Sunday, July 16, 2006

Pindaan AUKU harus berlandaskan keseimbangan kuasa di antara Mahasiswa-mahasiswi, ahli-ahli akademik dan pentadbiran Universiti

Pindaan AUKU harus berlandaskan keseimbangan kuasa di antara Mahasiswa-mahasiswi, ahli-ahli akademik dan pentadbiran Universiti serta prinsip “hakmilik sama” di antara ketiga-tiganya.

Fasal 15, 15A, 15C, AUKU telah menidakkan hak asasi manusia mahasiswa-mahasiswi yang diperuntukkan di bawah Artikel 8 dan 10 Perlembagaan Persekutuan, dan dengan itu mesti dimansuhkan. Fasal 15B dan 15D perlu dipinda supaya mahasiswa-mahasiswi yang dituduh melakukan kegiatan jenayah diberi layanan selaras dengan undang-undang jenayah di Malaysia. Fasal 16, 16A, 16B dan 16C AUKU harus dipinda untuk mengelakkan kuasa pembubaran dan penggantungan mana-mana persatuan Mahasiswa tidak terlalu tertumpu pada Naib Canselor.


Peranan yang dimainkan serta pengaruh oleh Menteri Pengajian Tinggi dalam AUKU harus dikurangkan. Menteri hanya bertanggungjawab untuk menetapkan dasar pembangunan pengajian tinggi di Malaysia secara makroskopik, manakala pengurusan dan pentadbiran mikroskopik Universiti harus dikendali sepenuhnya oleh Lembaga Pengarah Universiti.

Ahli-ahli Lembaga Pengarah Universiti harus terdiri daripada wakil ketiga-tiga pihak Pentadbiran, Ahli-ahli Akademik dan Mahasiswa-mahasiswi, yang dipilih oleh pertubuhan masing-masing untuk menganggotai Lembaga Pengarah Universiti melalui pilihanraya. Pindaan harus dijalankan terhadap fasal-fasal dalam AUKU yang menakrifkan penubuhan Lembaga Pengarah Universiti.

Perlantikan Naib Canselor harus ditentukan sepenuhnya oleh Senat Universiti tanpa pengaruh daripada mana-mana pihak sama ada secara langsung atau secara tidak langsung demi mempertahankan kebebasan Universiti.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti harus dilantik oleh oleh Senat di kalangan ahli-ahli Lembaga Pengarah Universiti selepas melalui pemilihan dalaman Lembaga Pengarah Universiti. Beliau akan terpilih jikalau beliau mendapat undi majoriti.

Ahli-ahli Senat harus dianggotai oleh mereka yang tidak berkepentingan politik dan majoritinya mestilah terdiri daripada Ahli-ahli Akademik yang sudah bersara, disegani masyarakat akademik antarabangsa serta disanjungi masyarakat awam.

Semua Dekan Fakulti harus dipilih oleh mahasiswa-mahasiswi dan para akademik Fakulti berkenaan dan kemudian dilantik oleh Senat Universiti.

Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti harus diberi nafas, jiwa, peranan dan fungsi baru. MPM harus dijadikan sebagai badan mahasiswa induk yang berautonomi dan mempunyai sumber kewangannya sendiri.

No comments: