Wednesday, March 30, 2016

Ucapan Membahas Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan DYMM Tuanku Sultan Selangor oleh ADUN Kampung Tunku Lau Weng San pada 31 Mac 2016 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam


Pendahuluan
1.    Salam Sejahtera dan Salam Ubah diucapkan kepada semua ahli Yang Berhormat. Terima kasih kepada Tuan Speaker kerana memberi peluang kepada Kampung Tunku untuk membahas Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Tuanku Sultan Selangor.
2.    Laporan Bank Negara Malaysia Tahun 2015 telah memberi gambaran awal terhadap cabaran yang bakal dihadapi oleh Malaysia pada tahun 2016, seperti harga komoditi yang rendah, kadar inflasi yang meningkat disebabkan oleh kenaikan tol, pelaksanaan cukai GST dan susut nilai Ringgit Malaysia serta keadaan ekenomi yang tidak menentu di pasaran antarabangsa.
3.    Hutang luar negeri berjumlah RM833.7 billion, bersamaan dengan USD192.2 bilion atau 72.1% daripada KDNK pada akhir tahun 2015 (akhir tahun 2014: RM747.5 bilion, bersamaan dengan USD211.8 bilion atau 67.5% daripada KDNK). Peningkatan hutang luar negeri disebabkan terutamanya oleh kesan penilaian daripada penyusutan nilai ringgit berbanding dengan kebanyakan mata wang pada tahun 2015.
4.    Kemungkinan Donald Trump untuk memenangi Pilihanraya Presiden Amerika Syarikat membimbangkan kerana pendiriannya yang agak kanan akan mencetuskan kontroversi dan konflik yang lebih besar di seluruh dunia.
5.    Selain itu, ancaman keganasan oleh puak pelampau turut menjejas kestabilan politik dan ekonomi di seluruh dunia. Benua Eropah dilanda krisis pelarian akibat keganasan yang berterusan di Timur Tengah. Kegiatan puak pelampau agama perlu dikekang di peringkat akar umbi. Di sini kerajaan Selangor mempunyai peranan yang besar kerana hal ehwal agama Islam adalah di bawah bidang tugas negeri.
6.    Sebagai sebahagian daripada Persekutuan Malaysia, negeri Selangor sudah tentu tidak boleh terlepas daripada iklim sosio-ekonomi sedunia yang semakin merundung.
7.    Titah Ucapan DYMM Sultan Selangor semalam pernah menyebut tentang masalah rasuah. Sebenarnya, salah satu ubat yang berkesan untuk mengatasi masalah ini ialah meningkatkan ketelusan kerajaan. Ahli ekonomi Amartya Sen juga pernah berkata bahawa keterbukaan sesebuah negara berkaitan langsung dengan kecemerlangan ekonominya. Selain menambahkan akses orang ramai terhadap maklumat kerajaan, pengiystiharan aset juga diperlukan untuk membendung masalah rasuah. Kali terakhir ini dilakukan di Selangor adalah pada tahun 2010. Maka sekarang sudah sampai masanya bukan sahaja untuk mengiystiharkan aset semata-mata tetapi memastikan sistem pengiystiharan aset ini setanding dengan negara barat untuk membuktikan komitmen kerajaan terhadap keterbukaan kita.


