Thursday, March 10, 2016

Cadangan Khairuddin Aman Razali at-Takiri bahawa fungsi sebenar wanita di rumah sebagai isteri dan ibu adalah tidak betul

Kenyataan Media ADUN DAP untuk kawasan Kampung Tunku, Selangor, Lau Weng San pada 17 Februari 2016 di Petaling Jaya:

Kenyataan media Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri, Ketua Penerangan Dewan Ulamak Pas Pusat pada 8 Mac 2016 yang menyentuh tentang pemulihan institusi kekeluargaan melalui penyediaan dan pembangunan ruang dan suasana yang kondusif kepada setiap pasangan khususnya kepada golongan isteri agar dapat menjalankan fungsinya yang sebenar di rumah sebagai isteri dan ibu adalah tidak betul.

Institusi kekeluargaan di Malaysia, sama ada bukan Muslim atau Muslim, memang sentiasa menghadapi pelbagai cabaran sosial dan ekonomi sehingga keperluan untuk pasangan suami dan isteri untuk bekerja bagi menampung keperluan ekonomi keluarga telah menjadi fenomena biasa dewasa kini.

Biarpun begitu, statistik menunjukkan bahawa peratusan wanita untuk bekerja semula di negara kita masih di tahap yang amat rendah, iaitu tidak sampai 50%, berbanding dengan negara-negara sedang membangun yang lein, khususnya negara-negara Asean seperti Thailand, Filipina dan Indonesia.

Fenomena ini adalah tidak sihat memandangkan lebih separuh daripada graduan IPT di Malaysia terdiri daripada kaum wanita. Ini menunjukkan bahawa kerajaan telah membelanjakan lebih separuh daripada sumber kewangannya untuk membekalkan pendidikan tinggi kepada kaum wanita tetapi mereka tidak dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan produktiviti Malaysia.

Antara masalah-masalah yang dihadapi oleh kaum wanita, khususnya kaum wanita yang berpendidikan tinggi dan berkebolehan ialah layanan yang tidak adil di tempat kerja, sama ada secara tersirat atau tersurat, termasuk gaji, peluang naik pangkat yang tidak saksama (glass ceiling), kekurangan tempat asuhan dan didikan anak-anak kecil dan bayi, kekurangan bilik laktasi serta peruntukan bajet yang tidak sensitive kepada keperluan gender wanita dan sabagainya.


Maka kenyataan Khairuddin itu hanya benar separuh sahaja, iaitu memang benar kerajaan perlu menyediakan ruang dan suasana yang kondusif kepada setiap pasangan tetapi fokusnya bukan untuk mengehadkan peranaan wanita di rumah dan ruang dapur sahaja. Sebaliknya ruang dan suasana yang kondusif diperlukan untuk membantu wanita mengimbangi peranan sebagai pekerja, selain daripada ibu dan isteri di sesebuah rumahtangga.

Perkara ini ada kebenarannya khususnya di kalangan kakitangan awam yang rata-ratanya terdiri daripada kaum wanita Muslim Melayu. Kalau mereka perlu berhenti bekerja dan menjadi suri rumahtangga, bagaimana mereka boleh menyara keluarga mereka?

Ramai keluarga sekarang memerlukan kedua-dua ibu dan bapa untuk bekerja baru boleh menampung perbelanjaan keluarga, apatah lagi kalau mereka beranak melebihi tiga orang? Sekiranya mereka berhenti bekerja, bagaimana jentera kerajaan boleh berfungsi? Adakah kerajaan mempunyai kakitangan lelaki yang mencukupi untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan kaum wanita? Saya kira cadangan ini akan mendatangkan masalah kepada sesetengah wakil rakyat PAS sendiri di mana isteri mereka mungkin perlu atau sedang bekerja bagi membantu menampung keperluan keluarga, apatah lagi kalau beliau beristeri lebih daripada seorang.

Maka cadangan Khairuddin ini adalah tidak praktikal, malahan ianya akan merumikkan lagi masalah sosial dan ekonomi yang semakin melanda institusi kekeluargaan kita.

Lau Weng San

ADUN Kampung Tunku

No comments: