Sunday, July 16, 2006

Pindaan AUKU – Kementerian Pengajian Tinggi harus bersikap liberal terhadap pendapat dan pandangan daripada pelbagai pihak

Kementerian Pengajian Tinggi dalam meminda AUKU harus bersikap liberal terhadap pendapat dan pandangan daripada pelbagai pihak termasuk pertubuhan-pertubuhan mahasiswa yang tidak berdaftar kerana mereka juga merupakan sebahagian daripada masyarakat kita

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Ong Tee Keat telah menyatakan bahawa beliau hanya bertanggungjawab untuk mengaturkan dialog and taklimat dengan Ahli-ahli Parlimen dari BN dan pembangkang, oleh itu tidak dapat memberi ulasan terdapat perjumpaan dengan pertubuhan-pertubuhan mahasiswa,.

Ulasan Ong Tee Keat ini menunjukkan mentaliti beliau masih berada di paras dunia kelas ketiga. Mana-mana menteri yang responsif dan peka terhadap pandangan rakyat akan pasti mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan sebarang masalah dan persoalan yang tertimbul akibat pelaksanaan mana-mana dasar kerajaan.


Walaupun Ong bukan seorang Menteri penuh dan tugasnya hanya untul mengadakan dialog dan taklimat dengan Ahli-ahli Parlimen, tetapi kami berpendapat Ong tidak harus dikekang dengan birokrasi ini. Jikalau pihak Kementerian ikhlas untuk mendengar pandangan-pandangan daripada pelbagai pihak, maka Ong sebagai Timbalan Menteri harus merujuk perkara ini kepada Menteri untuk dibawa berbincang bersama sama ada perjumpaan harus diadakan dengan pertubuhan-pertubuhan mahasiswa yang tidak berdaftar.

Sementara itu, Kementerian telah mengeluarkan surat jemputan kepada semua Ahli Parlimen BN dan Pembangkang bahawa mereka dijemput untuk menghadiri satu taklimat yang akan diadakan di Parlimen berkenaan dengan Rang Undang-undang Pemindaan AUKU. Taklimat untuk Ahli-ahli Parlimen BN dijadualkan pada esok, Hari Isnin, 10hb Julai 2006 manakala taklimat dengan Ahli-ahli Parlimen Pembangkang dijadualkan pada 13hb Julai 2006, iaitu Hari Khamis yang akan datang.

Dengan itu, kami berharap pihak Kementerian akan mengumunkan juga Ahli-ahli Panel yang membuat pindaan-pindaan terhadap AUKU, termasuk mereka yang menyandang jawatan Pengerusi dan Ahli-ahli Jawatankuasanya, serta mengumumkan terma-terma rujukannya (Terms of Reference).


Ini berikutan dengan jawapan bertulis daripada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed terhadap pertanyaan lisan Ahli Parlimen DAP untuk Batu Gajah dan Naib Pengerusi DAPSY berkenaan dengan perkembangan terbaru pemindaan AUKU. Menteri pada masa itu hanya menjawab bahawa Kementerian telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Panel Penilaian Semula (Review Panel) dan ahli-ahlinya terdiri daripada pensyarah-pensyarah kursus undang-undang dari IPTA tempatan seperti UM, UiTM, UIA dan sebagainya.

Adalah menjadi satu tanda soal besar terhadap kandungan pindaan yang akan dibuat apabila orang ramai tidak mengetahui terma-terma rujukan dan siapa yang menganggotai Review Panel itu. Apa yang membimbangkan kami ialah jikalau ini tidak dilakukan, kemungkinan besar AUKU yang dipinda nanti akan menjadi lebih draconian dan menindas, sekaligus memusnahkan kecermelangan dan kebebasan akademik di IPTA-IPTA.

No comments: