Friday, March 18, 2016

Mengecam pihak tidak bertanggungjawab mengugut penjawat awam Selangor

Kenyataan Media ADUN DAP untuk kawasan Kampung Tunku, Selangor, Lau Weng San pada 18 Mac 2016 di Petaling Jaya:

Saya dikejutkan dengan peristiwa yang berlaku di rumah seorang Penolong Pegawai Daerah Hulu Langat di Bangi pagi semalam di mana rumah beliau dilemparkan tiga bom botol atau Molotov cocktail.

Saya mengecam kejadian ini dan saya melihat ini sebagai satu ugutan terhadap penjawat awam kerana barangkali dalam menjalankan tugas mereka sebagai penjawat awam atau penguatkuasa, mereka mungkin telah menyinggung perasaan golongan yang berkepentingan yang menggunakan taktik licik ini untuk menakut-nakutkan pegawai kita.

Tindakan ini pasti akan menjejaskan semangat pegawai-pegawai kita dan yang lain kerana mereka tidak pasti sama ada perkara yang sama juga akan berlaku ke atas diri dan ahli-ahli keluarga tersayang mereka, walaupun mereka hanya menjalankan tugas mereka dengan jujur, sebagaimana yang dituntut oleh undang-undang.

Saya membidas kejadian ini dan menyeru seluruh lapisan masyarakat untuk turut membidas tindakan ini. Sekiranya masyarakat kita memilih untuk mendiamkan diri, maka mereka yang tidak bertanggungjawab ini akan ingat mereka boleh terus bertindak melulu pada masa depan.

Lau Weng San
ADUN Kampung Tunku
Post a Comment