Ucapan
perbahasan semasa membahas Enakmen Perbekalan (2013) 2012 Peringkat Dasar
Bacaan Kali Kedua oleh ADUN Kampung Tunku di Shah Alam:
- Saya mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Selangor (KNS) pimpinan YAB Dato Menteri Besar kerana berjaya membentangkan Belanjawan 2013 berimbang buat tahun kelima berturut-turut.
- Dalam kesibukan kita bersiap sedia menghadapi masa depan yang penuh dengan cabaran khususnya pilihanraya umum yang akan datang serta keadaan ekonomi global yang terumbang-ambing, maka adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menyediakan satu belanjawan yang menampirkan kekuatan ekonomi kerajaan dan memperbetulkan kelemahan pentadbiran.
- Justeru itu, belanjawan 2013 KNS yang dibentangkan semalam dilihat sebagai satu belanjawan yang bertanggungjawab. Sepintas lalu, belanjawan 2013 KNS ini tidak banyak mengandungi gula-gula manis untuk memancing undi. Ini jauh berbeza dengan belanjawan kerajaan persekutuan yang menawarkan pelbagai bentuk gula-gula hanya untuk memenangi pilihanraya umum.
- Tidak salah untuk mana-mana kerajaan yang memegang mandat rakyat membantu rakyat dalam apa jua bentuk tetapi biarlah ianya dijalankan dengan cara yang berhemah dan bertanggungjawab.
- Ini tidak bermakna KNS tidak bercadang membantu rakyat melalui program-program kebajikan. Hakikatnya ialah, kesemua ini telahpun dilaksanakan secara beransur-ansur oleh Pakatan Rakyat sebelum ini melalui konsep “Merakyatkan Ekonomi Selangor”.
- Itulah perbezaan antara Pakatan Rakyat (PR) dengan Barisan Nasional (BN), di mana PR percaya bantuan harus diberi kepada semua rakyat yang layak tanpa mengira kedudukan dan fahaman politik pada setiap masa, bukannya apabila PRU sudah dekat.
- Bandingkan prestasi ini dengan prestasi kewangan kerajaan persekutuan. Hutang kerajaan persekutuan sekarang sudah menghampiri paras 54% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Kebanyakkan hutang ini ialah hutang kerajaan persekutuan dalam bentuk bon yang dipegang oleh agensi-agensi kerajaan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan syarikat-syarikat insuran. Ini bermakna wang simpanan rakyat Malaysia yang terdedah kepada risiko yang besar sekiranya kerajaan persekutuan gagal melangsaikan hutang-hutang ini dalam masa yang telah ditentukan.
- Dalam situasi ekonomi dunia yang masih tidak menentu, ditambah dengan kelonggaran disiplin dalam pengurusan kewangan kerajaan persekutuan, saya khuatir Malaysia akan menghadapi kegawatan ekonomi yang lebih mencabar pada tahun hadapan.
- Apapun sekali, saya syukur kerana ekonomi KNS berada pada tahap yang cemerlang. Belanjawan 2013 mempamerkan tiga strategi utama di bawah dan saya akan membentangkan perbahasan saya berdasarkan kepada ketiga-tiga strategi ini:
·
Memperkasakan pengurusan
tenaga kerja, sumber kewangan, pentadbiran dan aset negeri;
·
Melestarikan pembangunan
inovasi dan moden; dan
·
Memperkukuhkan kualiti
rakyat.
Melestarikan
pembangunan inovasi dan moden: Industri berteknologi hijau harus diberi lebih
banyak dorongan dan sokongan
- Baru-baru ini, Syarikat AT Systematization Bhd dari Pulau Pinang berkerjasama dengan MaoMing JiaCheng Industrial Co. Ltd untuk membangunkan industri sumber tenaga boleh diperbaharui di Malaysia.
- Commercial Aircraft Corporation of China Ltd. dengan Syarikat Boeing dari Amerika Syarikat telah memulakan penyelidikan untuk menghasilkan bahan api untuk kapal terbang dengan menggunakan minyak masak terpakai.
- Perkara-perkara ini harus memberi ikhtibar kepada KNS bahawa kita tidak boleh ketinggalan dalam industri teknologi hijau dan mesra sekitar. Memang kita boleh berbangga dengan pelaburan Syarikat Q-cell tetapi kita tidak harus berbangga dengan hanya satu pelaburan sahaja.
