menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Awam MDKL.

Pentadbiran PBT seperti MDKL juga harus dirombak. Kalau dahulunya terdapat Jawatankuasa-jawatankuasa MDKL yang dipengerusi YDP tetapi tidak melibatkan Ahli-ahli Majlis, seperti Jawatankuasa Penyelarasan dan Pemantauan Aduan serta Jawatankuasa Peningkatan Hasil dan sebagainya, maka saya bercadang agar Ahli-ahli Majlis dilibatkan sekali.

Kesemua ini adalah sejajar dengan tajuk ucapan saya ini, iaitu "Membiasakan yang betul dan membetulkan yang biasa".

Taman Kekal Pengeluaran Makanan di Hutan Simpanan Sungai Kerambu, Kuala Langat Selatan masih belum ada keputusan akhir.

Dalam sidang DUN yang lepas, makluman yang diberi oleh Ahli Yang Berhormat Kajang ialah bahawa Jabatan Perhutanan Selangor perlu menyediakan kertas cadangan untuk menyahwartakan tanah tersebut dan menyerahkan kepada Jabatan Pertanian Selangor untuk tindakan pewartaan sebagai tanah TKPM.

Saya telah menulis emel kepada Pengarah Jabatan Perhutanan Selangor sebanyak dua kali di mana yang terakhir ialah 17 Februari 2019. Sehingga sekarang, saya tidak mendapat apa-apa maklum balas terkini terhadap perkara di atas. Malahan emel saya turut memohon sama ada mungkin untuk saya berjumpa dengan Jabatan Perhutanan Selangor, malangnya ianya juga tidak dijawab sehingga sekarang.

Saya memohon agar perkara ini diberi perhatian dan sekiranya ada emel atau mesej daripada wakil rakyat, ianya harus dijawab dan dibalas dalam masa terdekat.

Jalan Persekutuan FT005 masih dalam keadaan yang tidak selamat khususnya pada waktu malam. Pada akhir tahun 2018, jalan ini sama seperti jalan-jalan persekutuan yang lain, berdepan dengan masalah penyelenggaraan yang tertunggak akibat kekurangan dana seperti pertumbuhan lalang gajah setinggi tiga kaki.

Beberapa hari yang lepas sepasang suami isteri yang berasal dari Seri Cheeding dilanggar oleh sebuah kereta yang melalui Jalan FT005 ini di persimpangannya dengan Jalan B60. Dua minggu lepas, saya menghadiri majlis pengebumian seorang mangsa yang mengalami kecederaan akibat kemalangan di FT005 Morib – Tanjung Sepat. Keadaan jalan yang gelap gelita termasuk di persimpangan utama masih belum diatasi, termasuklah persimpangannya dengan Jalan B126, B340, Jalan Norton.

Infrastruktur sukan di DUN Banting masih berada pada tahap yang tidak memuaskan. Masalah timbul kerana masalah bidang kuasa iaitu infrastruktur ini dibina oleh agensi-agensi kerajaan termasuk Kerajaan Persekutuan. Masalah juga timbul kerana MDKL tidak diberi peruntukan tambahan untuk mengurus asset-aset ini walaupun ianya tidak dibina MDKL. Saya difahamkan tindakan telah diambil untuk menyerahkan semua infrastruktur sukan ini kepada PBT sejajar dengan dasar kerajaan. 

Namun begitu, masalah berkenaan dengan peruntukan masih tidak ada keputusan akhir. Tanggungjawab itu kena bersekali dengan peruntukan kewangan.

Kerajaan Pakatan Rakyat pada tahun 2011 pernah berjanji untuk menambah baik gelanggang bola keranjang di Teluk Bunut dengan membina bumbung tambahan. Pihak MBI telah diminta untuk menyediakan peruntukan tetapi ianya tidak dapat berjalan. Ianya kemudian dicadangkan untuk dibiayai oleh Jawatankuasa Pembangunan Kampung Baru tetapi tidak dapat diteruskan kerana prosidur kewangan tidak membenarkan peruntukan Kampung Baru digunakan di luar kawasan Kampung Baru.

Sementara saya menyambut baik kalau semakan boleh dibuat dan dipohon dengan MBI, tetapi memandangkan ianya sekadar memakan belanja RM250,000 sahaja mengikut anggaran MDKL pada tahun 2016, saya memohon agar pihak MMKN boleh menggunakan peruntukan Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan untuk membiayai projek ini. Apatah lagi kalau ianya tetap perlu diserahkan kepada MDKL walaupun ianya dibina dan dibiayai MBI.

Kawasan DUN Banting amat memerlukan jaringan internet berkelajuan tinggi atas harga yang munasabah. Buat masa sekarang, ramai penduduk di DUN Banting, khususnya penduduk di Kampung Pulau, Teluk Bunut, Kampung Baru Sungai Jarom dan Jenjarom tidak dibekalkan talian internet berkelajuan tinggi. Maka dengan itu, saya memohon agar unit-unit yang berkaitan seperti SmartSel memberi penjelasan di Dewan Yang Mulia apakah usaha-usaha yang telah dicapai untuk merancakkan perkhidmatan internet di kawasan DUN Banting.

Masalah penyalahgunaan dadah di DUN Banting berada dalam keadaan yang kritikal. Selain daripada menjalankan operasi serbuan dan penguatkuasaan undang-undang, pihak Kerajaan harus mempergiatkan program harm-reduction ke atas penagih-penagih dadah dan menjalankan program-program pemulihan yang bersifat ekonomi seperti PWB untuk membina keyakinan diri mereka.

Kebakaran di tanah gambut dan kebun kelapa sawit terus mencemari kualiti udara di Kuala Langat. Yang terbaru jerebu ini turut berada di Shah Alam, Puchong, Putrajaya dan kawasan-kawasan bersekitaran pada dua tiga hari yang lepas akibat cuaca yang panas dan kering.

Cadangan saya ialah tuanpunya tanah kebun perlu disyarat untuk menyediakan infrastruktur tertentu untuk memudahkan pemadaman api belukar.

Melebarkan jalan-jalan perkhidmatan di dalam kebun untuk memudahkan kenderaan Bomba keluar masuk.
Menyediakan tangki air dan stor untuk menyimpan peralatan yang diperlukan untuk memadam api.
Memasang sensor atau alat penggera api yang boleh mengesan api dan menghantar mesej kecemasan kepada Smart Selangor Control Centre dan Balai Bomba terdekat untuk tindakan kecemasan.
Bekerjasama dengan syarikat-syarikat pengimejan satelit untuk memantau keadaan hotspot ini supaya lokasi kebakaran boleh dikenalpasti dalam masa yang paling singkat.
Meneliti kaedah-kaedah perladangan yang diamalkan oleh syarikat-syarikat estet besar untuk membersihkan sisa-sisa kebun atau browning daripada tapak kebun.

Saya faham bahawa ianya akan menelan belanja pada pihak tuanpunya tanah tetapi dalam keadaan kritikal, langkah-langkah ini memang diperlukan. Ianya juga boleh membantu mengurangkan kerugian yang bakal dialami oleh tuanpunya tanah ini. Akhir sekali saya ingin mengucapkan tahnian kepada pihak Bomba kerana bertungkus-lumus membantu memadam kebakaran ini daripada merebak.

Begitulah ucapan saya tadi yang bertemakan “Betulkan Yang Biasa dan Biasakan Yang Betul”. Diharap kemenangan Pakatan Harapan pada Mei 2018 yang lepas boleh, sedang dan akan diterjemahkan kepada pencapaian positif untuk rakyat dan negara Malaysia yang tercinta.

Lau Weng San
ADN Banting.

No comments: