Friday, May 18, 2012

MAKLUMBALAS ARTIKEL “CONDUCT PROBE ON COUNCILLORS, SELANGOR DAP TOLD”

Ruj Kami : ( 55)MBPJ/090100/T/M13 Jld.5 Tarikh : 14 Mei 2012


En. Brian Martin

Star Metro Editor

Star Publication (M) Bhd

Menara Star, 15 Jalan 16/11

46350 Petaling Jaya

Selangor Darul Ehsan


Tuan,


MERUJUK ARTIKEL “CONDUCT PROBE ON COUNCILLORS, SELANGOR DAP TOLD”


Dengan hormatnya merujuk kepada artikel di atas yang ditulis oleh wartawan A. Letchumanan yang disiarkan di akhbar The Star muka surat 10 Nation bertarikh 9 Mei 2012 dan 14 Mei 2012 dan 9 Mei 2012 adalah berkaitan.


2. Pihak Majlis ingin menjelaskan bahawa kandungan artikel tersebut memberi gambaran salah dan palsu tentang fakta-fakta mengenai pelantikan firma guaman untuk mengendalikan kes-kes Majlis.


3. Pelantikan firma guaman daripada panel firma guaman MBPJ adalah dibawah bidang kuasa Datuk Bandar sahaja. Ahli Majlis tidak diberi kuasa untuk melantik mana-mana firma guaman untuk mengendalikan kes Majlis. Unit Undang-undang menasihatkan Datuk Bandar dalam pelantikan tersebut. Jawatankuasa kecil yang terdiri daripada Ahli Majlis dan juga Unit Undang-undang MBPJ menasihatkan pelantikan firma guaman mengikut kepakaran dan kriteria sesuai mengikut dasar Majlis. Panel firma guaman Majlis terdiri daripada pelbagai firma guaman tanpa mengira idealogi politik selagi mereka berdaftar dengan Majlis Peguam Negara dan berkaliber berdasarkan kepada kriteria Majlis. Majlis tidak pernah menyekat mana-mana firma guaman daripada menjadi panel Majlis atas penyertaan parti politik.


4. Dalam artikal yang disiarkan pada 14 Mei 2012 pelantikan firma guaman tersebut adalah betul dan teratur. Sebenarnya kenyataan yang disiarkan pada para akhir artikel tersebut mengenai bayaran RM 55,000 adalah salah dan memberi gambaran yang tidak adil kepada Majlis dan firma guaman tersebut. Ini adalah kerana sebenarnya sebutharga RM 55,000 yang ditawarkan adalah untuk mengendalikan kes di tahap mahkamah tinggi dan juga melaksanakan kerja-kerja yang berkaitan dengan unsur-unsur jenayah dalam kes tersebut.


5. Oleh kerana Majlis hanya memerlukan perwakilan di mahkamah sesyen sahaja untuk kes penghutang pinjaman. Maka firma guaman mengurangkan kadar bayaran yang dikenakan. Majlis tidak pernah membayar RM 55,000 kepada firma guaman tersebut. Perkara ini telah dijelaskan sepenuhnya dalam Mesyuarat Jawatankuasa Audit & Tadbir Urus, Jawatankuasa Kewangan dan Mesyuarat Majlis Penuh selepas perkara ini dibangkitkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kewangan yang terdiri daripada pelbagai pihak, termasuk Ahli-ahli Majlis.


6. Kenyataan berkenaan kes telah ditawarkan kepada firma guaman PKR telah diambil alih oleh firma guaman DAP dalam kedua-dua artikel tersebut adalah tidak benar dan tidak berasas sekali. Ini kerana Majlis memperuntukkan pengendalian kes kepada panel firma guaman bukan berdasarkan hubungan politik tetapi adalah dengan mengambilkira kriteria-kriteria berikut::-


a. kepakaran firma guaman dalam bidang undang-undang tersebut; b. pengalaman dan kekananan peguam dalam firma guaman tersebut yang akan mengendalikan kes; c. prestasi memenangi kes; d. fee yang dikenakan berdasarkan piawaian fee Majlis.


Untuk kes ini Majlis telah pun menang.


7. Sehubungan dengan itu Majlis meminta supaya jawapan ini disiarkan sepenuhnya dalam akhbar tuan bagi menjelaskan perkara tersebut supaya tidak memberikan gambaran yang palsu kepada orang ramai. Pihak Majlis berhak untuk mengambil tindakan mengikut undang-undang sekiranya apa-apa laporan atau kenyataan yang disiarkan adalah palsu dan tidak benar.


Sekian, terima kasih.


“KEJUJURAN DAN KETEKUNAN”


Saya yang menurut perintah,


( ZAINUN BT. ZAKARIA )

Pegawai Perhubungan Awam

Bahagian Perhubungan Awam & Korporat

b.p Datuk Bandar,

Majlis Bandaraya Petaling Jaya


Published with Blogger-droid v2.0.4
Post a Comment