Sunday, October 18, 2009

TunkuCAT akan berusaha bersungguh-sungguh untuk Kampung Tunku

Saya berasa amat syukur pada hari ini kerana dapat bertemu dengan Tuan-tuan dan Puan-puan, Saudara-saudari sekalian pada hari ini sempena upacara pembukaan rasmi Pusat Khidmat ADUN Kampung Tunku.
Sudah 18 bulan Pusat Khidmat saya beroperasi di premis lama di Taman Paramount. Berikutan beban kerja dan aktiviti yang semakin meningkat, saya dan pasukan khidmat saya telah pada bulan September yang lalu membuat keputusan untuk mencari satu tempat baru yang lebih besar untuk memberi perkhidmatan yang lebih menyeluruh kepada warga DUN Kampung Tunku khasnya dan Parlimen Petaling Jaya Utara amnya.
Baru-baru ini, negara kita berdepan dengan beberapa isu hangat yang telah menjejaskan hubungan antara kaum. Peristiwa demonstrasi kepala lembu, isu pemindahan kuil Hindu, isu minuman keras, isu SELCAT dan sebagainya sedikit sebanyak telah menyebabkan kesan negatif terhadap kehidupan kita.
Biarpun begitu, saya percaya dan yakin bahawa kebanyakan penduduk di Malaysia dan di Selangor merupakan mereka yang ingin hidup dengan aman damai, di mana setiap kaum dan agama mempunyai kebebasannya untuk menjalankan aktiviti masing-masing tanpa sekatan mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.
Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor ialah sebuah kerajaan yang sanggup mendengar dan menerima pandangan dan idea daripada segenap lapisan masyarakat. Oleh itu, apabila berlaku sesuatu masalah, kami akan mengadakan sesi pendengaran. Kadang-kala ianya diadakan biarpun kami tidak diwajibkan untuk melakukannya di bawah undang-undang. Selepas itu, kami perlu membuat keputusan dan keputusan itu tidak semestinya disambut baik oleh semua biarpun ianya sebenarnya baik untuk semua. Kami tidak menafikan bahawa masih terdapat kekurangan tetapi kami mempunyai keazaman untuk mengatasi kekurangan-kekurangan ini.
Sebagai satu permulaan, Pusat Khidmat ADUN Kampung Tunku akan memainkan satu peranan yang penting dalam usaha untuk membawa dasar-dasar kerajaan Pakatan Rakyat kepada rakyat jelata di DUN Kampung Tunku.
Kami juga akan mengadakan aktiviti-aktiviti yang lebih bersifat ilmiah dan sahsiah untuk ahli-ahli kami, rakan-rakan kami dari Pakatan Rakyat serta penduduk-penduduk DUN Kampung Tunku dengan tujuan memberi satu suntikan pengetahuan kepada semua orang tentang isu-isu semasa yang berlaku di sekitar Negara dan negeri kita.
Begitulah fungsi Pusat Khidmat ADUN Kampung Tunku ini. Saya amat berterima kasih kepada seluruh kakitangan Pusat Khidmat ADUN Kampung Tunku. Sebenarnya, kalau saya bergantung kepada dua orang kakitangan saya, sudah tentu upacara pada hari ini tidak akan menjadi realisasi. Ianya merupakan usaha gigih daripada para sukarelawan di bawah Kampung Tunku Constituency Assistants Team (TunkuCAT) yang sanggup menyumbangkan masa, tenaga malahan wang ringgit untuk menjayakan upacara pada hari ini. Saya juga tidak dapat melupakan sumbangan ikhlas daripada dermawan-dermawan yang telah membantu melengkapkan Pusat Khidmat ini dengan pelbagai peralatan yang diperlukan. Saya tidak dapat melupakan sumbangan daripada persatuan-persatuan penduduk dan badan-badan NGO tempatan.
Saya dan pasukan saya berjanji akan berusaha bersungguh-sungguh untuk Kampung Tunku sejajar dengan prinsip Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (CAT – Competency, Accountability and Transparency).

No comments: