TEKS UCAPAN ALU-ALUAN YANG BERHORMAT SPEAKER MAJLIS SANTAPAN MALAM SEMPENA ISTIADAT PEMBUKAAN PERSIDANGAN PENGGAL KETIGA DEWAN NEGERI SELANGOR YANG KELIMA BELAS TAHUN 2025 DI GRAND BALLROOM, HOTEL CONCORDE, SHAH ALAM PADA 18 FEBRUARI 2025
Menghadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.
Menghadap Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.
Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik mohon diampun.
Burung Merpati Terbangnya Tinggi,
Singgah Sebentar Di Hujung Dahan.
Tuanku Berangkat Bersama Permaisuri,
Mencemar Duli Ke Majlis Santapan.
Patik dengan penuh hormat dan takzimnya, merafak sembah dan menjunjung setinggi-tinggi kasih, di atas limpah perkenan Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku berkenan mencemar Duli berangkat ke Istiadat Perasmian Pembukaan Penggal Ketiga, Persidangan Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas pada pagi ini dan seterusnya berangkat hadir ke Majlis Santapan pada malam ini.
Segala titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dalam perasmian tersebut akan dihayati dan dibahaskan dengan penuh perhatian oleh Yang Berhormat Ahli Dewan Negeri sekalian. Keprihatinan Duli Yang Maha Mulia Tuanku terhadap pelbagai isu berkaitan kesejahteraan rakyat Selangor, merangkumi semua lapisan masyarakat, akan sentiasa menjadi keutamaan bagi patik dan ahli-ahli Yang Berhormat sekalian.
Patik juga ingin menyampaikan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak khususnya Y.A.B. Dato’ Menteri Besar Selangor, Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri, pegawai Kerajaan, Setiausaha Dewan dan urus setia yang telah terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan Persidangan Dewan kali ini.
Ampun Tuanku,
Pohon Kelapa Tinggi Menjulang,
Daunnya Melambai Ditiup Bayu.
Negeri Selangor Negeri Gemilang,
Menjunjung Kasih Titah Tuanku.
Patik bersyukur kerana Dewan Negeri Selangor dapat sekali lagi mengadakan dan meraikan persidangan pembukaan kedua yang penuh dengan adat istiadat pasca Pilihan Raya Negeri Yang Ke-15 pada malam ini, bersama-sama semua barisan Ahli Dewan Negeri Selangor. Patik berharap kestabilan kerajaan ini sentiasa dilindungi demi kesejahteraan seluruh rakyat Selangor.
Patik ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Berhormat Kuala Kubu Bharu, YB Puan Pang Sock Tao, atas kejayaan cemerlang beliau dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei 2024 yang lalu. Beliau juga merupakan Ahli Dewan Negeri paling muda dalam kalangan Ahli Dewan dan mengekalkan peratusan perwakilan wanita di Dewan Negeri Selangor. Sebagai sebuah negeri yang terkemuka dan maju, keterlibatan golongan muda dan wanita dalam badan legislatif adalah aspek yang amat penting dan perlu diberi perhatian serius. Ini seiring dengan perkembangan dinamik politik antarabangsa yang semakin menuntut perwakilan lebih inklusif dan progresif.
Sepanjang patik menjadi Speaker Dewan Yang Mulia ini, patik menerima kerjasama semua Ahli Dewan dengan sangat baik dan di kesempatan ini ingin patik mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ribuan terima kasih kepada semua Ahli Dewan baik dari barisan kerajaan, pembangkang dan bebas yang aktif terlibat dalam sesi perbahasan di setiap persidangan Dewan dan semangat ini yang sangat diperlukan untuk menyemarakkan institusi Dewan disamping memastikan kestabilan politik yang menjamin medium semak dan imbang agar Kerajaan Selangor dapat terus berkhidmat kepada rakyat Selangor dengan sebaik mungkin.
Sepanjang tahun 2024, di bawah pimpinan Kerajaan Perpaduan yang diketuai oleh Yang Amat Berhormat Dato' Menteri Besar Selangor, YAB Dato' Seri Haji Amirudin bin Shari, patik diberikan peluang yang sangat luas untuk meneruskan agenda pembaharuan dan reformasi institusi Dewan Negeri Selangor. Pembaharuan yang dimulakan sejak 2008 ini terus berkembang, dengan fokus kepada penambahbaikan dalam pelbagai aspek, antaranya merakyatkan Dewan Negeri Selangor, memperkukuhkan Peraturan-peraturan Tetap, dan memperhalusi proses perjalanan persidangan Dewan. Pencapaian ini hanya mungkin melalui kerjasama erat semua Yang Berhormat Ahli Dewan Negeri, yang berpegang pada satu matlamat utama iaitu memastikan Badan Legislatif Negeri Selangor terus berada di puncak kecemerlangan dan menjadi contoh teladan bukan sahaja di dalam negara, tetapi juga di peringkat antarabangsa.
Antara pembaharuan dan penambahbaikan yang telah dan akan dilaksanakan pada penggal Dewan yang ke-lima belas (15) ini adalah:
Pertama, Melalui Jawatankuasa Peraturan Tetap, patik dan rakan-rakan ahli jawatankuasa telah mengadakan beberapa mesyuarat untuk memastikan Peraturan-peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor terus diperhalusi dan ditambah baik dari semasa ke semasa. Ini adalah satu proses berpanjangan bagi memastikan urusan perjalanan Dewan berjalan lancar, sesuai dengan perkembangan dan keperluan semasa. Antara pindaan yang sedang diperhalusi adalah berkaitan pembentukan Jawatankuasa Pemilih. Jawatankuasa juga telah merujuk kepada amalan yang dilaksanakan di Parlimen sebagai panduan dalam pembentukan jawatankuasa tersebut.
Perkembangan dalam usaha meminda Peraturan Tetap berkaitan pembentukan Jawatankuasa Pemilih ini adalah satu petanda positif bagi kemajuan Dewan Negeri Selangor dalam usaha reformasi Badan Legislatif. Ini bagi memastikan fungsi dan peranan Jawatankuasa Pilihan serta Jawatankuasa Pilihan Khas yang termaktub di bawah Peraturan Tetap dapat dilaksanakan dengan sebaiknya, seterusnya memartabatkan semak dan imbang yang sebenar dalam sistem demokrasi yang diamalkan di negeri Selangor.
Kedua, ingin patik kongsikan beberapa pembaharuan dalam pelaksanaan program-program merakyatkan Dewan Negeri Selangor iaitu program-program outreach yang juga merupakan salah satu agenda pembaharuan utama untuk dilaksanakan pada penggal Dewan yang ke-lima belas (15) ini.
Patik bersama Pejabat Dewan Negeri Selangor telah mengadakan Program ADUN Muda pada 27 dan 28 Mei 2024 dengan kerjasama Rakan Muda (Rakan Demokrasi) dibawah Kementerian Belia dan Sukan, dan urus setia bersama yang terdiri daripada Ahli-ahli Parlimen Belia Selangor yang mewakili Majlis Belia Negeri Selangor (MBS) dan Persatuan Pendemokrasian Sosial (SocDem Malaysia).
Program tersebut telah berjalan dengan lancar dan mendapat maklum balas yang positif dari para peserta. Antara pembaharuan yang telah dilaksanakan adalah pengenalan kepada Piala pusingan kepada pembahas terbaik yang dinamakan Piala Tuan Speaker Dewan Negeri Selangor sebagai langkah untuk memastikan kesinambungan program ini pada masa akan datang agar ia dapat dilaksanakan setiap tahun.
Usul yang telah dibahas oleh para peserta program juga telah berjaya dibawa ke Mesyuarat Persidangan Dewan yang sebenar oleh Yang Berhormat Batu Tiga, mewakili suara anak muda di Selangor dan telah mendapat maklum balas oleh Kerajaan melalui Yang Berhormat Sekinchan iaitu suatu usul yang berkaitan dengan penjaja-penjaja warga asing.
Pada tahun 2025, sekali lagi kita akan menganjurkan Program ADN Muda Selangor dengan format yang baharu agar dapat kita libatkan lebih ramai anak muda untuk menyertai program ini. Tahun ini, program akan dilaksanakan dengan penglibatan Pejabat EXCO Belia, Sukan & Keusahawanan, Institusi Reformasi Politik dan Demokrasi (REFORM) dan Pertubuhan Kesedaran Diversiti Dan Inklusiviti Untuk Semua (UntukSemua), bersama-sama dengan Rakan Muda (Rakan Demokrasi) dibawah KBS, MBS dan SocDem Malaysia.
Selain Program ADN Muda, kita juga telah bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) dalam menganjurkan Pertandingan Akhir Debat Darul Ehsan Piala Speaker Dewan Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah pada 25 Julai 2024. Satu piala pusingan juga telah dibuat khusus untuk pertandingan tersebut yang melibatkan para pelajar Sekolah Menengah dan telah dijuarai oleh Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Kajang yang membawa usul ‘Dewan Ini Percaya Iltizam Selangor Penyayang: Mesra Belia Selangor’. Satu sesi khas bersama Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Negeri telah diadakan bersama para peserta melibatkan Yang Berhormat Batu Tiga, Yang Berhormat Kota Damansara, Yang Berhormat Lembah Jaya dan Yang Berhormat Seri Kembangan.
Ketiga, dalam usaha merakyatkan Dewan Negeri Selangor juga, Dewan telah menerima beberapa kunjungan dan lawatan dari pelbagai pihak, dari dalam dan luar negara, yang telah hadir untuk saling bertukar idea dan berkongsi pengalaman berkaitan struktur dan tatacara perjalanan yang diamalkan oleh Badan-badan Legislatif. Antara kunjungan yang diterima dari Badan Legislatif luar negara adalah delegasi dari Korea Selatan, Viet Nam dan Nepal. Dewan Negeri Selangor turut menerima lawatan kerja Setiausaha Agung Persatuan Parlimen Komanwel (CPA), Tuan Stephen Twigg bersama dua (2) Ahli Dewan Negara, Y.B. Senator Datuk Wira Dr. Mohd Hatta Md. Ramli dan Y.B. Senator Tuan Isaiah D. Jacob bersama pegawai-pegawai dari Parlimen Malaysia pada 21 Jun 2024 dan pada 24 September 2024, Dewan Negeri Selangor telah menerima lawatan daripada peserta-peserta CPA Advanced Parliamentary Development Residency Programme yang terdiri daripada Ahli-ahli Parlimen negara-negara anggota Komanwel yang telah berlangsung selama satu minggu di Kuala Lumpur.
Lawatan rasmi dari dalam negara juga telah diadakan pada 21 Ogos 2024, Dewan Negeri Selangor menerima kunjungan hormat YB Tan Sri Dato’ (Dr.) Johari bin Abdul, Yang di-Pertua Dewan Rakyat. Kunjungan hormat tersebut telah membincangkan beberapa perkara dan antaranya membincangkan usaha pemerkasaan institusi speaker dalam membangun amalan demokrasi.
Patik juga telah mengikuti lawatan rasmi ke luar negara bersama YB Timbalan Speaker dan Setiausaha Bahagian Dewan, menghadiri Persidangan Serantau Bersama Pertama CPA Asia dan CPA Asia Tenggara (First Joint CPA Asia and CPA South-East Asia Regional Conference) yang berlangsung dari 6 hingga 10 Februari 2025 di Lahore, Pakistan. Dalam persidangan ini, patik berkesempatan menyampaikan ucapan bertajuk "Perundangan Kolaboratif untuk Pembangunan Inklusif dan Saksama" (Collaborative Legislation for Inclusive and Equitable Development) serta turut menjadi salah seorang panel dalam sesi perbincangan mengenai Perubahan Iklim dan Bandar Lestari. Patik yakin bahawa lawatan dan kunjungan hormat antara Badan Legislatif dan pemimpin, sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa, akan lebih menonjolkan Dewan Negeri Selangor di persada antarabangsa.
Keempat, berhubung dengan rancangan untuk menambah baik Portal Rasmi Dewan Negeri Selangor, Dewan Negeri Selangor kini dalam proses untuk membangunkan sistem carian hansard secara elektronik yang lebih pantas dan mesra pengguna. Ia adalah kesinambungan dari pewujudan sistem carian bagi jawapan dan soalan dewan serta enakmen Dewan Negeri Selangor yang telah dilaksanakan sebelum ini. Penambahbaikan sebegini akan dilaksanakan dari masa ke semasa demi menjadikan portal ini lebih menarik, interaktif, dan mudah digunakan oleh orang ramai. Selain daripada pembangunan Portal Dewan Negeri Selangor, patik ingin berkongsi mengenai usaha menaiktaraf kemudahan logistik, termasuk pemasangan skrin LED di dalam Chamber Dewan Negeri Selangor serta di Bilik Gerakan, Bangunan Wisma Dewan Negeri Selangor. Satu lagi inisiatif yg diambil adalah untuk melancarkan sistem penghantaran soalan dewan dan jawapan dewan yang akan dilaksanakan melalui sistem e-sidang baharu yang lebih menyeluruh dan luas fungsinya. Patik berharap dengan adanya inisiatif-inisiatif ini, pelbagai program dapat dilaksanakan dengan lebih efektif, sekaligus memberikan manfaat yang lebih besar kepada semua pihak, khususnya Ahli-ahli Dewan Negeri Selangor dan para pelawat.
Ampun Tuanku,
Penggal kelima belas Dewan Negeri Selangor telah masuk ke penggal ketiga di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Dato' Menteri Besar Selangor, YAB Dato' Seri Haji Amirudin bin Shari dan patik bersyukur dengan kestabilan politik di Negeri Selangor ini, patik dan ahli-ahli dewan Negeri yang lain diberi peluang untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Negeri Selangor sebaik mungkin dan bersama berusaha meningkatkan kecemerlangan yang telah dicapai oleh Dewan Negeri Selangor sebelum ini.
Patik ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor yang telah menyertai Program Retreat ADN Selangor 2024. Program ini telah berjaya mengumpulkan pelbagai pihak yang berperanan penting dalam memperkukuh jalinan kerjasama demi kemajuan negeri ini. Kehadiran penceramah-penceramah jemputan yang berwibawa seperti Yang di-Pertua Dewan Rakyat YB Tan Sri Dato’ (Dr) Johari bin Abdul, YB Speaker Dewan Negeri Johor YB Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, serta wakil-wakil daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, Jabatan Audit Negara, dan REFORM Malaysia telah memberi panduan yang amat berharga.
Patik percaya bahawa hubungan yang lebih erat antara ahli-ahli Yang Berhormat dan ketua-ketua jabatan serta agensi kerajaan negeri adalah kunci kepada pencapaian kecemerlangan dalam Dewan Negeri Selangor. Tanpa kerjasama yang harmoni dan sinergi di antara semua pihak, kecemerlangan ini sukar dicapai. Mari kita bersama-sama dengan semangat yang tinggi terus berusaha untuk mencapai matlamat yang sama iaitu memastikan kesejahteraan hidup setiap rakyat Selangor.
Bunga Tanjung Kelopaknya Sembilan,
Cantik Dipandang Harum Dibau,
Mandat Rakyat Patik Utamakan,
Junjung Kasih Titah Tuanku
Cantik Dipandang Harum Dibau,
Mandat Rakyat Patik Utamakan,
Junjung Kasih Titah Tuanku
Sebelum patik mengakhiri ucapan pada malam ini, Patik berharap agar semua Yang Berhormat, serta peringatan kepada diri patik sendiri, dapat menjaga disiplin dengan penuh tanggungjawab, terutamanya berkaitan kehadiran dan pematuhan terhadap kod etika pemakaian sepanjang berlangsungnya Persidangan Dewan Negeri Selangor. Sesungguhnya, sebagai Ahli Dewan Negeri, kita adalah contoh teladan kepada masyarakat. Kita perlu memikul amanah dan integriti yang tinggi, kerana persidangan ini ditonton oleh pelawat yang hadir serta rakyat Selangor melalui siaran langsung di pelbagai platform digital seperti Media Selangor. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menyampaikan perkara-perkara yang membawa manfaat dan kesejahteraan kepada rakyat, serta memacu kejayaan negeri Selangor. Marilah kita bersama-sama berganding bahu untuk mencapai kecemerlangan demi kemajuan negeri yang kita cintai ini.
Ke Pantai Redang Menaiki Kereta
Pantainya Indah Di Pandangan Mata
Jika Ada Tersalah Kata,
Tiada Yang Lain Ampun Dipinta.
Patik sekali lagi menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas limpah perkenan Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk berangkat hadir di majlis yang sangat bermakna ini. Patik serta sekalian rakyat jelata menadah tangan memohon kepada Tuhan agar mengurniakan keselamatan dan kesejahteraan kepada Sultan kami yang dikasihi Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, dilanjutkan usia Tuanku dalam sihat sejahtera agar bertambah mulia lagi berdaulat memerintah Negeri Selangor Darul Ehsan dengan adil dan saksama.
Demikian juga kami pohonkan keselamatan dan kesejahteraan kepada Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor. Seterusnya kepada Yang Amat Mulia Puteri-Puteri Baginda As-Sultan, Adinda-Adinda, Waris-Waris serta Kerabat Diraja sekalian.
Akhir kalam, patik menjunjung kasih. Ampun Tuanku.
No comments:
Post a Comment