- KNS harus menjadi pemimpin dalam industri ini dengan memberi lebih banyak dorongan dan sokongan dan bukan sekadar insentif atau rebet yang juga ditawarkan di negeri-negeri lain. Sebagai permulaan, saya bercadang kepada kerajaan untuk memberi perhatian dalam tiga bidang industri hijau iaitu industri tenaga solar, industri biodiesel dan industri pengitaran semula kertas dan plastik.
- Bagi industri solar, Malaysia dan Selangor berpotensi besar dan kita harus menjadi pemimpin dalam bidang ini. Lebih-lebih lagi, industri ini ialah industri berteknologi tinggi dan mampu menjana pendapatan tinggi kepada negara.
Memperkasakan
pengurusan tenaga kerja, sumber kewangan: Kerajaan harus menambahbaik iklim
pelaburan di Malaysia.
- Semalam Dato’ Menteri Besar menyebut tentang pergeseran diplomatik antara China dan Jepun yang mungkin menyebabkan pelaburan-pelaburan dari Jepun beralih ke Malaysia.
- Biarpun perkara ini benar, saya menyaran kepada kerajaan supaya jangan pula kerana “durian runtuh” ini, kita melalaikan tanggungjawab untuk membina infrastruktur dan modal insan berkualiti supaya kita betul-betul mampu bersaing dengan negara-negara lain.
- Justeru itu, saya mencadang kepada kerajaan untuk menarik lebih banyak pelaburan melalui model “Build And Lease” di mana kerajaan negeri membantu pelabur asing untuk membina kilang mengikut spesifikasi mereka tanpa mereka melaburkan wang yang banyak untuk membeli tanah, membayar premium sehingga membina kilang sendiri. Barangkali model ini akan membantu mengurangkan lagi birokrasi-birokrasi yang sedia ada.
- KNS juga bercadang untuk membekalkan WiFi Percuma. Sudah sampai masanya untuk KNS mempertingkatkan bidang ini kerana mengikut statistik SKMM, Selangor agak ketinggalan sedikit. Sehingga ke suku pertama tahun 2012, Selangor mempunyai broadband penetration sebanyak 75.5% mengikut isi rumah iaitu ditangga kelima, iaitu di belakang Kuala Lumpur, Perlis, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan. Sementara itu, Selangor mempunyai lokasi hotspot kedua terbanyak di seluruh Malaysia, iaitu sebanyak 2530 lokasi dan terletak di belakang Pulau Pinang yang mempunyai 3045 lokasi hotspot. Oleh itu, saya menyaran KNS untuk melibatganda usahanya dalam perkara ini.
- Semalam kerajaan menyebut tentang pentingnya industri perkhidmatan menyumbang kepada KDNK Selangor dan Malaysia. Memang industri perkhidmatan bidang yang semakin penting tetapi kita tidak harus mengabaikan industri pembuatan kerana ianya masih memainkan peranan yang sangat penting di dunia barat, ini masih dilihat apabila banyak produk berteknologi tinggi dan bernilai tinggi masih dihasilkan di negara mereka. Justeru itu, apa yang harus diberi penekanan ialah industri pembuatan yang menghasilkan produk berteknologi dan bernilai tinggi.
Memperkasakan
pentadbiran dan aset negeri: Pentadbiran tanah di Pejabat Tanah masih perlu
dipertingkatkan.
- Kerajaan harus menangani masalah kekurangan tanah kubur yang masih kritikal. Justeru itu, kerajaan harus menggalakkan penggunaan kolumbarium untuk menjimatkan ruang dan kos. Saya telah mengemukakan permohonan membina kolumbarium daripada Persatuan Perkuburan Cina Petaling Jaya tetapi ianya masih belum ada sebarang keputusan. Diharap ianya dapat dipercepatkan.
- Kerajaan juga perlu memastikan pemberian hakmilik tanah dijalankan dengan cekap. Kes-kes seperti fail hilang masih berlaku sekali-kala dan pemohon seringkali diminta untuk mengemukakan semula permohonan mereka.
- Pejabat Tanah perlu menambah bilangan dan kualiti Pegawai Penempatan ataupun Settlement Officer atau SO di Pejabat Tanah dan Daerah untuk mempertingkatkan kecekapan mereka. Peranan SO adalah sangat penting dalam pembangunan Negara, khususnya dalam pentadbiran hal ehwal tanah.
- Sebenarnya jawatan ini telah wujud lebih 100 tahun yang lalu dengan kewujudan undang-undang tanah yang pertama diperkenalkan oleh Penjajah Inggeris di Negeri-negeri Selat melalui Land Code 1891 dengan diberikan garis panduan dan tugas-tugasnya sekali. Bukti jawatan ini diwujudkan sejak dari tahun 1891 dapat dilihat dengan adanya tandatangan Settlement Officer (Pegawai Petempatan) didalam Certified Plan (Pelan Akui) yang disimpan di Jabatan Ukur.
- Peranan pegawai-pegawai petempatan penting memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk pembangunan negara. Dalam melaksanakan tugas harian yang semakin mencabar dan menuju ke era teknologi maklumat maka peranan Pegawai Petempatan perlu diperkasakan lagi.
- SO bertanggung jawab untuk menyalurkan maklumat - maklumat yang terkini kepada pihak pentadbir tanah khususnya dalam perkara - perkara yang berkaitan dengan status tanah, maklumat ini penting kerana dasar pembangunan yang dirancang pastinya memerlukan data - data yang terbaik dan kemaskini.
- SO juga berperanan merumuskan perancangan masa hadapan yang membabitkan tanah dalam sebuah mukim dan daerah. Barangkali SO adalah kakitangan di Pejabat Tanah dan Daerah yang paling hampir dengan rakyat. .
- SO juga bertanggungjawab menyediakan bank data tanah yang sentiasa kemaskini bagi memudahkan pihak kerajaan menentukan program pembangunan sejajar dengan wawasan negara. SO juga bertanggungjawab melaksanakan tugas penguatkuasaan undang-undang mengikut kehendak-kehendak Kanun Tanah Negara (KTN) dan akta-akta serta peraturan-peraturan yang berkaitan. .
- Di bawah Seksyen 425 KTN, SO bertanggungjawab menjalankan tugas penguatkuasaan bagi mengawal segala bentuk pencerobohan di atas tanah kerajaan dan tanah - tanah rizab.
- Pengawalan di bawah Seksyen 426 KTN pula untuk memastikan dan mengawasi segala peralihan bahan batuan mengikut peraturan dan undang-undang supaya kerajaan negeri tidak kehilangan hasil. Kurangnya pengawalan peralihan bahan batuan ini akan menjejaskan hasil royalti kerajaan.
- Begitu pentingnya peranan SO, tetapi kebanyakan PTD menghadapi kekurangan pegawai-pegawai SO untuk menjalankan tugas yang semakin bertambah. Justeru itu, saya bercadang kepada kerajaan untuk memberi peruntukan tambahan kepada PTD untuk memberi latihan yang lebih rancak.
Memperkukuhkan
kualiti rakyat: Perhatian kepada masalah kekurangan makanan.
- Saya khuatir dengan perubahan iklim yang berlaku secara global. Baru-baru ini, ribut taufan Sandy telah melanda benua Amerika Utara. Beijing juga dilanda rebut salji yang paling besar dalam sejarahnya. Di Selangor, banjir yang sering berlaku juga mengancam hasil-hasil pertanian di Selangor. Ini telah menimbulkan kekhuatiran bahawa akan berlaku krisis kekurangan makanan pada tahun 2013.
332.
Saya
menyaran agar kerajaan memastikan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS)
mengambil maklum tentang perkara ini dan mengambil langkah-langkah untuk
melindungi hasil-hasil tanaman di Selangor daripada bencana-bencana alam.
Memperkukuhkan
kualiti rakyat: Perumahan di
Selangor
- Dalam Journal Penang Monthly yang diterbitkan pada bulan September 2012, dipaparkan satu artikel berkenaan dengan isu perumahan yang menarik perhatian saya. Tajuk artikel ini ialah “Is Sharing Home Ownership The Way Out For Penang?”
- Penulis artikel ini, Encik Stuart MacDonald membangkitkan kemungkinan kerajaan melaksanakan konsep perkongsian hakmilik rumah sebagai salah satu cara untuk membolehkan golongan berpendapatan sederhana rendah untuk memiliki rumah idaman mereka dengan kos yang lebih rendah.
- Konsep ini menyarankan agar hakmilik rumah berkenaan dikongsikan antara pembeli dengan social housing provider mengikut peratusan hakmilik rumah pembeli pada paras 25%, 50% atau 75%. Dengan ini, pembeli tidak akan dibeban dengan bayaran down payment, faedah atau bayaran ansuran yang terlalu tinggi.
- Adakah model ini sesuai di Selangor? Saya percaya perhatian dan kajian yang sewajarnya perlu diberi kepada konsep ini. Sebenarnya, apa-apa cara yang boleh membantu golongan berpendapatan sederhana rendah, khususnya golongan pemuda-pemudi, untuk membeli rumah idaman mereka harus diberi kajian yang sewajarnya.
- Saya mengalu-alukan dasar kerajaan untuk membina rumah mampu milik untuk rakyat Selangor. Kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, YB Senator Donald Lim Siang Chai bahawa Kerajaan Negeri Selangor (KNS) tidak membina rumah kos rendah dalam masa lima tahun yang lepas adalah kenyataan yang paling tidak bertanggungjawab.
- Flat kos rendah yang berkeluasan antara 600 hingga 700 kaki persegi memang tidak sesuai dengan saiz rumah tangga di Selangor. Kebanyakan penghuni-penghuni flat kos rendah ialah keluarga-keluarga peneroka Bandar mempunyai antara lima hingga tujuh anggota keluarga.
- Biarpun begitu, KNS telah berjaya menyiapkan 6470 unit rumah kos rendah di Selangor di antara tahun 2008 hingga 2012, iaitu rumah yang berharga RM42,000 dan ke bawah. Selain itu, terdapat 12,481 unit rumah kos rendah yang sedang dibina dan 9,990 unit rumah kos rendah lagi yang akan dibina tetapi belum diberi kelulusan.
- Pembinaan rumah mampu milik merupakan salah satu cara yang paling mudah untuk membantu golongan berpendapatan sederhana rendah untuk memiliki rumah idaman mereka. Dengan harga lebih kurang RM100,000, pemaju tidak perlu menanggung subsidi yang terlalu tinggi. Kualiti dan keluasan rumah juga lebih besar daripada rumah kos rendah dan ini secara langsung menjamin keselesaannya.
- Dalam pada itu, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) juga telah memulakan pembinaan 12,242 unit rumah mampu milik yang akan menelan belanja sebanyak RM1.1 bilion. PKNS juga bercadang mengeluarkan sukuk bernilai RM700 juta untuk membiayai beberapa projek besar berbilion-bilion ringgit. Rating PKNS oleh Ratings Agency Malaysia juga telah dinaikkan daripada P1/A1 kepada P1/AA1.
- Kesemua ini merupakan petanda yang baik buat PKNS dan saya menyaran PKNS untuk membina lebih rumah mampu milik yang dibina di kawasan-kawasan kritikal seperti Petaling Jaya, ianya mampu membawa balik anak-anak muda untuk tinggal bersama atau berdekatan dengan ibu bapa mereka. Ini juga bermakna rumah mampu milik akan membawa balik keceriaan di dalam sesebuah komuniti yang uzur. Ianya juga memberi kesan positif kepada pembangunan ekonomi setempat juga.
Memperkukuhkan
kualiti rakyat – Membina Liveable City
di Selangor
- Bandar-bandar kita juga perlu bergerak ke arah bandar mampu tinggal atau Liveable Cities. Bandaraya Petaling Jaya kebelakangan ini bercita-cita untuk menjadi sebuah liveable city.
- Cabaran pertama ialah mengurangkan kesesakan lalulintas dengan menggalakkan penggunaan sistem pengangkutan awam dan mengurangkan penggunaan kenderaan peribadi.
- Dari segi infrastruktur, kita perlu menyediakan peruntukan untuk menghijaukan persekitaran di bandar agar para pejalan kaki dan penunggang basikal tidak perlu berjemur di bawah matahari terik. PBT mempunyai belanjawan untuk menanam pokok setiap tahun. Walaupun begitu, kerajaan harus memastikan agar pokok-pokok ini betul-betul ditaham di tepi jalan raya dan bukan ditumpukan di taman-taman sahaja.
- Selain menubuhkan Zon Bersih dan Zon Hijau, PBT harus juga menubuhkan Zon Basikal atau Zon Tanpa Kereta (Bike Zone) untuk menggalakkan orang ramai menggunakan cara yang lebih mesra alam sekitar dalam pergerakan mereka
- Berbanding LRT atau MRT, Bas Rapid Transit (BRT) boleh dilhat sebagai satu cara yang lebih murah untuk menggalak orang ramai mengguna pengangkutan awam. KNS juga harus memikir sama ada mungkin kita menubuhkan syarikat pengangkutan kita sendiri melalui GLC dan menawarkan perkhidmatan bas yang cekap kepada orang ramai.
- Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah meluluskan rebet kepada pemilik bangunan hijau. MBPJ juga menawarkan tempat letak kereta percuma kepada para pemilik kereta hybrid. Namun usaha ini belum lagi diperluaskan ke PBT yang lain di Selangor. Saya menyaran agar usaha-usaha murni ini diperluaskan ke seluruh Selangor.
Memperkukuhkan
kualiti rakyat – Kerajaan harus menggalak penyusuan susu ibu sebagai satu aspek
pembangunan wanita dan keluarga
- Kerajaan negeri telah mengambil banyak langkah untuk membantu meningkatkan kaum wanita dalam masyarakat melalui pelbagai program seperti One Stop Crisis Centre (OSCC), Pusat Wanita Berdaya (PWB), cuti bersalin selama 90 hari dan sebagainya.
- Sebagai satu peningkatan kepada dasar yang sedia ada, saya memohon kepada kerajaan untuk merangkakan program penyusuan susu ibu yang pada pendapat saya merupakan satu aspek yang sangat penting untuk membina keluarga dan masyarakat yang sihat.
- Penyusuan susu ibu memberi seribu satu kebaikan. Biarpun begitu, masyarakat secara umum tidak begitu menggalak golongan wanita, khususnya mereka yang bekerja untuk menyusu anak-anak mereka dengan susu ibu.
- Masalah yang seringkali dihadapi oleh kaum ibu yang bekerja ialah kekurangan kemudahan di tempat bekerja untuk mengepam dan menyimpan susu. Mereka selalunya terpaksa melakukannya di tandas yang tidak bersih dan sempit. Selain itu, mereka juga memerlukan peralatan seperti peti sejuk untuk menyimpan susu untuk mengekalkan kualiti susu.
- Adalah menjadi saranan saya agar kerajaan memberi insentif dari segi rebet cukai pintu atau cukai tanah kepada mana-mana syarikat yang menyediakan kemudahan-kemudahan asas yang saya maksudkan di atas untuk menggalakan lebih ramai kaum ibu yang bekerja menjalankan penyusuan susu ibu kepada bayi-bayi mereka.
- Selain itu, PBT harus memikirkan bagaimana untuk menyediakan ruang awam yang sesuai kepada kaum ibu untuk menyusu bayi dan mengepam susu.
Memperkukuhkan
kualiti rakyat - Keselamatan kaum wanita di tempat awam
- Baru-baru ini, kaum wanita di kawasan Lembah Klang terdedah kepada risiko ragut yang kerap berlaku di tempat-tempat letak kereta kompleks membeli-belah. Ini mengingatkan kita tentang isu keselamatan yang pernah menghantui masyarakat kita khususnya kaum wanita beberapa ketika dahulu.
- KNS harus mengambil inisiatif untuk mempertingkatkan aspek-aspek keselamatan di kompleks membeli-belah. Justeru itu, saya bercadang kepada kerajaan untuk mengadakan undang-undang kecil yang menetapkan pengurusan kompleks membeli-belah untuk menyediakan bilangan tempat letak kereta berdekatan dengan pintu masuk khas untuk pemandu wanita tunggal seperti yang disediakan kepada OKU sebelum ini.
Prestasi
BN Selangor yang lembap
- Akhir sekali, saya ingin mengucapkan tahniah kepada KNS dan kakitangan-kakitangan kerajaan yang telah bertungkus-lumus menyediakan belanjawan ini. Penyediaan belanjawan ini telah bermula pada awal tahun dengan melibatkan pelbagai peringkat masyarakat melalui beberapa sesi dialog. Ini menjadikan belanjawan ini satu dokumen yang lengkap.
- Bagi pembangkang dari Barisan Nasional, saya berharap mereka dapat dapat menyediakan belanjawan alternatif mereka. Adakah mereka betul-betul ikhlas untuk menawan balik Selangor sedangkan mereka tidak mempunyai belanjawan alternatif seperti apa yang dilakukan oleh PR di Parlimen? Ini membuktikan bahawa BN langsung tidak bersedia dalam sidang Dewan kali ini. Hujah bahawa mereka akan menang di Selangor sebenarnya omong-omong kosong sahaja. Jikalau beginilah standard pembangkang BN di Selangor, maka saya menyeru agar dikekalkan BN sebagai pembangkang di Selangor, dan dikekalkan PR sebagai kerajaan di Selangor dengan kerusi yang lebih banyak.
Sekian, terima kasih.
Lau Weng San
No comments:
Post a Comment