Saturday, September 27, 2014

Lupakan sengketa lama dan tumpukan sepenuh perhatian demi melaksanakan janji Pakatan Rakyat kepada rakyat

Dengan pengumuman barisan EXCO yang baru di bawah YAB Mohamed Azmin bin Ali semalam, maka pergolakan politik yang telah membelenggu rakyat Selangor dikira telah berakhir.

Bagi mereka yang baru dipilih ke dalam barisan EXCO, syabas dan tahniah diucapkan. Diharap mereka yang dilantik boleh membawa hasrat dan aspirasi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) ke dalam EXCO dan menerjemahkannya ke dalam dasar Kerajaan.

Bagi mereka yang terkeluar, tidak perlulah berputus asa kerana tugas sebagai ADUN sama penting dan mencabar. Anda masih boleh memainkan peranan yang lebih penting, iaitu untuk memantau dan menyemak dasar-dasar kerajaan melalui beberapa Jawatankuasa Pilihan yang telah dibentuk setahun yang lalu.

Bagi rakan-rakan seperjuangan saya di dalam DAP, PAS dan PKR, harus diingatkan bahawa tugas kita sebagai wakil rakyat bukan sahaja mewakili parti atau pengundi di kawasan masing-masing di DUN Selangor, malahan kita juga mewakili rakyat Selangor yang tidak lama dahulu memberi sokongan padu kepada Pakatan Rakyat (PR) untuk terus menerajui kerajaan Selangor.

Walaupun kami bertanding atas tiket parti masing-masing, tetapi 52% pengundi Malaysia yang mengundi kita kerana dasar dan manifesto bersama PR. Maka, suka atau tidak, mahu atau tidak, rakyat telah memilih PR dan kami sebagai wakil rakyat PR harus terus memikul tanggungjawab ini sehingga DUN dibubarkan empat tahun kemudian nanti.

Maka dengan itu, saya melafazkan ribuan malah jutaan terima kasih kepada ADUN Hulu Kelang, YB Saari Sungib dan ADUN Morib, YB Hasnul Baharuddin khususnya atas sokongan mereka terhadap calon MB daripada PKR, YB Dato’ Dr Wan Azizah binti Wan Ismail merangkap ADUN Kajang.

Walaupun YB Dato’ Dr Wan Azizah binti Wan Ismail akhirnya tidak menjadi Dato’ Menteri Besar Selangor, semangat setiakawan dan semangat kental kedua-dua orang wakil rakyat PAS yang tidak mahu membelakangkan hasrat rakyat amat dihargai dan perlu dipuji.

Sekiranya sokongan tidak diberi kepada YB Dato’ Dr Wan Azizah binti Wan Ismail sebagai MB, ketidaktentuan akan berlaku dan ini mungkin akan menyebabkan kerajaan PR di Selangor akan tumbang.

Ini berikutan pengetahuan umum dan pengalaman lalu bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) sentiasa mengintai segala peluang untuk merampas kerajaan Selangor daripada tangan PR melalui pelbagai tipu helah dan muslihat untuk melemahkan PR dan memisahkan parti-parti komponen PR, termasuk cadangan penubuhan kerajaan perpaduan (UG) dengan mana-mana parti dalam PR.

Saya memohon dan merayu kepada rakan-rakan dalam Pas agar dapat melihat gambaran yang lebih besar ini. Seperti pepatah Melayu berbunyi, kalau kerbau dipegang talinya, maka manusia dipegang janjinya. Janji kita sebagai wakil rakyat yang lebih besar adalah terhadap rakyat berbanding dengan janji kepada parti kita masing-masing. Sememangnya, rakyat tidak mahu kerajaan PR di Selangor jatuh dan ini ialah hasrat rakyat yang tidak boleh dibelakangkan.

Kita harus juga mengambil ikhtibar daripada kekalahan rakan kita dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di N01 Pengkalan Kubor, Kelantan kelmarin. Menang kalah memang asam garam politik tetapi dalam PRK ini, terdapat di antara kita yang terlampau yakin dengan kemenangan sehingga tersilap langkah.

Kita harus beringat bahawa dalam sejarah politik di Malaysia, tiada satu parti politik sehingga sekarang yang boleh menewaskan Perikatan atau BN dalam mana-mana PRU.

Realitinya ialah sekiranya BN perlu ditewaskan, maka setiap satu parti pembangkang di Malaysia perlu bergabung bersama untuk melawan musuh politik yang sama iaitu BN. Dalam terminologi PAS, ianya dipanggil “Tahaluf Siyasi”

Pergabungan politik ini memberi kebaikan khususnya kepada PAS. Walaupun kerusi Parlimen PAS merosot sedikit daripada 24 pada PRU 2008 ke 21 pada PRU 2013, PAS masih dalam kedudukan yang jauh lebih baik berbanding zaman silam apabila PAS berlawan sendiri.

DAP keluar daripada Barisan Alternatif pada tahun 2001. DAP menang 10 kerusi dalam PRU 1999 sebelum itu dan bilangan ini bertambah sedikit ke 12 kerusi dalam PRU 2004 di mana DAP melawan BN secara persendirian. Jadi DAP mampu setakat menambah 2 kerusi manakala BN menguasai lebih 90% kerusi Dewan Rakyat dalam PRU 2004. Semuanya berubah pada tahun 2008 dan 2013 apabila DAP ber”tahaluf siyasi” dengan PAS dan PKR.

Kini semuanya sudah berakhir. Justeru itu, saya menyeru rakan-rakan seperjuangan saya, khususnya mereka dalam PAS agar melupakan sahaja segala sengketa yang lama dan tumpukan sepenuh perhatian demi melaksanakan janji Pakatan Rakyat kepada rakyat. Masa agak mencemburu kita kerana penggal kita sudah kurang daripada empat tahun.

Lau Weng San
Post a Comment