Kegawatan ekonomi: sediakan payung sebelum hujan
8.    Rakyat Selangor bangga bahawa dalam keadaan yang tidak menentu ini, rizab kerajaan semakin meningkat, iaitu RM3.4 bilion.
9.    Sememangnya, dasar berjimat-cermat harus dijadikan amalan kerajaan dalam pengurusan sumber kekayaannya. Saya memuji kesungguhan, ketegasan dan keberanian kerajaan Selangor untuk menutup ketirisan apabila kerajaan mengurangkan perbelanjaan makan minum yang tidak diperlukan. Dasar ini mesti dirangka dengan menyeluruh dan tidak terhad kepada perbelanjaan makan minum sahaja. (Contoh: baju korporat, buku diari).
10. Langkah murni ini tidak boleh disalah tafsir bahawa ekonomi Selangor bermasalah. Seperti pepatah berbunyi, sediakan payung sebelum hujan, sebenarnya Selangor tidak perlu melakukan ini memandangkan kedudukan ekonomi Selangor masih kukuh, tetapi adalah baik Selangor melakukannya kerana akhirnya setiap sen yang dijimat itu boleh dibelanjakan ke atas rakyat.
11. Saya juga tertarik dengan tuduhan Noh Omar pada bulan lepas bahawa kerajaan Selangor sengaja mengagalkan projek Kerajaan Persekutuan di Selangor. Saya tidak pasti sama ada tuduhan ini berasas atau tidak tetapi saya mencabar semua ADUN BN Selangor untuk menyenaraikan semua projek dan Persekutuan di Selangor yang disabotaj kerajaan Selangor. Tanpa senarai ini, tuduhan-tuduhan Noh Omar ini hanyalah retorik kosong.

Pelaburan dan e-dagang
12. Kita berasa syabas kerana dalam usaha untuk mempelbagaikan sumber ekonomi kita, Selangor telah memulakan langkah untuk membangunkan infrastruktur e-dagang melalui SITEC.
13. Biarpun begitu, kita tidak boleh melalaikan sektor pembuatan, khususnya hubungan perdagangan kita dengan rakan-rakan perdagangan tradisi seperti Taiwan, Singapura, United Kingdom dan Jerman. Di kebanyakan negara ini, sektor pembuatan masih menyumbang kepada pembangunan ekonomi mereka. Jenama-jenama terkenal sedunia seperti Rolls-Royce, Volkswagen, Mercedes-Benz, Siemens, BASF, Land Rover, Audi, Opel dan sebagainya masih berpengkalan di negara asal mereka. Dengan berbekalkan teknologi yang canggih serta budaya penyelidikan yang mantap, mereka masih menghasilkan barang bermutu tinggi di dalam negara asalnya.
14. Bagaimana Selangor boleh bersaing dengan mereka? Selangor tidak perlu dan tidak berupaya untuk bersaing dengan mereka tetapi Selangor boleh menempatkan dirinya sebagai pusat kepada syarikat-syarikat ini untuk bertapak di rantau Asia Tenggara dan Asia Pasifik memandangkan sebahagian syarikat ini pernah dan sedang melabur di Selangor.
15. Maka kita gembira apabila syarikat UMW ingin mendirikan kilang di Serendah untuk membekalkan komponen enjin kapal terbang untuk Rolls-Royce. Ramai tidak tahu bahawa Malaysia menghasilkan 40% daripada komponen industri aero angkasa sedunia. Sudah tentu potensi Selangor tidak hanya sekadar kebuk kipas sahaja. Invest Selangor memainkan peranan proaktif dan agresif untuk merangkaikan usahawan-usahawan IKS di Malaysia dengan pelabur dari dalam dan luar negara supaya mereka boleh bekerjasama dan menghasilkan lebih banyak komponen yang diperlukan oleh syarikat-syarikat pembuatan gergasi sedunia seperti Rolls-Royce.
16. Sebagai contoh, industri kecil dan sederhana (IKS) di Taiwan mashyur sebagai pengeluar komponen kepada gergasi-gergasi pembuatan antarabangsa ini. Baru-baru saya sempat berbincang dengan kawan-kawan di Kedutana Republik Cina (Taiwan) ke Malaysia dan mereka amat berharap YAB Menteri Besar sebagai ketua kerajaan boleh mengetuai rombongan ke Taiwan untuk menjalin hubungan perdagangan yang lebih intim antara Taiwan dengan Selangor. (Taiwan bukan negara penandatangan TPPA).

Kenaikan kos sara hidup
17. Rakyat Selangor terus dibelenggu masalah kenaikan tol. KPS memegang 20% saham dalam Syarikat Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Holdings Sdn. Bhd., iaitu pemegang konsesi Lebuhraya SPRINT dan Ahli Parlimen Subang, YB Sivarasa Rasiah ialah seorang daripada tiga orang Pengarah syarikat berkenaan. Beliau dilantik sebagai wakil KPS dalam SPRINT.
18. Maka kerajaan Selangor harus mengoptimakan kelebihannya, iaitu sebarang kenaikan tol perlu dimaklumkan kepada kerajaan Selangor melalui wakilnya dalam Lembaga Pengarah, dan seboleh-bolehnya kerajaan Selangor diberi kuasa veto dalam keputusan ini. Mungkinkah ini berlaku walaupun KPS hanya pemegang saham minoriti?
19. Saya tiada jawapan tetapi Kerajaan Selangor pernah menggunakan pegangan ekuitinya untuk mengurangkan beban rakyat akibat kutipan tol lebuhraya, iaitu kes pembukaan Bandar Mahkota Cheras di Lebuhraya Cheras-Kajang pada tahun 2008 di mana KPS mempunyai pegangan saham sebanyak 20% dalam Taliswork Corporation Berhad (TCB) yang memegang 55% saham dalam Cerah Sama Sdn Bhd, pemegang konsesi Lebuhraya Kajang-Cheras.
20. KPS sebagai pemegang saham juga boleh mengemukakan resolusi dalam Mesyuarat Agung Tahunan syarikat agar semua kenaikan tol pada masa depan mesti dirujuk terlebih dahulu kepada Lembaga Pengarah sebelum dikuatkuasa. Perkara ini adalah diperuntukkan dalam Seksyen 145 Akta Syarikat. Sebenarnya, Kerajaan Selangor boleh mempertimbangkan cara ini untuk menerap sebarang dasar kerajaan Selangor ke dalam pengurusan syarikat yang dipegangnya tetapi rundingan perlu diadakan dengan pemegang-pemegang saham yang lain supaya ianya boleh diluluskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan.

Bas percuma dan rumah Selangorku
21. Apabila tambang pengangkutan awam dinaikkan, rakyat Selangor bernafas lega apabila laluan bus percuma disediakan. Rakyat DUN Kampung Tunku berterima kasih kepada Kerajaan Selangor dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya kerana akhirnya bas PJ04 telah memasuki kawasan DUN Kampung Tunku.
22. Pada bulan lalu, saya telah mengambil kesempatan ini untuk berlegar-legar dengan bas ini. Perkhidmatannya memuaskan dari segi ketepatan masa. Saya juga mengguna perkhidmatan bas berbayar RapidKL. Apa yang perlu ditambah baik ialah infrastruktur yang lebih mesra OKU dan mesra pejalan kaki untuk mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap sistem pengangkutan awam kita.
23. Pemilikan rumah idaman merupakan impian setiap rakyat Selangor. Saya memuji usaha gigih kerajaan untuk membangunkan Rumah Selangorku untuk memenuhi keperluan rakyat Selangor terhadap rumah. Biarpun begitu, saya sedikit terkilan apabila terdapat kuota kaum yang tidak seimbang dalam pengagihan rumah Selangorku.
24. Sebagai satu projek sosial, saya tidak menafikan bahawa memang kuota kaum perlu disediakan sebagai usaha untuk meraihkan kepelbagaian. Biarpun begitu, matlamat murni ini tidak akan kesampaian kalau ada kuota kaum setinggi 80%. Oleh sebab itu, saya ingin menarik perhatian Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor untuk mempertimbangkan semula dasar sebegini kerana seelok-eloknya kuota sesuatu kaum itu dihadkan tidak melebihi separuh supaya kita dapat membina sebuah komuniti yang majmuk.

Pemerkasaan wanita
25. Semalam Syarikat Digi Telecommunications mengumumkan penawaran cuti bersalin selama enam bulan kepada kakitangan wanitanya untuk meraih kepelbagaian dan mengekalkan bakat di kalangan kaum pekerja wanitanya.
26. Maka sudah sampai masanya kerajaan merangka dasar-dasar yang lebih bermakna untuk memperkasakan kaum wanita di Selangor. Antara masalah yang dihadapi oleh kaum wanita ialah diskriminasi sama ada secara tersirat atau tersurat seperti gangguan seksual, ancaman rogol, gaji yang tidak sama, peluang naik pangkat yang kurang, bayaran yuran taska dan tadika melampung tinggi serta stigma kononnya produktiviti seorang ibu mengandung akan merosot. Senarai ini adalah tidak terhingga. (Contoh terbaru: Selebriti terkemuka Daphne Iking terpaksa merahsiakan penghamilannya agar tidak didiskriminasi)
27. Pusat Wanita Berdaya yang ditubuhkan di kesemua 56 DUN di Selangor tidak boleh sekadar mengadakan program-program kosmestik seperti program memasak. Memang tidak boleh dinafikan bahawa program-program riadah ini diperlukan tetapi apa yang lebih diperlukan ialah bantuan kerajaan dan peruntukan undang-undang untuk melindungi dan membantu kaum wanita.
28. Dalam isu pendidikan, kerajaan semasa membentangkan Belanjawan 2015 pernah mengumumkan akan memperuntukkan RM5 juta sebagai biasiswa pasca ijazah. Saya telah membangkitkan perkara ini dalam sidang yang lepas. Dimaklum bahawa kriteria-kriteria permohonan masih belum ditetapkan. Setengah tahun sudah berlalu, maka saya sekali lagi bertepuk dada, bertanya selera, apakah perkembangan terkini?

Isu-isu Pihak Berkuasa Tempatan
29. Saya difahamkan elaun Ahli Majlis di Pulau Pinang dan Johor telah dinaikkan. Elaun Ahli Majlis di Selangor patut diselaraskan lagi untuk memberi perkhidmatan yang lebih bagus kepada para pembayar cukai. Kita harus beringat bahawa gaji yang rendah akan menyebabkan rasuah berleluasa. Maka saya ingin mencadangkan kepada kerajaan agar menaikkan elaun Ahli Majlis, khususnya Ahli-ahli Majlis di kawasan Bandaraya dan Perbandaran.
30. Pihak Berkuasa Tempatan seringkali menghadapi masalah dengan kontraktor yang gagal menjalankan tugasnya mengikut jadual yang telah ditetapkan. Sekiranya punca kelewatan disebabkan oleh variation order, maka akibatnya, kerajaan terpaksa membayar wang tambahan. Selain itu, rakyat terpaksa menunggu masa yang lebih lama untuk sesuatu projek disiapkan. Perkara ini baru-baru ini berlaku di DUN Kampung Tunku, di mana sebuah kontraktor kelas C, iaitu Mahkota Atap Enterprise diberi kontrak untuk menaiktaraf sebuah longkang monsoon. Projek bermula pada bulan Ogos 2014 dijangka siap pada bulan Disember 2015 tetapi projek ini masih belum selesai sehingga sekarang.
31. Antara kepincangan yang berlaku ialah, mesin yang digunakan tidak memenuhi keadaan tanah di situ, soil test tidak dijalankan sebelum kerja bermula. Kontraktor telah merosakan semua paip pembetungan IWK dan proses pembaikpulihan masih dijalankan. Kecuaian kontraktor telah menyebabkan sesetengah rumah dimasuki air semasa musim tengkujuh. Sehingga sekarang, kontraktor masih belum membincang isu tentang pampasan. Saya amat khuatir sama ada kontraktor ini mempunyai insurans tanggungan awam yang masih sah.
32. Sesuatu projek infrastruktur mesti dirancang dengan teliti sebelum bermula. Ianya juga perlu dipantau secara berterusan supaya ianya disiapkan dalam masa dan peruntukan kewangan yang telah ditetapkan. Semua ini perlu dilakukan oleh pegawai dan kontraktor yang bertauliah, berpengalaman dan kompeten. Saya berterima kasih kepada Datuk Bandar kerana sudi campur tangan dan menangani masalah ini. Apa yang malang ialah kesemua yang disebut di atas tidak berlaku dalam insiden ini.
33. Selangor sebagai sebuah negeri yang meraihkan kepelbagaian harus peka kepada keperluan dan sensitiviti masyarakat berbilang kaum dan agama. Malaysia dan Selangor mempunyai garis panduan yang peruntukan undang-undang yang telus dalam memproses lesen menjual minuman keras. Syarikat Oasis Wine House di PJ21 Jalan SS 3/39 telah mengemukakan permohonan lesen perniagaan kepada pihak PBT dan Lembaga Cukai Eksais Daerah Petaling. Pemohon telah mengemukakan semua dokumen yang diperlukan, termasuk surat daripada Persatuan Penduduk, Kuil dan Madrasah yang berdekatan tetapi lesen masih tidak diproses hampir dua tahun disebabkan oleh bantahan seorang Ahli Majlis atas sebab yang tidak diketahui. Adakah undang-undang persendirian seseorang individu mengtasi undang-undang bertulis yang sedia ada?
34. Rakyat Selangor sudah jemu apabila membincang tentang masalah sampah. Sudah sampai masanya untuk kerajaan mengambil tindakan dengan mengeluarkan kompaun maksimum kepada pesalah. Jangan kita ingat pesalah itu semestinya warga asing. Saya tidak terkejut kalau didapati bahawa rakyat Selangor yang suka menjadi kutu sampah. Baru-baru ini saya telah memasang CCTV di sesebuah hotspot dan saya amat terkejut bahawa sebuah syarikat yang dikenali ramai, iaitu 99 Speedmart yang menjadi kutu sampah di kawasan saya.
35. Saya juga ingin menarik perhatian kepada cadangan pembelian tanah di Daerah Kuala Selangor oleh Eco World yang menjadi isu tidak lama dahulu. Urus niaga tanah yang terlibat mencecah RM1.18 bilion, melibatkan empat orang pemilik tanah dan sejumlah 26 bidang tanah seluas 2200 ekar. GDV mencecah RM15 bilion untuk tempoh 15 tahun yang akan datang. Sudah pasti Eco World sebagai sebuah syarikat hartanah yang berprofil tinggi telah membuat kerja rumah yang mencukupi sebelum membentangkan cadangan ini kepada pemegang saham mereka. Saya memohon kerajaan untuk memberi perhatian kepada perkara ini dan memastikan bahawa kerajaan Selangor tidak lagi kehilangan tanah kepada pihak swasta akibat legacy masa silam.
36. Saya juga ingin mencadang supaya kerajaan Selangor terus berusaha untuk memperkayakan bank tanahnya. Baru-baru ini, syarikat British America Tobacco ingin menjual tanah seluas 500,000 kaki persegi di Seksyen 19, Petaling Jaya. Saya bercadang agar kerajaan melalui PKNS agar tidak ketinggalan untuk memastikan tanah ini kembali ke pangkuan kerajaan. Banyak kelebihan kalau ini berlaku kerana kerajaan boleh menggunakan sebahagian daripada tanah ini untuk membangunkan rumah mampu milik.
37. Akhir sekali, memandangkan Air Selangor telahpun mengambil alih pengurusan air di Selangor, maka saya ingin memohon agar skop kerja JPK-SAS diperluaskan supaya ianya boleh memantau urusan rawatan dan bekalan air terawatt di seluruh Selangor.

Sekian, terima kasih.
Lau Weng San

No comments: